Berita

Mampukah Psy, Gangnam Style pulihkan populariti merudum BN?

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Barisan Nasional (BN) terpaksa melakukan perang saraf terakhir membentuk persepsi pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dijangka akan diadakan dalam masa dua atau tiga minggu lagi.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata sempena sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Perdana Menteri di Pulau Pinang 11 Februari ini, BN mengadakan persembahan Psy dan Gangnam Style dari Korea Selatan bagi memulihkan popularitinya di kalangan pengundi Cina yang menjunam teruk daripada 17% kepada 6% dalam tempoh 10 bulan iaitu antara Februari dan Disember tahun lalu.

Katanya, dalam enam undian dilakukan tahun lalu, pengundi Cina yang “gembira” dengan Kerajaan BN terus jatuh menjunam daripada 17% pada Februari hingga 19% pada April, 18% pada Mei, 13% pada Jun, 19% pada Oktober menjunam kepada 6% pada Disember lalu.

“Secara secara keseluruhannya, hanya 45 peratus pengundi daripada semua kaum yang ditinjau pada Disember “gembira” dengan persepsi mereka terhadap BN berbanding dengan 48 peratus pada Februari dan 51 peratus pada April,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 63 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, ini sebabnya mengapa BN sanggup menghabiskan berjuta ringgit untuk mengadakan persembahan Psy dan Gangnam Style pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pulau Pinang, 11 Februari ini.

Bagaimanapun, katanya, mampukah Psy dan Gangnam Style itu memulihkan dan memenuhi harapan Najib supaya kalangan pengundi Cina menyokong UMNO/BN pada dalam PRU-13 nanti.

“Tinjauan yang dijalankan Merdeka Centre pada akhir tahun lalu (antara 15 hingga 28 Disember 2012) mendapati hanya enam peratus pengundi Cina “gembira” dengan Kerajaan BN sementara 65 peratus “tidak berpuas hati” atau “marah”.

“Mengenai persepsi mereka terhadap BN, tinjauan menunjukkan 16% pengundi Cina “gembira” berbanding 57% yang “tidak berpuas hati” atau “marah”. Hampir tiada sebarang pergerakan di dalam peratusan pengundi Cina yang “gembira” dengan BN dalam undian 10 bulan tahun lalu, iaitu 16% pada Februari, 17% (April), 17% (Oktober) dan 16% (Disember).

“Tinjauan sama menunjukkan walaupun kedudukan populariti Najib lebih tinggi berbanding UMNO/BN, secara keseluruhannya jatuh daripada 69% pada Februari kepada 63% pada Disember, manakala penurunan 22% dalam sepuluh bulan di kalangan pengundi Cina, iaitu daripada 56% pada Februari kepada 34% pada Disember 2012,” katanya.

Menurut Kit Siang, strategi terakhir BN ialah memfitnah dan membuat laporan palsu terhadap DAP dan pemimpin Pakatan Rakyat terutama menerusi laman tak berwajah, tak bernama dan tak berjiwa di media sosial dan media perdana UMNO/BN.

“BN juga sedang berusaha mewujudkan kesangsian dan rasa tidak percaya di kalangan parti dan pemimpin DAP, PKR dan PAS dengan memprovok permusuhan dan ketegangan untuk memecahbelahkan parti dalam Pakatan Raktyat itu terutamanya kerjasama antara DAP dan PAS bagi menyelamatkan UMNO/BN daripada cabaran “hidup atau mati” pada PRU-13 nanti.

“Mereka juga mencipta persepsi bahawa UMNO/BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya meraih sokongan popular di kalangan pengundi Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban,” tambahnya.-Roketkini.com