Budaya

Ketuanan Rakyat dan Bangsa Malaysia Oleh Uthaya Sankar SB

Buku “The Malaysian Indian Dilemma” boleh membantu memahami masalah kaum India di Malaysia.

DILEMA berterusan yang dialami penduduk kaum India di negara ini sejak 1957 adalah apabila secara terus-terusan dilabel sebagai “pendatang” dan diperlekeh dalam pelbagai hal. Tentu sahaja tidak semua pihak terlibat dalam melakukan penindasan seperti itu.

Namun, sekiranya kita menonton kebanyakan program televisyen (khususnya drama dan komedi) serta iklan, hal ini akan nyata. Keadaan menjadi lebih parah apabila akhbar-akhbar yang dinaungi badan-badan politik tertentu juga melakukan penindasan serta menanam bibit-bibit kebencian terhadap penduduk minoriti ini.

Kehadiran badan-badan seperti Perkasa dan pertubuhan lain yang secara terang-terangan berciri etnosentrik membuatkan keadaan menjadi lebih parah. Kontroversi novel Interlok: Edisi Murid sepanjang 2011 juga mendedahkan “wajah sebenar” pelbagai kelompok (termasuk persatuan penulis) yang mula melakukan penghinaan secara terbuka terhadap kaum India.

Walau bagaimanapun, janganlah pula kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Pada hakikatnya, tidak semua orang memiliki sikap perkauman dan etnosentrik. Hanya golongan yang kurang ilmu agama dan tidak ada jati diri akan mula menindas orang lain serta memberikan gelaran yang bermacam-macam kepada kaum lain.

Rasa-rasanya tidak perlulah dihuraikan secara terperinci siapa dan pertubuhan mana yang sering terlibat dalam usaha-usaha menindas kaum lain sebagai usaha memastikan pihaknya sahaja mendapat keuntungan berganda.

Realiti politik di Malaysia adalah berasaskan kaum. Perkara ini nyata sejak awal tahun 1950-an. Ada parti khusus bagi setiap kaum dan etnik. Malah, parti-parti berkenaan – khususnya UMNO, MCA dan MIC – bergabung membentuk Perikatan semata-mata bagi memenuhi syarat yang diletakkan oleh pihak British.

Amalan yang sama sebenarnya masih berterusan dalam Barisan Nasional (BN) sehingga kini. Tiga parti utama dalam komponen BN mewakili tiga kaum. Kerajaan BN menyalurkan “bantuan” kepada penduduk kaum India menerusi MIC; untuk kaum Cina menerusi MCA. Bagaikan rakyat negara ini masih wajib dibahagikan mengikut kaum. Bagaikan “negara bangsa” – atau 1Malaysia? – belum wujud.

Rakyat pelbagai kaum/agama semakin bersatu dan mahu dikenali sebagai “Bangsa Malaysia”.

Atas sebab itulah juga Kerajaan BN belum mampu menonjolkan kedudukannya sebagai “Kerajaan Persekutuan” pada erti kata yang sebenar. Politik perkauman serta pembahagian rakyat mengikut kaum masih menjadi amalan yang belum mampu dihapuskan.

Demikianlah sebenarnya antara rungutan, keluhan dan pandangan yang saya terima daripada rakan-rakan pelbagai kaum dan agama. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga masih melihat serta meletakkan dirinya sebagai “Pengerusi BN” dan “Presiden UMNO” walaupun kononnya menghadiri pelbagai acara “bersama rakyat” sebagai Perdana Menteri.

Tentu sahaja topik seperti ini akan menimbulkan kemarahan dan rasa tidak senang hati dalam kalangan pihak tertentu. Misalnya, sesiapa yang mengharapkan supaya Kerajaan Pusat selaku pemerintah melayan semua rakyat secara sama rata akan dilabel sebagai sedang berusaha menghapuskan atau mempersoalkan Hak Istimewa Bumiputera dan konsep Ketuanan Melayu.

Kalau dilihat sejak awal tahun ini, kehangatan melaung-laungkan konsep Ketuanan Melayu sudah sedikit senyap. Maksud saya, di pihak UMNO. “Kontrak” meneriakkan dan melaungkan konsep itu mungkin sudah diserahkan kepada pertubuhan dan individu bersikap etnosentrik dan “ultra kiasu” seperti Perkasa, Ibrahim Ali, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary, Norhayati Saiddin, Huya Fattah, Ridhuan Tee Abdullah dan juak-juak lain.

Malah, sedar atau tidak, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Muhammad juga muncul kembali dengan agenda “Melayu”nya yang secara terang-terangan melabel kaum India dan Cina di negara ini sebagai “pendatang”. Apa yang melucukan adalah bahawa di bawah dalil yang diberikannya, beliau sendiri adalah “pendatang” kerana bapanya datang dari Kerala, India.

Najib perjuangkan “1Malaysia” tapi Muhyiddin perjuangkan “Malay first”.

Apabila Najib mengemukakan gagasan “1Malaysia” dan “Malaysian first”, timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menegaskan pendirian “Malay first” selain (hampir) bermati-matian mempertahankan novel Interlok: Edisi Murid (2010) yang jelas bertentangan dengan impian “1Malaysia” Najib.

Di pihak yang lain pula, sebagai penganalisis media dan politik, saya perhatikan sikap yang lebih bertolak ansur dalam kalangan parti-parti yang dilabel sebagai “pembangkang” di negara ini. Di tengah-tengah slogan muluk “1Malaysia” yang ternyata lebih merupakan seolah-olah strategi pemasaran untuk mengaut keuntungan bagi kroni dan sekutu, kedengaran pula laungan membentuk “Bangsa Malaysia” dan “Malaysian Malaysia” pada erti kata yang sebenar.

Istilah “Bangsa Malaysia” pernah dikemukakan oleh Mahathir pada suatu masa dahulu. Namun, sebagaimana konsep-konsep dan gagasan politik yang diperkenalkan politikus dari semasa ke semasa, konsep itu juga tinggal konsep.

Ada pihak yang beranggapan bahawa konsep “Bangsa Malaysia” akan menghapuskan “agenda Melayu” kerana “kaum pendatang” (baca: Cina dan India serta etnik-etnik lain) akan menerima hak yang lebih banyak (baca: hak yang sepatutnya) apabila semua orang diperakukan sebagai satu bangsa iaitu “Bangsa Malaysia”.

Saya secara peribadi menyokong serta mengimpikan “Bangsa Malaysia” di mana setiap rakyat diberikan layanan adil mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan; bukannya ditindas dan dilabel sebagai “pendatang”.

Kaum India yang sekian lama tertindas secara langsung dan tidak langsung dalam pelbagai bidang sudah tidak bersedia untuk membiarkan diri dan generasi akan datang terus ditindas dan dizalimi. Sebagaimana orang Islam, orang Hindu juga percaya bahawa Tuhan akan mendengar doa golongan yang dizalimi.

Kebangkitan sebahagian kaum India di bawah sepanduk HINDRAF pada November 2007 menjadi bukti bahawa kaum India di Malaysia tidak akan terus tertunduk apabila kepala mereka diketuk oleh golongan yang menganggap mereka adalah tuan.

Di pihak MIC pula, sebagai sekadar “komponen kecil” dalam BN, parti politik itu tidak boleh banyak bersuara di hadapan “tuan”nya. Maka, walaupun MIC mendabik dada sebagai satu-satu parti politik yang berhak dan layak mewakili kaum India dalam komponen BN (baca: kerajaan), ia masih tidak ada hak bersuara.

Apabila kaum India sudah mulai bangkit menuntut “Ketuanan Rakyat” maka tentu sahaja ada usaha menyekat impian murni, adil dan berasas itu dengan senjata perkauman. Kononnya jika hak diberi kepada semua rakyat (baca: “pendatang” Cina dan India), maka orang Melayu akan kehilangan hak-hak istimewa.

Betapa dangkal dan bodohnya mana-mana pihak yang berpandangan begitu. Mereka lupa bahawa masyarakat pada masa kini sudah lebih bijak daripada politikus tertentu yang hanya ada bakat menjadi pengacara majlis pada konsert-konsert Psy dan memukul gendang sempena Tahun Baru Cina.

Senjata yang cuba digunakan puak tertentu untuk meracuni fikiran rakyat (khususnya orang Melayu) adalah bahawa jika semua rakyat mendapat hak, maka orang Melayu akan kehilangan hak-hak istimewa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Kononnya, jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), maka mungkin orang Cina dari DAP menjadi Perdana Menteri. Pada hakikatnya, DAP tetap dengan pendirian mahukan orang Melayu sebagai Perdana Menteri.

Kononnya, Perlembagaan Persekutuan akan dipinda dan kedudukan istimewa orang Melayu akan terhapus. Kononnya, kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan akan terhapus. Kononnya kedudukan Islam sebagai agama persekutuan akan tergugat.

Wasiat Raja-raja Melayu ditandatangani pada 5 Ogos 1957.

Kepada “mangkuk-mangkuk hayun” yang menyebarkan fitnah sedemikian, suka saya menyarankan mereka membaca dokumen rasmi Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957; iaitu sebelum negara merdeka. Bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain, kedudukan agama Islam dan sebagainya dinyatakan secara jelas dalam wasiat itu.

Maknanya, puak-puak ultra kiasu yang bersikap etnosentrik dan mencetuskan perkauman itu sebenarnya tidak yakin pada kemampuan Raja-raja Melayu mempertahankan apa-apa yang dijanjikan menerusi wasiat itu. Bukankah golongan “pelampau” seperti ini wajar diperhatikan oleh pihak berkuasa?

Saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berpegang pada konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” dalam mengendalikan pelbagai program bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara. Atas sebab itu juga kami dilabel “anti-Melayu”!

Sementara parti-parti politik dalam BN lebih banyak dibahagikan mengikut kaum dan dijalin dengan benang-benang rapuh, parti-parti dalam PR pula lebih banyak mempamerkan semangat “Bangsa Malaysia” seperti yang diimpikan.

Memandangkan UMNO memegang kuasa veto dalam BN, maka cara paling mudah untuk memusnahkan populariti PR dalam kalangan masyarakat adalah dengan menyebarkan khabar angin bahawa DAP akan menjadi “ketua” kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS. Kononnya, orang Melayu hilang kuasa jika PR memerintah negara.

Satu lagi gagasan penting dalam PR adalah konsep “Ketuanan Rakyat” yang hangat diperkatakan mulai November 2010 dan selaras dengan konsep “Bangsa Malaysia” dan “Malaysian Malaysia”. Apabila Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengemukakannya dalam ucapan dasar di Kongres PKR, ramai juak-juak politik etnosentrik yang menggelarkannya sebagai “Si Kitul”.

DAP pula sejak dahulu memperjuangkan “Malaysian Malaysia”. Bagi saya, kenyataan Wan Azizah serta DAP tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Pendirian PR tidak mencabar hak istimewa Bumiputera (termasuk Melayu). Apa yang dipersoalkan adalah “ketuanan” yang membinasakan orang Melayu sendiri selain mendiskriminasi (menafikan hak) kaum-kaum lain.

Pada realiti, istilah “Ketuanan Melayu” tidak perlu dibahaskan. Tidak timbul soal sesiapa mempersoalkan “Ketuanan Melayu” kerana ia tidak wujud pun dalam Perlembagaan Negara. Seperti dilaporkan di akhbar Sinar Harian (1 Disember 2010), “dalam aspek sejarah, hanya Ketuanan Raja yang termaktub dalam perlembagaan”.

Saya menyokong konsep “Bangsa Malaysia” dan “Ketuanan Rakyat” kerana itulah yang sebenarnya dijanjikan dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah, orang ramai – khususnya kaum India yang sudah serik dipanggil “pendatang” – sudah menyedari perkara itu. – Roketkini.com

Uthaya Sankar SB bukan ahli mana-mana parti politik.