Berita

Malaysia patut contohi kemajuan ekonomi Korea Selatan, bukan sekadar Gangnam Stylenya

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Perkara yang sedang hangat diperkatakan sekarang ialah senjata rahsia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada PRU-13 untuk menarik 60,000 orang hadir ke majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Sekolah Han Chiang, Pulau Pinang pada 11 Februari ini dengan menjemput bintang Korea Selatan, Psy, untuk mempersembahkan Gangnam Style.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, jemputan Psy itu akan mengakibatkan kos yang besar bagi UMNO/BN dan akhirnya rakyat Malaysia sendiri, termasuk Najib dan pemimpin UMNO/BN terlepas titik paling penting jemputan Psy untuk majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina itu.

Menurutnya, Malaysia tidak seharusnya cuma memuja Psy dan Gangnam Style tetapi fahamilah pengajaran paling penting bahawa UBAH pada PRU-13 adalah prasyarat untuk Malaysia melakukan peningkatan besar menjadi sebuah negara maju seperti Korea Selatan.

“Pemimpin UMNO/BN telah cuba menakut-nakutkan pengundi Malaysia dengan memberi amaran bahawa sekiranya berlaku perubahan pada Kerajaan Persekutuan di Putrajaya pada PRU-13 nanti akan berlaku huru-hara seperti yang dialami “Kebangkitan dunia Arab” dan Malaysia akan muflis dalam masa lima, tiga atau dua tahun,  bergantung pada pemimpin mana yang mengatakan demikian.

“Mengapa rakyat Malaysia mahukan perubahan ketika PRU-13 kerana pengundi dan pemimpin Pakatan Rakyat mahu mengakhiri hagemoni 55 tahun UMNO dan kerajaan BN yang mahukan huru-hara dalam negara dan Malaysia muflis dalam masa dua, tiga atau lima tahun lagi,” katanya dalam kenyataan akhbar mengenai Pengiraan Detik 67 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, hanya pemimpin politik UMNO/BN yang penuh dusta atau cacat mentalnya yang mempercayai dakwaan yang tak masuk akal itu kerana DAP dan Pakatan Rakyat tidak pernah menggalakkan revolusi tetapi perubahan secara aman dan demokratik melalui peti undi.

Beliau berkata, Malaysia sepatutnya mencontohi Korea Selatan daripada sebuah negara yang termiskin di dunia pada awal 1960-an dengan pendapatan perkapita kurang daripada US$100 iaitu lebih miskin dan mundur daripada Malaysia yang berada pada kedudukan nombor dua di Asia selepas Jepun dari segi kemakmuran dan pendapatan, yang pendapatan perkapita US$200 ketika mencapai kemerdekaan pada 1957.

“Pada dekad pertama kemerdekaan, Malaysia masih jauh di hadapan Korea Selatan memandangkan KNK perkapita US$290 berbanding Korea Selatan US$160.

“Bagaimanapun hari ini, selepas 55 tahun Merdeka, kedudukan Korea Selatan menjadi sebaliknya iaitu pendapatan perkapita Korea Selatan dua hingga tiga kali lebih tinggi daripada pendapatan perkapita Malaysia. IMF contohnya menjangkakan pada 2012, KDNK perkapita Korea Selatan ialah US$23,021 berbanding KDNK perkapita Malaysia hanya US$10,578.

“Pada 2011, sebuah bank pelaburan antarabangsa melaporkan Korea Selatan dijangka berada pada kedudukan antara 10 negara terkaya dengan KDNK perkapita diselaraskan dengan kuasa membeli setara pada 2030 dan 2040,” katanya.

Beliau berkata, rahsia kejayaan ekonomi Korea Selatan dalam tempoh separuh abad daripada sebuah negara miskin dan mundur kini menjadi sebuah negara kaya kerana kemajuan menakjubkan negara itu dalam setiap bidang, termasuk pembangunan sumber manusia, teknologi malah budaya, seperti yang digambarkan dalam fenomena Psy dan Gangnam Style.

Katanya, jawapannya ditemui berdasarkan perubahan politik Korea Selatan daripada pemerintahan autoritarian kepada pendemokrasian yang lebih hebat sepanjang beberapa dekad hingga membolehkan negara itu membawa ekonominya ke tahap baru inovasi dan kreativiti.

“Rakyat Malaysia usah membanding negara yang melalui “Kebangkitan dunia Arab”. Kita telah dipotong Korea Selatan tetapi mesti berani untuk bangkit dan mengejar dan merapatkan jurang yang semakin melebar antara Malaysia dengan Korea Selatan.

“Ketika itu baru Malaysia boleh berharap untuk melahirkan Psy dan Gangnam Style kita sendiri untuk memukau dunia dan rakyat Korea Selatan pada festival negara mereka,” katanya. – Roketkini.com