Berita

Keikhlasan Najib tanda tangan ikrar integriti pilihan raya dipertikai

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau mempertikaikan tindakan Datuk Seri Najib Razak menandatangani ikrar integriti pilihan raya yang dicadang Transparency International- Malaysia (TI-M) kerana selama empat tahun menjadi Perdana Menteri kedudukan rasuah di Malaysia menjunam paling teruk dalam tempoh 56 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah negara.

Katanya, dalam tempoh itu juga Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) berada pada kedudukan terendah dalam tempoh 18 tahun iaitu ke-56 pada 2009 dan 2010, ke-60 pada 2011 dan ke-54 pada 2012.

Manakala ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, kedudukan Malaysia di tempat ke-37 dalam CPI TI pada 1995 dan selepas 22 tahun pemerintahan authoritarian dan menduduki ke-47 pada 2008 selepas lima tahun  “Mr Clean” Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara.

“Ketika pemerintahan Najib kedudukan rasuah paling teruk berbanding era Mahathir dan Abdullah, dan tidak ada yang mengatakan rasuah di bawah tiga Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein lebih teruk berbanding era tiga pengganti mereka.

“Lebih teruk lagi ikrar dipertikaikan dengan kehadiran Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang meletakkan Malaysia pada perhatian kempen anti-rasuah antarabangsa selepas dakwaan dalam laporan menggemparkan oleh NGO Switzerland  Bruno Manser Fund (BMF) September lalu bahawa anggaran aset keluarga Taib Mahmud sebanyak US$21 billion (RM64 billion) dan kekayaan peribadinya sebanyak US$15 billion (RM46 billion) menjadikannya orang paling kaya di Malaysia menewaskan Robert Kuok yang hanya mempunyai aset US$12.5 billion,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 49 Hari Ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Najib bukan saja tidak serius dan bertekad memerangi rasuah dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat laporan BMF itu untuk membersihkan nama Taib dan lebih penting memulihkan reputasi Malaysia, sebaliknya mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membiarkan laporan BMF dan secara terbuka menolak dakwaan rasuah besar terhadap Ketua Menteri Sarawak itu.

Menurutnya, sekiranya Ketua Menteri Sarawak hadir pada majlis menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Najib semalam, kenapa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, seorang lagi pemimpin BN yang meletakkan Malaysia di bawah perhatian anti-rasuah antarabangsa tidak hadir?

“Saya pernah berucap pada Belanjawan 2013 di Parlimen Oktober lalu, mengenai “ujian trio” untuk lihat sama ada terdapat kesungguhan politik di dalam pemerintahan Najib untuk memerangi “Rasuah Besar”oleh VVIP, dan saya menyebut nama Taib, Musa dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

“Bagaimanapun, Najib hanya membisu mengenai “ujian trio” dalam memerangi “rasuah besar” di Malaysia ini membuatkan kewibawaan dan legitimasi Najib dipertikaikan.

“Sebelum Perhimpunan Agung UMNO ke-66, Presiden China dari Parti Komunis China (CCP), Hu Jintao memberi amaran ketika Kongres CCP ke-18 bahawa rasuah akan menyebabkan keruntuhan parti dan kemusnahan negara, tema yang diangkat dalam ucapan pertama pemimpin baru Parti Komunis Cina, Xi Jinping, yang mengutuk rasuah jika berleluasa akan memusnahkan parti dan negara,” katanya.

Menurutnya, banyak sebab Najib perlu memberi keutamaan terhadap masalah rasuah berbanding Hu Jintao dan Xi Jinping kerana sepanjang dua dekad lalu, Cina sudah menampakkan perkembangan dalam memerangi rasuah sementara sebaliknya berlaku pada Malaysia.

Katanya, jika trend kemajuan China di dalam CPI-TI sepanjang 18 tahun lalu (1995-2012) dan kemerosotan Malaysia tidak dipedulikan, China akan berada pada kedudukan lebih baik berbanding Malaysia dan di peringkat antarabangsa dianggap sebagai kurang korup dalam tempoh kurang lima tahun.

“Perhimpunan Agung UMNO ke-66 adalah bukti bahawa UMNO/BN sinonim dengan rasuah di Malaysia dan Najib selama memerintah hanya pandai melaungkan slogan anti-rasuah tetapi tiada langsung kesungguhan politik dan komitmen untuk membasmi rasuah, terutamanya rasuah besar membabitkan pemimpin politik dan kerajaan.

“Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Najib juga terus membisu dengan dakwaan serius yang dibangkitkan ahli perniagaan Deepak Jaikishan mengenai integriti projek pertahanan RM100 juta pada 2005 membabitkan keluarga Perdana Menteri dan kes pembunuhan berprofil tinggi model Mongolia, Altantuya Shaariibuu,” ujarnya.

Kit Siang berkata, begitu juga dengan penolakan perwakilan UMNO Sabah yang menganggap sumbangan RM40 juta itu sangat kecil berbanding berjuta-juta ringgit yang UMNO taburkan ketika pilihan raya sekaligus mendedahkan di kawasan Putatan, UMNO membelanjakan sehingga RM6 juta ketika pilihan raya.

“Ini bermakna jika 26 kawasan Parlimen di Sabah (dan Labuan) dan dengan purata RM6 juta satu kawasan, belanja keseluruhan mencecah lebih daripada RM150 juta pada peringkat Parlimen.

“Ini bermakna UMNO/BN membelanjakan sekurang-kurangnya RM300 juta di Sabah, RM300 juta di Sarawak, dan perbelanjaan pilihan raya yang serupa untuk 165 kerusi Parlimen dan 441 kerusi Dewan Undangan Negeri di 11 negeri di Semenanjung Malaysia. Kita lihat UMNO/BN akan membelanjakan berbilion ringgit dalam PRU-13 untuk mengekalkan kuasa dan menawan semula majoriti dua pertiga di Parlimen, termasuk mendapatkan semula empat negeri yang diperintah Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Kedah dan mengekalkan pemerintahan tidak mengikut perlembagaan di Perak,” katanya.

Tambahnya, jika UMNO/BN bersedia membelanjakan berbilion ringgit pada PRU-13, apa gunanya Najib menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama ada mereka juga perlu menandatangani ikrar sama.- Roketkini.com