Berita

PR yakin menang PRU-13, termasuk pertahankan Selangor

SEPANG, 29 MAC: DAP yakin era politik baru di Malaysia akan muncul selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti dengan pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang komited terhadap integriti, ketelusan dan amanah.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai percaya selepas pilihan raya kali ini akan bermulanya era baru politik Malaysia kerana Barisan Nasional (BN) akan ditamatkan pemerintahannya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Cheras berkata, rakyat Malaysia kini sedar bahawa sudah sampai masanya PR diberi mandat memerintah negara kerana pemerintahan BN sebelum ini diselubungi penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan bersifat perkauman.

“Sebab itu saya yakin, walaupun kita masih tidak tahu bila tarikh pengundian, tetapi kita tahu bahawa BN sedang takut. Takut kalah dan hari itu akan jadi satu sejarah terbesar buat Malaysia. Hari itu adalah hari tamatnya hayat BN,” ujarnya ketika merasmikan Bilik Gerakan DAP Dun Sungai Pelek, di sini, malam tadi.

Tan berkata, rakyat sudah celik politik apabila melihat wujud perbezaan ketara antara pemerintahan BN dan PR.

“PR terbukti amalkan budaya politik baru yang menjunjung undang-undang, telus dan baik sebagaimana yang sudah dibuktikan di negeri yang kita tadbir.

“BN, selama berpuluh-puluh tahun memerintah terbukti mereka mengamalkan budaya kotor yang kita semua sedia maklum iaitu rasuah, perkauman, politik samseng, salah guna kuasa, zalim, dan diskriminasi. Inilah yang kita akan tukar, inilah bezanya antara PR dan BN,” jelasnya di hadapan kira-kira 500 orang yang hadir di majlis itu.

Justeru itu, Tan meminta orang ramai terutama dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Sungai Pelek berani melakukan perubahan dan terus mempertahankan kerajaan PR Negeri Selangor.-Roketkini.com