Berita

Ramai kakitangan kerajaan sudah terbuka, boleh terima DAP – Tengku Zulpuri Shah

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Ramai kakitangan kerajaan kini semakin terbuka dan tidak lagi takut terhadap DAP yang sering dimomok sebagai sebuah parti Cina dan perkauman.

Timbalan Pengerusi DAP Negeri Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, sebelum ini mereka tidak nampak dan tidak tahu dalam DAP sekarang sudah ramai orang Melayu menyokong dan menyertai parti itu.

”Ada juga rakan dalam UMNO yang terkejut apabila mengetahui saya turut menjadi ahli DAP,” kata beliau ketika ditemui, semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang berkata, penerimaan dan persepsi baik terhadap DAP di kalangan kakitangan kerajaan tercetus apabila wujud hubungan dua hala antara kerajaan tempatan.

“Bila wujud hubungan, mereka dapat lihat perbezaan. Kita ada hubungan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuantan, Melaka dan lain-lain misalnya. Bila kita buat pertukaran maklumat, secara tak langsung masing-masing dapat melihat maklumat yang berbeza.

“Bukan itu sahaja, saya aktif bersama PBT. Mereka dapat lihat kita buat kerja betul,” katanya.

Tambah beliau, ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), hutang Majlis Perbandaran Selayang sendiri mencecah RM10 juta dan apabila Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Negeri Selangor, hutang itu dapat diselesaikan selain mencatatkan perolehan lebih tinggi.

Tengku Zul menambah, situasi yang berlaku kini tidak sama ketika BN mentadbir negeri kerana ahli majlis ketika itu mungkin sibuk dengan ‘urusan masing-masing’.

Ditanya mengenai penerimaan masyarakat Melayu di kampung terhadap kehadiran DAP, Tengku Zul mengakui situasi yang sama berlaku kerana selama ini mereka tidak mengetahui bahawa DAP mempunyai ramai ahli di kalangan orang Melayu.

“Bila mereka sudah tahu, mereka sebenarnya boleh saja terima DAP. Tidak takut lagi. Saya sering turun padang, ke kampung. Sekarang mereka sudah tahu DAP adalah parti untuk semua kaum.

“DAP bukan parti Cina, Karpal Singh tu Cina ke? Tengku Zulpuri tu Cina ke? Zairil tu Cina ke? Penasihat DAP Pahang, Abu Bakar Lebai Sudin tu Cina ke? Dulu lain sebab pembabitan orang Melayu kurang dan sebaran maklumat terhad, sekarang sudah jauh berbeza,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, UMNO masih menggunakan taktik lama menakut-nakutkan orang Melayu dengan dakwaan yang tidak masuk akal.

“Kalau kita lihat daripada konteks kaum yang UMNO selalu mainkan, jika DAP menang semua kerusi, memang tidak boleh memerintah pun. Apa yang kita jelaskan, kerusi yang DAP bertanding pun lebih lebih kurang 50 kerusi pada hal jumlah kerusi Parlimen 222.

“Sebab itu orang Melayu perlu lebih ramai menyertai DAP, ini adalah parti untuk semua kaum. Bila dalam DAP ada ramai orang Melayu, Cina, India dan lain-lain, isu momokan kaum semua itu tidak timbul lagi,” katanya. – Roketkini.com