Berita

Najib belum arah SPRM siasat kekayaan Taib Mahmud?

SEGAMAT, 27 FEB: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengulangi keraguannya kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International (TI) belum mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat terhadap kekayaan berbilion dolar Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya, kehadiran Taib ketika Najib menandatangani ikrar itu juga meletakkan Malaysia dalam perhatian kempen anti-rasuah antarabangsa selepas dakwaan NGO berpengkalan di Swiss Bruno Manser Fund (BMF), September lalu yang menjangka aset keluarga Taib Mahmud berjumlah US$21 bilion (RM64 billion), dan kekayaan Taib saja berjumlah US$15 bilion (RM46 bilion) selepas 30 tahun memegang jawatan itu.

Katanya, Najib perlu melaksanakan iltizam dan serius menjadikan “Ikrar Integriti Pilihan Raya” itu lebih bermakna dan menerima cadangan menambah 10 mata untuk memastikan negara memasuki era baru integriti dan tadbir urus yang baik.

Beliau mencadangkan penambahan 10 mata kepada ikrar itu untuk menjadikannya dokumen bermakna termasuk lima mata bagi pengisytiharan aset oleh semua menteri, timbalan menteri, ketua menteri dan menteri besar.

Selain itu berikrar “Tidak untuk politik wang” pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yakni setiap ringgit perbelanjaan untuk PRU-13 baik oleh calon atau parti politik mesti diakaun dan diaudit.

* Penandatangan berikrar tidak akan membangkitkan momokan 13 Mei atau menggunakan politik menakut-nakutkan, mengugut atau membenci pengundi.

* Iltizam penandatangan supaya pilihan raya diadakan secara bebas, adil dan bersih yang dipantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bersih dan adil juga oleh pemerhati dalam dan luar negara.

* Penandatangan berikrar untuk menerima keputusan pengundi dalam PRU-13 dengan meminta mereka komited terhadap peralihan kuasa di Putrajaya sekiranya itu kehendak pengundi.

“Saya tidak terkejut walaupun tiada jawapan atau respon daripada Najib, Kabinet atau UMNO/BN terhadap cadangan saya di Kuching, semalam supaya disertakan 10 mata tambahan kepada Ikrar Integriti Pilihan Raya TI bagi memastikan era baru integriti dan tadbir urus baik, bukan sekadar aksi publisiti tidak berkesan terhadap kualiti integriti dan tadbir urus baik kerajaan akan datang.

“Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sudah menandatangani ikrar itu sebelum hebaoh Najib menandatanganinya Rabu lalu.

“Saya juga mahu menandatangani ikrar itu tetapi mahu ia menjadi tindakan yang bermakna, bukannya sia-sia,” katanya ketika ceramah trak UBAH – DAP Segamat, di Kampong Abdullah, serta Pengiraan Detik 44 Hari ke PRU-13, di sini, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, sebelum berceramah beliau sempat meneliti di internet siapakah pemimpin paling korup di dunia.

“Untuk rantau ASEAN, dua nama lebih menonjol iaitu Suharto dan Marcos, seiring dengan “pemimpin paling korup di dunia” seperti Mobutu Sese Seko dari Zaire, yang mengumpul kekayaan melebihi US$5 bilion sementara negaranya semakin dihimpit kemiskinan dan Sani Abacha dari Nigeria yang keluarganya dianggap organisasi jenayah yang mengumpul kekayaan dianggarkan antara US$3 dan US$4 bilion.

“Siapa yang boleh lupa Marcos atau isterinya, Imelda yang mempunyai 2,500 pasang kasut. Dilaporkan ketika Marcos meninggalkan Filipina, ejen Kastam Amerika Syarikat menjumpai 24 beg bimbit berisi jongkong emas dan berlian yang tersembunyi dalam beg tangan serta sijil emas bernilai berbilion dolar.

“Marcos mencuri US$5 bilion hingga US$10 bilion daripada tabung awam dan membawanya ke Amerika Syarikat, Switzerland dan negara lain ketika lari meninggalkan Filipina selepas rakyat Filipina bangkit menentang authoritarian, korupsi, tekanan politik dan pelanggaran hak asasi manusia.

“Suharto mempunyai penghormatan buruk sebagai jaguh kumpulan rasuah sepanjang zaman, kerana Transparency International menggambarkannya sebagai pemimpin No.1 paling korup di dunia apabila mendakwa mengumpul US$15 hingga US$35 bilion sepanjang 31 tahun menjadi Presiden Indonesia.

“Sekiranya Suharto atau Marcos menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya sewaktu di puncak kuasa, adakah ia akan memperhebat atau mencemarkan ikrar itu?” katanya.-Roketkini.com