Berita

Muafakat PR dicemburui, Anwar mahu jentera pilihan raya tegas lawan serangan BN

SHAH ALAM 25 FEB: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Pakatan Rakyat (PR) agar tidak bersikap apologetik dan defensif ketika menangkis pelbagai serangan, tohmahan dan fitnah UMNO-Barisan Nasional (BN) terhadap gabungan oposisi itu.

Ini kerana. katanya, serangan UMNO/BN yang membabitkan isu teras dalam politik negara ini semata-mata bertujuan menghancurkan persefahaman dan perpaduan Melayu dan PR.

Justeru itu, beliau meminta seluruh jentera kempen pilihan raya PR bertegas dan sentiasa bersedia untuk menjawab sebarang tohmahan yang dilemparkan UMNO/BN dan media kawalan mereka tanpa perlu rasa takut.

“Jangan minta maaf dan defensif kerana yang merompak, yang mengambil saham, kontrak sehingga permit teksi dan wang lembu ialah pimpinan UMNO yang khianat kepada amanah,” ujarnya ketika berucap di Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, semalam.

Beliau berkata, ujian terbesar pilihan raya kali ini adalah permuafakatan PR yang membuatkan UMNO/BN begitu iri hati dan tidak senang duduk.

Anwar berkata, muafakat dalam PR berbeza daripada biasa kerana Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini bukan sekadar satu perlawanan untuk merebut kuasa tetapi ia menonjolkan keikhlasan yang akan diterjemahkan dengan janji dan amanah.

Beliau juga memuji kesungguhan pimpinan muda PR terutamanya Sekretariat Pakatan Rakyat kerana usaha bersungguh-sungguh mereka merangka satu dasar penting seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan Rakyat.

Anwar juga memuji rekod kepimpinan yang ditunjukkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz selama 22 tahun menerajui negeri Cik Siti Wan Kembang itu adalah aset terbesar PR menuju ke Putrajaya.

Bagi beliau, intergriti dan good governance yang ditunjukkan Tuan Guru Nik Aziz selama 22 tahun mentadbir Kelantan membuktikan kehebatan kepemimpinan yang ada pada PR.

Menurutnya, tidak ada mana-mana pemimpin di rantau sebelah sini yang boleh mengatasi kehebatan Tuan Guru Nik Aziz dari segi intergritinya.

Katanya, PR juga berbangga dengan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang begitu hebat, cekap dan telus dalam menerajui kerajaan Pulau Mutiara itu.

“Guan Eng sanggup mengaku kelemahannya serta memahami keperluan orang Melayu di Pulau Pinang dan memperuntukkan setengah bilion ringgit (RM500 juta) untuk perumahan rakyat di negeri itu,” katanya.

Anwar berkata, PR juga berbangga dengan kehebatan yang ditunjukkan kerajaan negeri Selangor yang diterajui Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Dengan perancangan yang dilakukan Khalid, lihatlah apa yang dikecapi rakyat sekarang dan kemajuan ekonomi yang dicapai Selangor,” katanya.-Roketkini.com