Berita

Barua UMNO pukul siswa?: “Maaf Datuk Seri Najib, kami tolak politik samseng!”- siswa

Gambar ehsan: Ahmad Shukri Kamarudin

KUALA LUMPUR, 13 FEB: “Belum apa-apa lagi dah kena belasah, ni budaya apa?”, demikian bidas Ketua Biro Pakatan Rakyat DAPSY, Mazir Ibrahim dalam maklum balas beliau terhadap insiden samseng yang membelasah sekumpulan aktivis Gerakan Mahasiswa PRU-13 (GM13) ketika menjalankan aktiviti mereka di Parlimen Pekan, semalam.

Dalam satu laporan polis yang dibuat, sekumpulan samseng itu menumbuk kepala dan menyepak badan seorang daripada kumpulan mahasiswa itu, Ekhsan Bukharee (gambar), 22, selepas mereka diarah keluar dari Kampung Dato’ Keramat, Pekan.

Insiden itu telah menyebabkan bajunya koyak dan cedera di bahagian tangan kanannya.

Sehubungan itu, Mazir menggesa agar insiden itu disiasat pihak berkuasa dengan telus dan adil supaya kejadian sama tidak berulang.

“Kita harus rasa malu, dalam masa kerajaan melaungkan Malaysia negara demokrasi, masih wujud puak yang menolak demokrasi.

“Adakah cukup demokrasi sekadar di peti undi? Mahasiswa telah dibenarkan berpolitik. Apa masalahnya?” soal beliau.

Tambahnya, DAP menolak apa saja bentuk provokasi mana-mana pihak kerana DAP percaya kepada politik matang, hujah perlu dilawan dengan hujah.

“Kejadian itu adalah indikasi bahawa masih ada manusia yang tidak tahu hormati hak mahasiswa untuk berpolitik. Bagaimana jika kejadian itu berlaku ke atas mereka. Mereka juga akan rasa dizalimi,” katanya.

Pengerusi Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13), Syis Abd Kadir mengesyaki kejadian itu didalangi UMNO-BN yang tidak berpuas hati dengan pengumuman mahasiswa untuk bertanding di Parlimen Pekan tempoh hari.

“Bagaimana kita ingin membina ketamadunan negara jika kawasan Perdana Menteri sendiri pun masih tidak mengamalkan politik matang,” ujarnya.

Sambil menegaskan bahawa mahasiswa menolak politik samseng, Syis berkata, kerajaan telah mengumumkan mahasiswa boleh bergiat dalam politik.

“Tapi hari ini kenapa terpaksa gunakan samseng untuk berhadapan dengan mahasiswa.

“Saya menjemput Datuk Seri Najib untuk berdebat dengan mahasiswa berkenaan idea dan agenda yang kami bawakan, bukannya halang kami dengan cara yang tidak matang,” jelasnya dalam satu kenyataan. – Roketkini.com