Berita

Bapa Saiful Bukhari mohon maaf pada Anwar: UMNO makin terjerat

KUALA LUMPUR, 9 MAC: “Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan telah menjadi mangsa fitnah ini. Dengan ini saya memohon maaf kepada beliau dan keluarganya. Beliau dan familinya telah banyak menderita dan sengsara akibat fitnah ini,” demikian luahan bapa kepada Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim.

Pengakuan dan permohonan maaf Azlan, 60 kepada Ketua Umum PKR itu berhubung dakwaan anaknya sebelum  ini yang disifatkan orang ramai sebagai tidak masuk akal.

Pengakuan Azlan itu sekaligus mengukuhkan lagi keyakinan umum terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Saiful, pada 9 Januari tahun lalu.

Mengulas lanjut kepada media, Azlan berkata, Saiful Bukhari telah dipergunakan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memfitnah Anwar dalam kes Liwat II membabitkan seorang pegawai Perdana Menteri.

“Segalanya dirancang dengan begitu rapi oleh pegawai berkenaan. Sebagai seorang Melayu dan Islam, saya mula sedar akan perancangan jahat itu. Saya tidak mahu terus bersekongkol dengan fitnah jahat itu. Saya mahu rakyat yang cintakan negara ini tahu akan niat jahat mereka,” jelas beliau.

Menurut Azlan, kejadian yang kononnya berlaku ke atas anaknya cuma diketahui melalui akhbar malahan Saiful sendiri tidak pernah menceritakan sebarang kejadian dan pertuduhan yang dikenakan kepadanya sebelum itu.

Menyifatkan kes ini ber niat jahat, Azlan mendedahkan bahawa semua kenyataan akhbar yang kononnya dikeluarkan beliau dan anaknya disediakan pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri dan seorang peguam, Zamri Idrus.

“Mereka merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap Anwar, yang membabitkan anak saya.

“Saya mengambil keputusan untuk bersama Datuk Seri Anwar, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia yang dahagakan kemakmuran dan keamanan bercakap benar dan menentang kejahatan itu,” katanya.

Azlan menambah, keputusan beliau membuat pendedahan itu dilakukan setelah sekian lama mengumpul maklumat sama ada dalam perbicaraan atau maklumat yang dikirim kepadanya oleh orang ramai.

“Saya dapati kebenaran mula teserlah dan jelas kelihatan. Saya sememangnya tidak percaya kepada dakwaan yang dikenakan terhadap Anwar,” jelas beliaui.-Roketkini.com