Berita

Pulau Pinang hargai pejuang, terus beri sumbangan

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan memastikan nasib keluarga perajurit negara yang gugur semasa mempertahankan negara terus terbela walaupun mereka bukan berasal dari Pulau Pinang sebagai tanda solidariti dan penghargaan kepada pahlawan negara.

Beliau yang ditemui selepas pelancaran Paradigma Pulau Pinang di Pusat Pameran Mid Valey berkata, cadangan untuk memberi sumbangan kepada beberapa anggota keselamatan lagi yang gugur akan dibawa ke mesyuarat EXCO Pulau Pinang esok.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 untuk setiap keluarga dua anggota Komando Polis, Inspektor. Zulkifli Mamat dan Korporal Sabaruddin Daud yang terkorban dalam serangan awal di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada pagi Jumaat lalu.

Menurut beliau, sumbangan yang sama sebanyak RM30,000 juga akan diberi kepada keluarga perajurit negara, sebaik saja maklumat yang tepat diperolehi daripada pihak kementerian mengenai bilangan mereka yang terkorban.

Beliau turut memohon supaya hadirin bertafakur sejenak sebelum berucap merasmikan Paradigma Pulau Pinang bagi menghormati pahlawan negara yang bersabung nyawa demi mempertahankan negara.

Guan Eng menambah bahawa sidang khas Parlimen mesti diadakan segera untuk mendengar penjelasan pihak berkaitan mengenai kes pencerobohan Lahad Datu dan kawasan sekitarnya.

Menurut beliau lagi, Perdana Menteri, Najib Razak mesti tampil ke Parlimen dan menunjukkan bukti dan mengemukakan klarifikasi serta fakta sebenar kes pencerobohan itu memandangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah memberi fakta yang mengelirukan dan bercanggah dengan laporan semasa.

Semalam, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat turut menuntut supaya satu sidang khas Parlimen diadakan segera bagi membincangkan isu pencerobohan bersenjata di Lahad Datu bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai situasi yang berlaku di Sabah. – Roketkini.com