Berita

Pilihan raya kerajaan tempatan: Pulau Pinang beri tempoh Pusat, SPR dua minggu

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) diberi tempoh dua minggu mulai hari ini supaya membenarkan pilihan raya kerajaan tempatan bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) diadakan.

Bagi mencapai maksud ini, kerajaan negeri akan memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan selepas tempoh 14 hari itu jika Kerajaan Persekutuan tidak membenarkan pelaksanaannya melalui peguam terkemuka, Tommy Thomas.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata desakan supaya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan bertujuan memelihara dan mengembalikan demokrasi dan hak asasi rakyat.

“Mengembalikan undi ketiga adalah tuntutan asas dan menjadi komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak Pilihan Raya Umum 2008.

“Aspirasi untuk memberi warga Pulau Pinang hak untuk memilih bukan sahaja terhad kepada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua Menteri tetapi seharusnya diperluaskan kepada pemilihan Ahli Majlis Perbandaran dan Datuk Bandar.

“Jika masih tidak dibenarkan, Pulau Pinang menjadi negeri ketiga menyaman Kerajaan Persekutuan dan SPR selepas Kelantan dan Selangor,” katanya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menambah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama bekas Presiden Aliran, P. Ramakrishnan akan menjadi plaintif dalam saman itu.

Ditanya mengenai pemilihan Ramakrishnan, Guan Eng berkata, ini kerana beliau sudah mengundi dalam pilihan raya negeri dan persekutuan sejak 1964 dan bekas Presiden Aliran juga mahu mengundi pada pilihan raya kerajaan tempatan.

Pilihan raya kerajaan tempatan bukan perkara baru di Malaysia tetapi ia dimansuhkan Kerajaan Persekutuan pada 1 Mac 1965.

Sebelum ini, Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) 2012 pada 9 Mei tahun lalu dan dipersetujui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada 15 Jun 2012 menepati Perkara 26 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Peguam, Tommy Thomas yang mengulas lanjut mengenai perkara itu berkata, wujud peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berkata, sekiranya terdapat sebarang pertentangan undang-undang negeri dan Persekutuan maka kes boleh dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Katanya, Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa kerajaan negeri boleh memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya lain selain Pilihan Raya Umum justeru keengganan kerajaan Persekutuan dan SPR memberi kebenaran untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan menimbulkan tanda tanya.-Roketkini.com