Berita

Ulang tahun kelahiran Tunku Abdul Rahman dirai dengan kempen “Cetuskan Perubahan”

KUALA LUMPUR, 6 FEB: DAP hari ini melancarkan kempen “Cetuskan Perubahan” di perkarangan tempat letak kereta Stadium Merdeka, pagi ini bersama 17 kenderaan yang dihiasi dengan pelbagai pelekat membawa mesej “Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia”.

Kempen itu dilancarkan bersempena ulang tahun kelahiran Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman yang ke-110 tahun ini adalah satu kempen demi menyemai kesedaran di kalangan rakyat betapa pentingnya melakukan anjakan politik pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, Pakatan Rakyat (PR) berhadapan dengan serangan Barisan Nasional (BN) yang menggunakan taktik kotor melalui wang, propaganda media dan jentera kerajaan (3M – Money, Media and Machinery).

“Mereka menggunakan wang untuk membeli undi rakyat terutamanya di kawasan luar bandar dan mengeksploitasi kemiskinan rakyat.

“BN juga mengawal sepenuhnya media arus perdana dan ia digunakan untuk memfitnah dan memburuk-burukkan PR,” katanya pada sidang media, hari ini.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, walaupun tidak mempunyai kekuatan jentera kempen seperti BN, PR mempunyai kelebihan kerana ramai penyokong yang boleh membantu secara sukarela ke arah Malaysia yang lebih baik.

Layari laman web UBAH.my hari ini.

 

“Dalam laman sesawang Ubah.my, kami menyediakan bahan kempen yang sesuai untuk diedar dan digunakan oleh semua kalangan rakyat selain banyak video untuk dikongsikan.

“Penyokong juga boleh memperkukuh jaringan kempen melalui perkongsian di media sosial,” katanya.

Selepas pelancaran kempen “Cetuskan Perubahan” di Stadium Merdeka, kumpulan kenderaan itu berkonvoi ke bangunan Parlimen untuk bergambar bersama pucuk pimpinan utama DAP di tugu peringatan Tunku Abdul Rahman. – Roketkini.com