Berita

Teng penakut sebab itu tolak cabaran sendiri bertanding di Padang Kota: Guan Eng

GEORGE TOWN, 1 APRIL: Setiasaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow cuba menolak cabarannya sendiri untuk bertanding di Padang Kota sebab itu menetapkan syarat mengarut sebelum pertandingan.

Katanya, beliau hanya akan bertanding satu kerusi jika Teng tidak melarikan diri tetapi kekal bertanding semula di Padang Kota, kawasan yang dimenanginya selama tiga penggal iaitu daripada 1995 hingga 2008.

“Keputusan Teng lari daripada Padang Kota jelas selepas gagal membuat susulan terhadap cabarannya sendiri untuk berdepan dengan saya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Ini bermakna Teng terpaksa menelan kembali kata-katanya “bangkit dari tempat anda jatuh,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Operasi Pilihan Raya DAP ADUN Air Putih, di sini, semalam.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, janji untuk “bangkit dari tempat dia jatuh” tidak bermakna sekiranya Teng tidak menunjukkan keberanian dan ‘kepimpinan melalui teladan’ dengan bertanding semula di kerusi lamanya Padang Kota tetapi memilih mengikut telunjuk UMNO di mana boleh dan di mana tidak boleh bertanding.

“Semua orang juga tahu Teng sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang bukan pilihan utama Gerakan dan dia bukan Presiden Gerakan atau Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, tetapi pilihan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.

“Rakyat di Padang Kota juga tidak faham mengapa Teng tidak berani kembali ke Padang Kota, yang sepatutnya memberi kelebihan kepada Teng kerana saya bukan memintanya bertanding di kerusi saya di Air Putih,” katanya.

Menurutnya, Pengerusi DAP Pulau Pinang dan ADUN Padang Kota, Chow Kon Yeow juga sudah bersetuju untuk menukar Padang Kota dengan Air Putih bagi membolehnya bertanding menentang pemimpin BN itu.

Beliau berkata, pertandingan itu memberikan rakyat pilihan sama ada untuk kembali kepada kerajaan pilihan UMNO dan BN yang diperintah kroni atau memilih kerajaan rakyat, untuk rakyat dari rakyat.

“Ini juga berkenaan dua dasar pentadbiran antara yang membiarkan korupsi dan dasar yang percaya bahawa kerajaan yang bersih berdasarkan Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan boleh menjadi lebih baik berbanding yang korup,” katanya.

Guan Eng berkata, beliau hanya akan bertanding kerusi negeri sekiranya Teng tidak melarikan diri tetapi kekal bertanding di Padang Kota dan akan memberitahu kepimpinan tertinggi DAP yang beliau tidak akan bertanding kerusi Parlimen.

Oleh itu, katanya, biarlah persaingan itu mengenai parti mana yang dapat memberi idea yang lebih baik dan dasar yang lebih hebat serta idealisme, prinsip dan nilai yang dapat menyediakan masa depan yang lebih baik untuk Pulau Pinang.

“Saya sentiasa percaya bahawa pemimpin mesti memimpin daripada depan dan bukannya dari belakang. Pilihan ini jelas sama ada rakyat Pulau Pinang mahukan Ketua Menteri yang memimpin rakyat daripada depan atau yang memimpin mereka dari belakang seperti UMNO.

“Sekiranya Teng menolak bertanding di Padang Kota, saya tidak akan membuang masa melayannya kerana telah terbongkar bahawa dia hanya boneka UMNO yang lebih berminat bermain politik kebudak-budakan,” katanya. – Roketkini.com