Berita

Wang bukan untuk beli segalanya, termasuk undi dan laungan “tidak” untuk BN

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Walaupun duit bukan masalah besar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan UMNO/Barisan Nasional (BN), namun jelas ia tidak dapat membeli segalanya, termasuk cinta, kesetiaan, patriotisme dan undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata duit ditabur Najib dan UMNO/BN seperti air mengalir sepanjang bulan lalu, termasuk jutaan ringgit dibelanjakan untuk mengadakan persembahan Gangnam Style Psy di Pulau Pinang, tetapi gagal mengembalikan kebersihan tapak Sekolah Han Chiang yang musnah selepas 48 jam majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Najib itu.

“Ketika saya melintas, tapak Sekolah Han Chiang itu pagi semalam dipenuhi timbunan sampah selepas 48 jam persembahan Gangnam Style Psy yang diterbangkan terus dari Brazil ke Pulau Pinang, tetapi penganjur gagal mengembalikan kebersihan tapak sekolah itu.

“Ini adalah pengajaran yang mahal buat Najib dan UMNO/BN bahawa terdapat benda yang tidak boleh dibeli dengan wang, termasuk undi.

“Pada majlis Tahun Baru Cina itu, Najib diaibkan dengan video satu minit berterusan tersebar dan ditonton ramai rakyat Malaysia yang tidak dapat dilupakan apabila tiga kali laungan “Yes” ketika ditanya “Are you ready for Psy?” diikuti tiga laungan “No” ketika ditanya: “Are you ready for BN?”, katanya dalam kenyataan media Pengiraan Detik 57 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau akui masih belum menonton iklan Tahun Baru Cina di mana Najib berlakon sebagai pemain gendang tarian singa walaupun iklan itu sudah disiarkan selama lima hari.

Katanya, hanya selepas membaca artikel Kee Thuan Chye di Malaysiakini bertajuk “The PM is Demeaning Himself” baru beliau mencarinya di YouTube untuk melihat sendiri sama ada komen Kee itu mempunyai asasnya, dan Kee tepat pada sasaran.

“Saya juga menyemak kesahihan kritikan mengenai tulisan salah perkataan Cina “吉” (sebagaimana Najib menggunakan Ah Jib Gor sebagai nama Cinanya) dengan garisan horizontal di atas lebih pendek berbanding yang di bawah yang bermakna kecelakaan untuk Ah Jib Gor.

“Sebenarnya, klip video kedua malapetaka “Gangnam Style Psy”  Tahun Baru Cina Najib di Pulau Pinang sedang tersebar luas, video tujuh minit yang memaparkan detik memalukan Najib dan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah terkandas di atas pentas menanti bintang Korea Selatan itu menyertai mereka menggaul Yee San, tetapi terpaksa meninggalkan pentas apabila Psy menolak menyertai Najib di dalam acara Yee San itu,” katanya.

Menurut beliau, Najib telah twit mengatakan persembahan Psy dan rombongan Gangnam Style yang menelan belanja RM3.5 juta itu tidak membabitkan duit rakyat.

Katanya, terdapat dua pengajaran untuk Najib dan tukang putar politiknya iaitu pertama , mereka tidak sepatutnya begitu naif menganggap rakyat Malaysia begitu mudah ditipu bahawa penampilan Psy di Pulau Pinang, diterbangkan terus selama 20 jam dari Brazil akhirnya tidak akan dibayar oleh pembayar cukai Malaysia dalam apa jua bentuk sebab itu kemunculan penaja disembunyi dan identiti sebenar dirahsiakan.

Kedua, katanya, terdapat perkara yang tidak boleh dibeli dengan wang iaitu tiga laungan “Tidak” untuk soalan Najib sama ada mereka bersedia untuk BN, atau lebih penting, undi pada PRU-13 nanti untuk menentukan berlaku perubahan sepanjang 55 tahun Kerajaan Persekutuan daripada BN kepada Pakatan Rakyat di Putrajaya. – Roketkini.com