Rencana

Untuk Malaysia yang lebih baik Oleh Mazir Ibrahim

Penyataan oleh masyarakat awam seperti “biarlah orang politik fikirkan”, “biarlah menteri buat keputusan”, “aku tak tahu, sebab aku tak campur hal politik-politik ni” telah menjadi pemisah antara kulit dengan isi, antara pemberi amanah dan pelaksana amanah.

Frasa oleh pengamal politik seperti “undi saja kami, nanti kami tahulah nak buat bagaimana”, “biar kami buat keputusan, anda cuma perlu sokong sahaja, “you help me, I help you” atau “kami lebih tahu apa yang baik untuk anda, kami dah buat kajian” juga menjadi sebab berlakunya kepincanganan antara jalan cerita dengan pengarahan, antara kerajaan dengan rakyat.

Kedua-dua senario ini merupakan manifestasi dari kegagalan pendemokrasian amalan politik kita dalam membangunkan siasah bangsa Malaysia. Ini jugalah yang menjadikan politik itu suatu hal yang sangat eksklusif dan menjauh dari realiti demokrasi yang kita harapkan.

Punca masalah

Puncanya barangkali ada dua;

1.      Amalan politik perkauman (aasabiyah) tajaan UMNO.

2.      Amalan politik kebendaan dalam budaya masyarakat.
Yang dikatakan politik perkauman UMNO sebagai punca utama terjadinya politik sempit dan eksklusif ini adalah menjurus kepada dasar pembahagian ekonomi dan dasar integrasi kaum menerusi sistem pendidikan.

Sebagai satu ringkasan, isu kemiskinan yang wujud semenjak dari awal Tanah Melayu merdeka hingga tertubuhnya Malaysia, yang majoritinya di kalangan kaum Melayu dan Bumipuetra itu sememangnya benar.

Tetapi, atas realiti itulah maka UMNO menjadikannya sebagai alasan atau sebab untuk berjuang atas nama bangsa. Atas nama bangsa itu jugalah UMNO mengambil kesempatan dengan mencipta dasar ekonomi yang mana kini dasar tersebut telah membaja budaya rasuah. Proses yang memakan masa lebih dari dua puluh tahuan ini pada akhirnya telah mencacatkan kemajuan bangsa itu sendiri.

Maka tidak hairanlah mengapa isu rasuah dipandang sebelah mata saja oleh UMNO dan suku-sakatnya. Rasuah tidak dilihat sebagai suatu dosa agama yang besar, malah lebih jelek lagi apabila ada yang menganggap rasuah sebagai ‘keperluan’ untuk mempercepatkan kemajuan negara – kononnya untuk mengisi makna kemerdekaan.

Dari dasar ekonomi ini juga telah mencetuskan budaya politik kebendaan, lebih-lebih lagi di zaman penguasaan regim Mahathir.

Istilah ‘kemajuan’ sekali lagi (pemesongan istilah) telah dijadikan alasan untuk pemerintah UMNO menjalankan projek-projek ‘kebendaan’ demi kebanggaan, demi kemasyhuran dan demi kegemilangan negara – katanya. Tetapi pada hakikatnya, ia hanyalah projek berorientasikan kebendaan dan keuntungan segera, bukan projek bermatlamatkan kesedaran untuk rakyat.

Suram budaya

Dua elemen ini menjadi pakej kesuraman budaya masyarakat khususnya kaum Melayu yang menjadi suara majoriti dalam kuasa politik di Malaysia.

Dalam senario ini, tanpa disedari, ibu bapa menjadikan alasan menghantar anak ke sekolah kerana mahu mengharapkan laba kebendaan oleh anak-anaknya. Mereka yang bersekolah pula mahu lulus..lulus..lulus. Potensi atau bakat digilap untuk menjadi konsumer, bukan untuk membangun bersama idealisme bangsa Malaysia.

Mereka yang bekerja pula lebih ghairah dan berlumba-lumba untuk memiliki harta seperti motokar demi memastikan status hidupnya dipandang dan dihormati. Sebaliknya mereka-mereka ini tidak sanggup berbuat apa-apa apabila sistem pengangkutan awam pincang dan tidak berkualiti.

Penghasilan ini memperlihatkan bahawa matlamat kemerdekaan menjadi matlamat kebendaan. Setiap rakyat baik yang bersekolah atau bekerja terus menambah hutang, bukan bertambah matang. Dalam ‘design’ ini, jurang antara mereka tercicir dengan yang ‘berjaya’ semakin melebar. Inilah kemodenan yang telah UMNO ciptakan.

Justeru, selepas lebih dari lima puluh tahun UMNO diberi peluang untuk memandu kita mengisi kemerdekaan, maka cukuplah sampai di sini amanah itu diberikan.

Kini telah tiba masanya untuk kita meminjamkan kuasa politik kepada Pakatan Rakyat kerana hanya dengan jalan ini sahaja makna sebenar kemerdekaan dapat diterjemah dengan lebih adil, jelas dan bersih.

Cabaran Pakatan

Cabaran yang ingin diambil oleh PR adalah untuk menjadikan Malaysia ini sebuah ‘Malaysia’ untuk semua rakyatnya. Fenomena ketirisan harta rakyat, stigma terhadap kaum lemah dan minoriti serta pengagihan kuasa dan ekonomi yang lebih adil dapat dilaksana demi memastikan ‘kebendaan’ yang dibina itu dapat disisi seimbang dengan siasah bangsa ini.

Pengetahuan tentang politik hari ini bukan saja milik eksklusif ahli politik mahupun peminat politik, sebaliknya ia telah berevolusi menjadi satu tanggungjawab oleh penggerak masyarakat madani (pemikir awam) untuk memecah tembok pemisah antara pengamal politik dan orang awam (rakyat biasa).

Agar orang awam dapat akses yang lebih luas untuk terlibat dalam membuat keputusan bagi dirinya – Pakatan Rakyat berjuang untuk menjadikan ‘Malaysia yang lebih baik.’ – Roketkini.com