Berita

DUN Pulau Pinang dibubar esok: Guan Eng

GEORGE TOWN, 4 APRIL: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, beliau akan mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang esok kerana terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, di Kuala Lumpur, hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dalam kenyataan media di Komtar, hari ini berkata, beliau sudah menghadap Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abbas di kediaman rasminya Seri Mutiara untuk mendapat perkenan bagi membubarkan DUN Pulau Pinang mengikut Artikel 19(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Katanya, mesyuarat EXCO kerajaan negeri semalam juga bersetuju menerima permintaan bertulis Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya membubarkan DUN bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan serentak di seluruh negara.

“Saya juga mencadangkan kepada Yang Dipertua Negeri supaya mempertimbangkan tarikh pembubaran DUN Pulau Pinang itu diadakan esok.

“Saya akan mengadakan sidang akhbar di sidang akhbar di Komtar jam 10.30 pagi esok untuk mengumumkan pembubaran DUN,” katanya. – Roketkini.com