Berita

Sokong kempen “Cetuskan Perubahan” bagi memperingati ulang tahun Tunku Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, sebaliknya jadikan 2013 sebagai permulaan baru Malaysia menuju Merdeka Kedua dengan melakukan UBAH di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk mencapai janji Pemasyhuran Merdeka dan Malaysia terhadap demokrasi, kebebasan, keadilan, kebajikan dan kebahagiaan rakyat terutamanya ketika berdepan cabaran globalisasi abad ke-21.

Beliau berkata, ketika membaca Pemasyhuran Kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur 55 tahun lalu iaitu pada 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman berikrar bahawa Malaya “akan kekal menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kemakmuran rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara semua bangsa.”

Menurutnya, ikrar itu diulang semula oleh Tunku Abdul Rahman enam tahun kemudian ketika Pemayshuran Malaysia pada 16 September 1963 mengenai pembentukan Malaysia dengan ikrar yang sama.

Bagaimanapun beliau kesal kerana kenangan indah dan nama baik Tunku Abdul Rahman dan nenek moyang kita itu baru-baru ini difitnah dengan kata-kata menghina dilemparkan oleh seorang bekas Perdana Menteri yang menuduh Bapa Malaysia itu memberi kewarganegaraan kepada satu juga bukan Melayu yang “tidak layak” sebelum Merdeka pada 1957.

“Tun Mahathir Mohamad dengan hipokritnya mendakwa pengkhianatan “kewarganegaraan untuk undi” bagi pendatang tanpa izin di Sabah yang dilakukan sebagai perbuatan yang lebih terhormat dan layak.

“Pada Jumaat, 8 Febuari 2013 adalah ulang tahun kelahiran ke-110 Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman. Sejarah dan dunia tahu akan sumbangan beliau sebagai seorang negarawan, pembangun bangsa dan sebagai tokoh sejarah yang unik.

“Tunku adalah lambang kesopanan, kepercayaan yang mendalam terhadap kedaulatan hukum dan menghormati tradisi. Inilah saat untuk semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, agama dan kepercayaan politik bersama-sama memberi penghormatan kepada seorang insan yang telah membina asas kepada Malaysia yang moden, demokratik dan sekular yang dipaterikan dengan perpaduan etnik, kepercayaan dan budaya yang pelbagai,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 64 Hari ke PRU-13, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, undangan bintang Korea Selatan, Psy membabitkan kos berjuta ringgit ke majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pulau Pinang bagi mempersembahkan “Gangnam Style” adalah simbol kegagalan berganda pembinaan bangsa Malaysia sejak setengah abad lalu seperti yang dijanjikan Tunku dalam Pemasyhuran Kemerdekaan dan Malaysia mengenai demokrasi, kebebasan, keadilan, kebajikan dan kebahagiaan rakyat.

“Pada Tahun Baru Cina yang merupakan Tahun Ular, biarlah rakyat Malaysia bergembira dengan “Gangnam Style” Psy tetapi ia juga sepatutnya menjadi peringatan bahawa banyak yang perlu Malaysia kejarkan baik dari segi demokrasi politik, daya saing ekonomi dan keadilan, kecemerlangan pendidikan, kehebatan teknologi atau pembinaan bangsa seperti yang ditonjolkan dalam perubahan nasib dua negara sejak setengah abad lalu, yang mana Korea Selatan bangkit daripada kemiskinan dan kemunduran menjadi kuasa ekonomi global sementara Malaysia masih berjuang untuk keluar daripada perangkap “negara berpendapatan pertengahan,” katanya. – Roketkini.com.