Wawancara

Usaha DAP, PR angkat martabat kaum India

Belenggu masalah yang merantai sebahagian besar golongan pekerja masyarakat India negara ini seolah-olah hilang di sebalik bayang beberapa orang kelibat jutawan di kalangan mereka walaupun tidak sedikit sumbangan komuniti ini kepada pembangunan negara sejak sebelum kemerdekaan tercapai. Ikuti wawancara eksklusif wartawan T.K Tan dan Hafiz Zainuddin bersama mantan Senator, S.Ramakrishnan membongkar masalah pokok dan isu-isu besar berkaitan komuniti India negara ini. Foto oleh Muhamad Afendy.

Profil:
Nama : Ramakrishnan a/l Suppiah
Umur : 56
Pendidikan: Master dalam bidang Pengurusan pentadbiran, Universiti Tun Abdul Razak, Malaysia dan Ahli Bersekutu bagi The Chartered Institute of Management Accountant, United Kingdom.
Kerjaya : Akauntan dan pensyarah di Metropolitan College, Subang Jaya
Jawatan dalam parti : Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Selangor
Pengalaman : Senator Kerajaan Negeri Selangor 2009 hingga 2012

Apa masalah utama komuniti India di Malaysia?

Kita boleh bahagikan perkara ini kepada beberapa bahagian yang boleh diketengahkan dan perlu diberi perhatian semua pihak. Bagi komuniti India, masalah utama yang jelas kita boleh lihat sekarang ialah peluang pekerjaan. Bukan sahaja pekerjaan dalam perkhidmatan awam tetapi juga dalam sektor swasta.

Jadi, kita boleh meletakkan anggapan bahawa salah satu faktor yang menyebabkan masalah ini ialah disebabkan peluang pendidikan. Disebabkan kemiskinan, pelajar tidak mampu masuk ke universiti mahu pun kolej. Ini menyebabkan berlakunya keciciran.

Bagi golongan dewasa dan veteran yang hidup dalam kelas rendah pula. Kebanyakan mereka berhadapan dengan masalah kesihatan. Ramai mereka tidak mampu menampung kos perubatan yang tinggi jika ke hopital swasta.

Selain itu, masih ramai lagi orang India yang tidak mempunyai kad pengenalan. Dalam pertanyaan saya di parlimen tahun lalu. Kita dimaklumkan sejumlah besar 54,000 di kalangan mereka masih dengan kad pengenalan merah walaupun sudah berpuluh-puluh tahun menetap di Malaysia sejak negara merdeka. Lebih mengejutkan, kumpulan terbesar yang memegang kad pengenalan merah ini ialah warga Indonesia iaitu sekitar 100,000 orang berdasarkan jawapan yang diberikan.

Apakah kesukaran yang dialami?

Tanpa kad pengenalan, adalah sukar bagi seseorang untuk mendapatkan pekerjaan yang wajar walaupun mereka adalah warga kelahiran Malaysia. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak mendapat manfaat yang lain seperti kemudahan perubatan murah di hospital kerajaan atau pergi ke luar negara.

Isu ini membawa kepada masalah kemiskinan dan tahap kehidupan yang rendah. Ini adalah antara sebab utama mengapa komuniti India di Malaysia merupakan kumpulan terbesar mencatatkan peratusan tertinggi kadar kemiskinan.

Bagaimana dengan peluang ekonomi?

Masalah terbesar bagi komuniti India negara ini ialah kekurangan peluang kerjaya dengan gaji yang baik dan peluang perniagaan contohnya untuk wang atau pinjaman pendahuluan. Kita dapat lihat sendiri majoriti masyarakat India yang bekerja terdiri dari pekerja ladang, pekerja dalam sektor perkilangan dan bekerja dalam bidang yang lebih rendah.

Kemasukan pekerja asing yang ramai sejak 30 tahun kebelakangan ini telah membawa kesan negatif kepada ekonomi masyarakat India negara ini. Kewujudan pekerja asing yang terlalu ramai seperti sekarang telah menyebabkan saingan tidak sihat. Ia menyebabkan pendapatan pekerja-pekerja, bukan sahaja pekerja India tetapi juga pekerja tempatan yang lain juga semakin mengecil akibat saingan.

Fenomena yang berlaku sekarang ialah banyak kilang dan estet semakin tidak menggaji orang India bekerja kerana mereka mempunyai pilihan untuk mengambil pekerja asing dengan gaji yang rendah. Kebanjiran pekerja asing juga bukan sahaja menyebabkan masalah ini tetapi juga mampu mencipta masalah keselamatan seperti yang kita hadapi sekarang seperti di Sabah misalnya. Selain itu, menggaji ramai pekerja asing menyebabkan pengaliran wang negara keluar negara.

Kerajaan UMNO-BN cetus ‘huru-hara’ sistem ekonomi negara?

Kerajaan UMNO-BN telah merosakkan sistem ekonomi negara dan ekonomi rakyat Malaysia melainkan kroni mereka. Mereka boleh membuat untung yang banyak dengan adanya ejen-ejen pekerja asing apalagi sektor perkhidmatan industri kecil dan sederhana (IKS) sekarang ini bergantung kepada buruh asing.

Dalam perancangan dasar, Pakatan Rakyat mahu mengumpul semula tenaga kerja tidak mahir dan mahir rakyat Malaysia untuk diberi latihan yang mana sebahagiannya adalah orang India. PR juga akan memperkenalkan dasar gaji minima yang pro-rakyat pada masa yang sama tetap menjaga kepentingan majikan.

Selain itu, kita juga perlu mengorak langkah membuat perubahan dalam dasar pengambilan pekerja dalam sektor kerajaan supaya lebih adil. Sesebuah Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan boleh mengambil kakitangan awam mengikut keperluan dan kelayakan berdasarkan komposisi kaum yang ada.

Mungkinkah dasar perkauman UMNO-BN merosakkan negara dan masyarakat?

Dalam usaha kerajaan PR membetulkan keadaan yang dirosakkan oleh UMNO-BN, ia sering dipropagandakan sebagai memihak kepada masyarakat bukan Melayu. Doktrin perkauman yang berjaya ditanam UMNO kepada masyarakat Melayu selama beberapa dekad adalah sesuatu yang perlu ditangani dengan baik.

Kita perlu diingatkan bahawa mengekalkan dasar-dasar perkauman ala UMNO hanya akan merosakkan sistem dan ia tidak akan memberikan kebaikan pun. Ia juga tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada orang Melayu sendiri jika mempunyai ramai kaum India yang miskin di sekitar mereka tanpa pendapatan yang baik kerana ia boleh meningkatkan kadar jenayah.
Jenayah tidak kenal siapa dan melibatkan semua.

Berbalik kepada peluang pekerjaan. Jika sesuatu pekerjaan itu diberi kepada orang yang sememangnya layak, rakyat sendiri akan mendapat perkhidmatan yang terbaik. Sikap pilih kasih tidak akan memberi manfaat kepada siapa pun.

Bagaimana dengan isu sekolah Tamil yang nampaknya tak pernah selesai?

Bagi sekolah-sekolah Tamil, ia berhadapan dengan masalah pentadbiran yang mana ia tidak dipantau secara langsung oleh pihak kementerian. Kebanyakan kerja-kerja pemantauan ini ‘diserahkan’ kepada parti politik samada peringkat kawasan mahu pun negeri. Sudah pasti parti politik BN, MIC.

Sebilangan tanah-tanah yang didirikan sekolah Tamil ini berada di atas tanah pemimpin-pemimpin BN. Salah satu contoh ialah Sekolah Tamil Effingham di Petaling Jaya. Tanah berkeluasan enam ekar ini asalnya adalah untuk sekolah itu pada tahun 1999 tetapi tanah tersebut telah dipindah milik kepada salah seorang pemimpin MIC.

Apa yang mengejutkan sekarang, tiga ekar tanah sekolah itu telah ditukar status sebagai tanah komersil untuk dibangunkan dan tambah menyedihkan pihak sekolah dan penduduk sekitar tidak dimaklumkan.

Kerajaan PR Negeri Selangor kini sedang giat dalam usaha untuk membeli semula tanah itu dan masih dalam proses. Kita masih belum dapat tahu apa statusnya.

Ada bayang-bayang MIC di sebalik pentadbiran sekolah Tamil?

Kebanyakan guru besar sekolah-sekolah Tamil dilantik oleh pemimpin-pemimpin MIC. Jadi, mereka ini tidak berani untuk bersuara atau bertindak tanpa mendapatkan ‘restu’ pemimpin MIC ini. Apa yang perlu diberi perhatian khusus ialah guru besar dan guru-guru yang dilantik kebanyakan mereka dikehendaki menjadi ahli MIC.

Kita mahu kesemua sekolah Tamil ini dipantau dan diselia secara langsung oleh Kementerian Pendidikan. Kementerian Pendidikan perlu melantik entiti yang profeional dan layak untuk membuat kerja-kerja pemantauan ini.

Apa inisiatif kerajaan PR mengenai sekolah Tamil di Selangor dan Pulau Pinang?

Di bawah kerajaan BN, tidak ada satu sistem yang baik dalam pengagihan peruntukan kepada sekolah-sekolah ini yang mana kebanyakannya diuruskan oleh parti politik. Jadi ini biasanya menyebabkan peruntukan kerajaan ini mudah dimanipulasi mereka.

Dalam pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) di beberapa buah negeri, banyak inisiatif diambil untuk memperbaiki keadaan ini. Sejak tahun 2009, kerajaan Selangor telah menetapkan peruntukan tahunan secara sistematik. Pada tahun 2012 sahaja, RM4 juta diperuntukkan.

Di Pulau Pinang, sebanyak 28 buah sekolah Tamil seluruh negeri mendapat peruntukan tetap tahunan keseluruhan sebanyak RM1.75 juta dan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil untuk menyelia sekolah-sekolah ini.

Apa yang berlaku di Selangor, kerajaan negeri telah mencadangkan atau menanda beberapa bidang tanah untuk sekolah Tamil dan sekarang dipantau secara terus oleh pejabat Menteri Besar. Walaubagaimana pun, penempatan semula atau pembinaan bangunan sekolah ini pula di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan yang mana pembinaan kerja-kerja pembinaannya agak perlahan.

Sejak tahun 2008, Kerajaan Persekutuan telah mula memberi perhatian kepada sekolah Tamil dengan menjanjikan pembinaan bangunan baru dan menempatkan lebih banyak peruntukan. Tetapi secara keseluruhan ia merupakan satu pendekatan yang dijalankan secara tidak konisten. Ramai guru besar sekolah Tamil yang ditemui memberitahu saya bahawa wujud kelewatan dalam pemberian bantuan dan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan.

Satu lagi sifat pelik ahli-ahli politik BN ini ialah mereka cenderung menabur janji untuk bangunan baru atau peruntukan. Tapi, bila pertanyaan dibuat di Jabatan Pendidikan, kita biasa mendapat jawapan “kami tak dapat sebarang arahan atau pemberitahuan dari pengarah…”.

Terdapat dua jenis sekolah Tamil iaitu sekolah bantuan penuh kerajaan dan sekolah yang mendapat separuh bantuan kerajaan. Apa yang berlaku, kita banyak dengar sekolah yang menerima bantuan penuh kerajaan membuat aduan mengenai pengeluaran pembayaran dana untuk mereka. Sebagai tambahan, banyak sekolah tamil tidak mempunyai lembaga sekolah kecuali Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Apa PR boleh buat?

Dalam manifesto PR, semua sekolah vernakular akan menerima bantuan tambahan selain sumbangan sedia ada bagi mengurus kos operasi yang mana secara purata melibatkan jumlah sebanyak RM300 bagi seorang pelajar setiap tahun.

Bagaimana pun, kita perlu membuat pemantauan dengan lebih serius kepada struktur pengurusan sekolah oleh kementerian sendiri bagi peruntukan tambahan ini. Sebagai contoh, bagi sekolah di bandar mungkin memerlukan agihan peruntukan yang lebih berbanding dengan sekolah di luar bandar dan bantuan itu perlu terus kepada sekolah dan bukannya melalui parti politik. Dengan cara ini barulah sekolah dan pelajar akan dapat manfaat maksimum.

Bagaimana keadaanya di antara komuniti India dan DAP?

Masyarakat India negara ini mahu pengiktirafan apabila setelah berdekad-dekad mereka seolah-olah diketepikan. Mereka mahu sumbangan dan kehadiran mereka dilihat, diiktiraf oleh kerajaan. Bagi orang India yang tipikal, mereka akan berasa lebih dihargai jika ada wakil mereka dalam badan-badan yang membuat dasar. Sudah lebih lima puluh tahun berlalu dan pengabaian oleh kerajaan ini telah meninggalkan parut yang dalam bagi komuniti India negara ini.

Dalam majlis DAP, saya difahamkan orang-orang India selesa dan mahu melihat tulisan Tamil dalam bunting, kain rentang atau poster kerana ia menyebabkan mereka rasa bersama.

Wujud dua segmen pengundi dalam masyarakat India iaitu mereka yang terpelajar yang berada dalam kelas pertengahan dan golongan pekerja estet dan kelas pekerja biasa. Bagi pengundi golongan pertama, mereka memang bersifat terbuka dan biasanya pro-oposisi. Kumpulan kedua yang saya katakan tadi ialah mereka yang berhadapan dengan masalah kewangan dimana mereka bergantung kepada bantuan kerajaan. Memang diakui bahawa DAP sebelum ini sukar mendapatkan undi mereka.

Sebelum tahun 2008, kumpulan kedua ini dilihat pro-BN walaupun sejak sekian lama seolah-olah tidak begitu dipedulikan kerajaan. Selepas kemunculan HINDRAF pada 2007, situasi berubah. HINDRAF muncul dalam situasi panas yang tidak lagi boleh tertahan dan ia merupakan antara sebab berlakunya tsunami politik 2008. Bermula dari itu, ia memberi kekuatan dan motivasi kepada komuniti India untuk mula percaya bahawa undi yang mereka berikan mampu merubah situasi politik dan mewujudkan perbezaan.

Apa hasrat utama kaum India?

Sebenarnya, komuniti India tidak ada masalah dengan siapakah wakil rakyat mereka. Tidak semestinya India baru mereka akan sokong. Apa yang lebih mereka tekankan ialah perhatian dan perkhidmatan yang diberikan.

Masalah lain yang dihadapi komuniti India ialah kemunculan ramai oportunis politik yang mendakwa merekalah yang mewakili komuniti ini. Justeru, pengundi-pengundi India perlu diberi pendidikan politik yang sebenar siapakah yang berjuang dan bekerja untuk mereka dan siapakah pula yang mengambil kesempatan di atas sokongan mereka. Inilah cabaran yang dihadapi PR untuk memenangi hati pengundi India. – Roketkini.com