Berita

Pemimpin UMNO/BN tandatangan ikrar integriti untuk bersih rasuah, salah guna kuasa lalu

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengikut jejak langkah Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengkritik pemimpin Pakatan Rakyat kerana tidak menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International-Malaysia (TIM) yang ditandatangani Datuk Seri Najib Razak, Rabu lalu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Adnan mengulangi topik lama apabila mendakwa pemimpin Pakatan Rakyat enggan menandatangani ikrar itu kerana menyembunyikan sesuatu dan ragu sama ada pakatan oposisi itu mampu mentadbir negara dengan bertanggungjawab jika mendapat kuasa.

Katanya, Adnan ketika merasmikan mesyuarat Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Kuantan, Ahad lalu, menyatakan jika berlaku salah guna kuasa nanti mereka tidak mahu bertanggungjawab dan memberi alasan mereka tidak tandatangani ikrar itu.

“Saya terkejut dengan hujah tidak masuk akal dituduh seorang Menteri Besar seolah dia mengabaikan terus undang-undang, ajaran agama dan etika terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

“Adakah Adnan bermaksud pemimpin Barisan Nasional, sama ada di peringkat negeri atau negara, termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco negeri boleh didakwa mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa semata-mata kerana mereka belum menandatangani Ikrar itu,” ujarnya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 43 Hari ke PRU-13, di sini, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, alasan tidak munasabah pemimpin UMNO/BN itu telah membangkitkan pertikaian dan kebimbangan sama ada ikrar itu diguna untuk “membersihkan” semua rasuah dan salah guna kuasa yang mereka lakukan sebelum ini.

Katanya, bukan setakat itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang sepatutnya mewakili sebuah badan bebas, professional dan berwibawa bagi menjalankan pilihan raya yang bebas dan adil turut mengkritik pemimpin PR.

“SPR sepatutnya lebih malu kerana kegagalan untuk memahami tindakan itu sebaliknya mengesahkan mereka tunduk kepada pemerintah UMNO/BN  sehingga turut terbabit dengan kecaman itu.

“Sekiranya Wan Ahmad mahu terbabit dengan politik, dia sepatutnya meletakkan jawatan dan bertanding pada PRU-13 sebagai calon BN bukannya terus menjejaskan kebebasan dan integriti proses pilihan raya.” katanya.

Wan Ahmad juga berkata calon yang bertanding pada pilihan raya umum wajib menandatangani ikrar itu kerana rakyat mahu seseorang wakil rakyat itu bukan saja memiliki integriti tetapi turut mengamalkannya.

Menurut Kit Siang, beliau sendiri ragu untuk menandatangani ikrar itu kerana Perdana Menteri tidak menunjukkan keseriusan dan iltizam kepada prinsip  bagi memastikan pilihan raya bersih, beretika, bebas dan adil di negara ini.-Roketkini.com