Berita

Saudagar rokok haram ‘jadi raja’ di Sabah

KOTA KINABALU, 10 FEB: Kemasukan pendatang asing ke Sabah bukan sahaja disalahguna pihak tertentu dalam isu kerakyatan malah ia menyebabkan isu ekonomi dan sosial.

Ia menyebabkan bermaharajalelanya penjualan rokok seludup dan semakin tidak terkawal terutamanya di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu.

Wakil wanita DAP Sabah, Noriah Onong berkata, walaupun pihak berkuasa pernah melakukan serbuan dan operasi, namun penjualan rokok seludup itu semakin berleluasa dan bertambah setiap hari.

“Keadaan hanya akan senyap seketika tapi bak kata pepatah, “biduk berlalu kiambang bertaut”. Setiap kali tangkapan dilakukan, keadaan bukan berkurangan malah bertambah,” jelasnya.

Katanya, kebanjiran penjual rokok seludup ini membahaya dan menyusahkan pengguna jalan raya termasuk diri mereka sendiri apabila menjual rokok di tepi jalan.

“Begitu juga dengan pembeli rokok seludup itu, hanya kerana harganya murah, mereka sanggup berhenti dan membeli di mana sahaja.

“Situasi itu juga sering memaksa pemandu menghentikan kenderaan mereka di tengah jalan raya hanya untuk membeli sebungkus rokok. Situasi itu juga mengakibatkan kesesakan jalan raya,” ujarnya.

Kemasukan pendatang asing secara tidak terkawal di Sabah sejak lebih dua dekad lalu menyebabkan berlakunya perubahan sosio politik dan ekonomi rakyat negeri itu ditambah dengan isu pemberian kad pengenalan secara mudah dalam “Projek M” sekitar tahun 1990-an.

Terbaru, ada kajian menunjukkan populasi pendatang asing ke Sabah menghampiri separuh daripada populasi asal negeri itu. – Roketkini.com