Berita

DAP alu-alukan Samy Vellu bertanding di Ipoh Barat

IPOH, 4 APRIL: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran mengalu-alukan kesediaan bekas Presiden MIC, Datuk Seri Utama S Samy Vellu untuk bertanding di kerusi Parlimen Ipoh Barat yang diwakilinya.

Kenyataan ini dibuat berikutan sepanduk yang dinaikkan di sekitar bandar Ipoh dengan perkataan “Kami mahu Datuk Seri Utama S Samy Vellu sebagai calon BN di P.65 Ipoh Barat”.

“Saya rasa sangat gembira jika beliau mahu bertanding di Ipoh Barat malah saya juga sanggup membawa beliau melawat kawasan itu,” kata Kula dalam satu kenyataan.

Menurutnya, terdapat banyak isu dan masalah yang timbul sekitar kawasan yang diwakilinya dan dengan kehadiran Samy Vellu, beliau mungkin boleh turut membantu menyelesaikan perkara itu.

“Masalah utama di situ membabitkan isu rumah setinggan, isu pemilikan tanah, pembinaan sekolah Cina di Bercham, masalah keperluan rumah murah bagi kumpulan berpendapatan rendah, menaik taraf pangsapuri Sungai Pari dan pangsapuri Waller Courts, ini termasuk peningkatan kadar jenayah,” jelas beliau.

Dalam pada itu Kulasegaran juga tidak menolak kemungkinan sepanduk yang dinaikkan itu untuk menghalangnya bertanding di luar dari Ipoh Barat.

“Mungkin boleh jadi sepanduk itu dinaikkan penyokong Menteri Sumber Manusia, Datuk Subramaniam sebab sebelum ini saya sudah katakan bahawa saya sedia bertanding di mana-mana saja,” ujarnya.

Menurut Kulasegaran, beberapa hari lalu, beliau bersama Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang melawat Parlimen Segamat yang diwakili Subramaniam.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Samy Vellu ditewaskan Dr Jeyakumar Devaraj daripada PKR dengan majoriti 1,821 undi di Parlimen Sungai Siput, Perak manakala Subramaniam mendapat majoriti 2,991 undi di Parlimen Segamat, Johor menewaskan calon DAP, Pang Hok Leong.

Di Parlimen Ipoh Barat pula, Kulasegaran menang dengan majoriti besar 15,535 undi menewaskan calon MCA, Yik Phooi Hong. – Roketkini.com