Berita

Selangor catat rekod pelaburan tertinggi, kerajaan PR buktikan kemampuan mentadbir

SHAH ALAM, 14 FEB: Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) berjaya menyumbang 30 peratus pelaburan di Malaysia, melepasi sasaran purata pelaburan negeri itu bagi tempoh Januari hingga Oktober 2012.

Pencapaian memberangsangkan ini sekaligus mencatatkan rekod tertinggi berbanding negeri-negeri lain dengan nilai melebihi RM10.5 bilion melibatkan 211 projek perkilangan yang telah diluluskan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Selangor menjadi negeri tertinggi menerima pelaburan dengan jumlah keseluruhan RM48.53 bilion dalam tempoh tersebut.

Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, prestasi memberangsangkan ini adalah terbaik dan tertinggi dicapai oleh Negeri Selangor sejak PR mengambil alih pentadbiran negeri itu berbanding pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Jumlah ini menunjukkan Selangor masih kekal sebagai pilihan destinasi pelaburan tempatan dan asing, ia juga membuktikan pelabur tempatan menaruh keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri,” ujar beliau dalam satu sidang media di bangunan SUK.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, dari jumlah pelaburan yang diluluskan di Selangor, sebanyak RM6.5 bilion mewakili 62 peratus pelaburan tempatan diperoleh, manakala sebanyak RM3.9 bilion atau 38 peratus pula adalah daripada pelaburan asing.

“Dari 211 projek, sejumlah 131 projek merupakan projek baru dengan nilai RM7.477 bilion dan sebanyak 80 projek merupakan projek pembesaran dan sebagainya dengan nilai pelaburan berjumlah RM3.043 bilion,” katanya.

Beliau berkata potensi peluang pekerjaan di Selangor juga turut mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 18,975 peluang pekerjaan iaitu 31 peratus dari jumlah peluang pekerjaan yang diwujudkan di Malaysia.

Melalui statistik pelaburan yang dicatatkan, industri pembuatan peralatan kenderaan merekodkan nilai pelaburan tertinggi berjumlah RM4.4 bilion dengan 34 buah projek diikuti dengan industri pembuatan barangan elektrik dan elektronik sebanyak RM1.5 bilion meliputi 19 buah projek.

“Kita menjangkakan negeri Selangor akan terus berada pada kedudukan teratas sehingga akhir tahun 2012,” katanya yang juga Pengerusi DAP Negeri Selangor.-Roketkini.com