Rencana

UMNO patut bersyukur jadi pembangkang Oleh Aspan Alias

LAWATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Pulau Pinang dianggap membazir bagi dirinya dan partinya, UMNO/BN.

Lawatan politik beliau kali ini diiringi penyanyi pop terkenal Psy dari Korea Selatan dan berbelanja sebanyak RM2 juta untuknya. Saya tidak tahu berapa pula bayaran kepada penyanyi tempatan, Shila Hamzah.

Psy menyanyi tidak lebih daripada 10 minit itu adalah orang yang diharapkan oleh Najib untuk meniupkan ‘mood’ bagi mendapatkan sokongan terhadap beliau dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Najib sedang berusaha untuk merampas kembali Pulau Pinang daripada DAP dan Pakatan Rakyat.

Najib tidak membawa dirinya sebagai pemimpin utama secara betul dan tidak ada siapa di kalangan Kabinetnya mampu membawa diri mereka sebagai pemimpin yang baik lagi.

Najib dimalukan orang ramai ketika berada di Pulau Pinang di hadapan tujuh ribu orang yang diangkut beramai-ramai itu. Beliau dimalukan orang ramai dengan jeritan ‘NO!’ apabila beliau bertanya sama ada sudah bersedia untuk BN.

Laungan ‘NO’ dengan spontan dan gemuruh ditunjukkan orang ramai di situ. Sebelum itu pertanyaan Najib sama ada mereka bersedia untuk Psy, orang ramai dengan gemuruh menjawab YES.

Keadaan seperti itu sepatutnya memberi kesedaran kepada semua pemimpin UMNO/BN bahawa rakyat sudah tidak mahu lagi memberi sokongan atau dukungan terhadap BN pimpinan Najib dan barisan kepimpinan UMNO dalam Majlis Tertinggi parti itu.

Rakyat terpaksa berhimpun dan menyatakan secara berdepan yang mereka tidak mahu lagi BN untuk terus memerintah mereka.

Dalam perhimpunan CNY itu sepatutnya memberikan Najib kesedaran yang rakyat tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan hiburan yang mengasyikkan. Rakyat mahukan kerajaan yang serius dan berani berubah. Tetapi rakyat tahu pimpinan hari ini tidak berani berubah sikap dan perangai mereka kerana berubah bermakna tidak rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa.

Kini elok kita bertanya, mampukah BN meyakinkan rakyat yang mereka tidak akan rasuah lagi? Rakyat sedar yang ketagih rasuah seperti pimpinan UMNO tidak mampu mahu berubah dan tidak akan mampu untuk berubah. Stigma kotor yang melekat pada batang tubuh pimpinan BN dan UMNO itu tidak dapat di bersihkan lagi. Itu sebab saya katakan yang UMNO perlu mencari orang lain untuk memimpin bagi menukar imejnya yang terlalu busuk dan buruk itu.

Jika keburukan imej yang dihadapi UMNO itu tidak dapat diubah, berikanlah sepuluh kali BR1M, TR1M dan apa-apa R1M yang lain rakyat perlukan perubahan. Kalau UMNO masih menerajui negara, ia bukannya perubahan. UMNO tidak boleh menggantikan Muhyiddin sebagai gantian kepada Najib. Begitu juga Zahid Hamidi, Hishammuddin dan Shafie Afdal. Mereka ini tidak boleh menggantikan Muhyiddin dan begitulah seterusnya.

Menggantikan Najib dengan Muhyiddin tidak akan membawa apa-apa kebaikan malah ia akan meruntuhkan lagi UMNO dan akan mati lebih cepat. Semua pemimpin dalam Majlis Tertinggi itu tidak boleh menggantikan Najib. Yang boleh menggantikan Najib hanyalah sesiapa yang berada di luar barisan pimpinan itu untuk membawa imej dan aura yang baru bagi parti itu. Tetapi itu tidak juga berlaku. Maka perubahan parti pemerintah merupakan jalan dan satu-satunya kaedah untuk membetulkan yang salah, menyambung yang putus dan menampal yang koyak hasil perlakuan UMNO dan BN itu.

Tetapi rakyat Malaysia masih bernasib baik kerana jika UMNO dan BN tidak mampu berubah maka kita ubah, kita boleh tukar BN itu dengan parti yang lain yang telah lama wujud secara halal dalam negara ini. UMNO boleh kembali memerintah mungkin sepuluh tahun lagi apabila mereka memperbaiki imej mereka ketika berada sebagai pembangkang nanti.

Di India parti Kongress telah kembali berkuasa setelah ditumpaskan parti Janata dulu. Parti Kongress telah mencapai kemerdekaan negara India dan ditumpaskan oleh rakyat kerana isu yang sama seperti yang dihadapi UMNO di negara ini. Di Jepun juga parti Liberal Demokrat telah kembali berkuasa setelah berada sebagai parti pembangkang beberapa ketika kerana ditolak oleh rakyat Jepun pada awal tahun 2000 dulu sedangkan Liberal Demokrat merupakan parti yang telah membawa Jepun menjadi kuasa ekonomi ketiga besarnya dalam dunia ini.

UMNO perlu melalui proses introspeksi kerana parti itu sudah tidak lagi tahu mana yang baik dan mana yang buruk. Yang buruk dianggap baik dan yang baik dianggap buruk. Itulah sebabnya rakyat negara ini wajar melakukan perubahan itu sedaya upaya kerana jika rakyat tidak mampu mengubahnya maka kesalahan itu akan terletak di bahu rakyat sendiri.

Jika UMNO menjadi pembangkang masa itu boleh digunakan untuk melakukan pembaikan kepada kualiti kepimpinan parti itu dan pemimpinnya boleh belajar berfikir kerana pengalaman sebagai pembangkang itu perlu untuk melatih pemimpin parti itu untuk berfikir dengan baik. Apabila UMNO sudah bersedia menjadi parti yang baik, mungkin Hishammuddin tidak akan bercakap seperti orang yang hilang akal lagi.

Mungkin Najib akan lebih matang dan memahami perasaan rakyat dan tidak lagi bercakap memperbodoh-bodohkan rakyat lagi. Mungkin ketika itu Mahathir akan lebih baik dan tidak lagi melakukan hasutan dan memecahbelahkan pimpinan UMNO lagi. Ketika itu nanti mungkin Rais Yatim tidak lagi menunjukkan sikap mengampu dan membodek pucuk pimpinan ketika itu. Satu lagi kemungkinan ialah UMNO akan sedar yang melakukan rasuah itu kerja hina dan boleh menjatuhkan tamadun rakyat.

Dengan meletakkan UMNO sebagai pembangkang maka UMNO akan tahu samada tuduhan Pakatan Rakyat mampu mentadbir negara. UMNO boleh memantau samada pimpinan Pakatan Rakyat melakukan apa yang mereka (UMNO) lakukan ketika memerintah selama 56 tahun itu. UMNO boleh memantau sama ada PAS, DAP dan PKR akan menaikkan harga bekalan alat pertahanan negara berlipat kali ganda atau tidak.

Yang terlebih penting untuk UMNO ketika menjadi pembangkang itu ialah bahawa memberikan pendidikan percuma itu boleh dilakukan. Menghapuskan tol itu juga boleh dilakukan dan tidak akan membankrapkan negara. Pakatan Rakyat juga akan mengajar bagaimana Badan Kehakiman yang bebas itu boleh membina negara dengan baik. UMNO juga boleh melihat sama ada berlaku pembunuhan wanita asing yang membabitkan pimpinan negara ketika itu nanti.

UMNO juga akan belajar dan mengetahui yang rupa-rupanya pemimpin boleh mentadbir negara tanpa rasuah dan belajar yang ketagihan rasuah itu boleh dielak jika usaha menolaknya dibuat pada awal pentadbiran kerajaan baru itu.

UMNO juga akan belajar bagaimana untuk menjadikan media massa yang lebih adil dan terbuka itu akan membina minda dan sikap rakyat keseluruhannya.

Pendeknya jika UMNO menjadi pembangkang ia lebih menguntungkan UMNO lagi kerana ia memberikan kesempatan bagi parti itu memperbaiki diri mereka untuk menjadi parti yang bertanggungjawab dan berdisiplin yang tinggi.

Yang terpenting lagi bagi UMNO belajar ketika menjadi pembangkang itu ialah mengakui yang negara ini rakyat yang punya, bukannya Mahathir, Najib atau pun mana-mana pemimpin dari partinya. – Roketkini.com