Berita

Sarawak negeri kaya, namun golongan muda disisih, lari bekerja ke Semenanjung

SRI AMAN, 11 FEB: Walaupun Sarawak merupakan negeri yang luas dan kaya dengan pelbagai sumber semulajadi, masih ramai golongan muda  tersisih dan terpaksa mencari rezeki di luar.

Justeru itu, tidak hairanlah jika ramai anak Sarawak bekerja di Semenanjung dalam pelbagai bidang terutamanya perusahaan dan perkilangan.

Penolong Setiausaha Pendidikan Politik Sarawak, Leon Jimat Donald, berkata keadaan itu berlaku akibat ramai majikan malah agensi kerajaan lebih gemar mengambil warga asing daripada warga tempatan terutamanya di ladang getah dan sawit.

“Ini sesuatu yang tidak adil. Mungkin disebabkan mereka boleh bayar (pekerja asing) rendah, rakyat sendiri dipinggirkan. Tak dapat peluang,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam pula, Leon menjelaskan dasar pengambilan penjawat awam oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak realistik dan tidak adil.

“Majoriti di sini adalah Bumiputera Iban diikuti bangsa lain. Mereka seolah-olah dipinggirkan daripada menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam.

“Saya tidak menafikan memang ada ambil (bumiputera) bekerja, tetapi tidak setimpal. Jika benar-benar BN mengutamakan rakyat, mengutamakan Bumiputera, kita gesa kerajaan ambil serius isu ini,” tegas beliau yang juga Pengerusi DAP Cawangan Sri Aman.

Mengenai sokongan di kalangan pemuda negeri itu kepada Pakatan Rakyat (PR) terutamanya DAP, Leon gembira kerana penerimaan golongan muda kepada parti itu sangat baik.

“Ramai yang menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan membantu DAP terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

“Banyak yang telah dilakukan untuk tarik dan sedarkan golongan muda terhadap politik. Antaranya membawa mereka menghadiri ceramah, bekerja seperti menjual akhbar The Rocket pada masa yang sama menerusi media sosial seperti facebook,” katanya.

Tambah Leon, kini, masalah utama yang bukan sahaja dihadapi pemuda malahan meliputi sebahagian besar masyarakat Sarawak lain ialah belenggu kemiskinan yang semakin ketara terutama di kawasan pedalaman.

“Kemiskinan memberi kelebihan kepada BN kerana mereka berpeluang ‘membeli’ pengundi menerusi bantuan BR1M, Tong Air 1Malaysia dan lain-lain.

“Ada juga aduan bahawa ketua suku mengugut orang bawahan mereka supaya mengundi BN. Disebabkan itu ada sebahagian rakyat terutamanya di kawasan kampung takut menyokong PR-DAP secara terang-terangan kerana bimbang dianiaya orang atasan mereka,” ujar beliau lagi.-Roketkini.com