Berita

Pekerja tempatan diberhentikan tanpa pembelaan, ganti dengan pekerja asing

BINTULU, 5 FEB: “Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”, begitulah perumpamaan sesuai dengan nasib malang yang menimpa kira-kira 1,000 pekerja tempatan yang diberhentikan secara cara tidak adil oleh beberapa syarikat di kawasan Samalaju Industrial Park, di sini, tanpa pembelaan Barisan Nasional (BN).

Bukan setakat itu, malah tempat pekerja tempatan yang diberhentikan itu diganti dengan pengambilan pekerja asing.

Tindakan tidak bertanggungjawab beberapa syarikat terbabit menyebabkan satu protes aman dilakukan pekerja yang teraniaya itu pada 28 Januari lalu sehingga memaksa DAP Sarawak mendesak kerajaan negeri menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

Merujuk pendedahan The Borneo Post pada 29 Januari lalu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Dr John Brian Anthony berkata, kebanyakan rakyat tempatan yang diberhentikan itu tidak mempunyai perjanjian kontrak kerja.

“Ada kalangan pekerja itu juga mendakwa mereka tidak didaftarkan untuk mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selama mereka bekerja dengan syarikat terbabit.

“Mereka juga dikatakan tidak diberi notis sebaliknya diberi dua pilihan samada diberhentikan perkhidmatan atau terus bekerja dengan gaji dikurangkan,” jelas beliau.

Dr Brian Anthony yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Dayak berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu mencerminkan kelemahan kerajaan BN negeri Sarawak yang membiarkan amalan itu demi pembangunan negeri.

“Dalam masa dua hari berada di sana, saya difahamkan gaji pekerja dipotong antara RM6 dan RM12 sejam manakala gaji pekerja asing pula dibayar kira-kira RM20 sejam dan diberi kemudahan lebih baik termasuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke tempat kerja,” ujarnya.

DAP Sarawak juga menyedari isu itu bukan satu isu baru. Pada Julai tahun lalu, pekerja tempatan juga mengadakan protes mengenai keadaan tempat kerja dan kehidupan teruk yang dialami mereka. Ia termasuk aduan mengenai penyediaan makanan yang didakwa tidak bersih dan bekalan air cuma disediakan antara jam empat hingga tujuh petang setiap hari.

“Jelas, semua tindakan dan apa yang berlaku itu adalah satu diskriminasi terhadap pekerja tempatan, rakyat Sarawak sendiri walhal mereka berhak mendapat kemudahan dan bayaran yang setimpal dan adil,” katanya.

Samalaju Industrial Park adalah sebahagian daripada projek Koridor Tenaga Boleh Baharu Sarawak (SCORE).-Roketkini.com