Rencana

Melayu faham DAP satu rahmat untuk Malaysia Oleh Hafiz Zainuddin

“SAYA bahagia bersama DAP, kerana bukan pendapatan yang kita kejar tetapi kepuasan membantu orang ramai,” kata pemimpin veteran DAP, Tuan Haji Azhari Ismail

Beliau yang kelihatan sering berkopiah, tidak banyak berbicara tetapi mudah didekati. Saya mengambil kesempatan berbual-bual dengan beliau yang sudah lama menyimpan hasrat untuk bertemunya.

“Dah lama orang Melayu nak rapat dengan DAP, nak kenal, nak tahu. Tapi masalah yang timbul ialah halangan oleh BN sendiri terutamanya UMNO. Itu antara sebab orang Melayu takut bila dicanang DAP sebagai parti Cina, parti perkauman…tak betul tu.”

Itu kata Haji Azhari, anak kelahiran Muar, Johor yang menyertai parti DAP sejak 1978. Tidak ramai yang kenal siapa gerangan Haji Azhari ini melainkan mereka mengikuti secara dekat perkembangan semasa politik tanah air.

Beliau yang berkelulusan dalam bidang Pengajian Syariah dari Universiti Malaya, pernah bertanding menentang bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng tetapi tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 lalu di kerusi Parlimen Bakri, Johor.

Kini beliau berusia 61 tahun dan berkhidmat sepenuh masa sebagai penolong setiausaha kepada Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Sambil santai duduk menghirup jus oren dalam koleh kertas, perbualan kami ketika majlis perasmian Bilik Gerakan DAP Bukit Bintang baru-baru ini menjurus kepada beberapa hal pokok yang menarik perhatian.

Melayu fahami DAP adalah rahmat

Sebagai orang yang lama berjuang, menempuh suka duka perjalanan penuh liku parti, Haji Azhari dapat membaca perkembangan politik tanah air secara jelas dan matang.

Kemaruk kuasa UMNO-BN telah menyebabkan mereka membelakangkan kepentingan rakyat terbanyak dengan memainkan sentimen perkauman. Perpaduan kaum yang dilaungkan BN melalui pelbagai slogan sekadar lakonan semata-mata. Ini belum lagi ditambah dengan salah guna kuasa dan rasuah yang dilakukan.

Kata beliau, apa yang berlaku ke atas DAP saat ini adalah satu rahmat untuk Malaysia di mana orang Melayu semakin terbuka dan memahami dasar yang diperjuangkan DAP sejak ditubuhkan iaitu keadilan dan ketelusan untuk semua.

“Sebenarnya dalam dasar DAP sendiri tak ada langsung unsur perkauman. Bila berada dalam perjuangan DAP, saya tak pernah lihat dan tak pernah rasa bahawa parti ini satu parti perkauman. Kalau orang kata DAP itu perkauman, saya kata itu fitnah!

“Kalau kita lihat daripada ucapan pimpinan tertinggi parti seperti Lim Kit Siang pun memang tak pernah ada mainan sentimen perkauman! Semua isu yang disentuh adalah isu membabitkan kumpulan masyarakat, golongan yang tertindas dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Adakah sebab keahlian DAP ini ramai orang Cina kita senang-senang nak melabel DAP parti Cina? Kena lihat dulu apa asasnya,” tegas beliau.

Haji Azhari percaya dengan sistem capaian maklumat serba canggih melalui media baru, pandangan terhadap DAP sebagai parti perkauman sudah banyak berubah berbanding beberapa tahun dahulu.

“UMNO memang akan terus mainkan isu perkauman. Sekarang, orang yang dah tua pun tahu, mereka faham dan boleh berfikir. Baru-baru ni saya ada bertemu dan duduk bersembang dengan beberapa orang ‘lama’. Mereka kata, “sekarang, kita tak macam dulu.” Dan mereka dapat lihat, terbukti bahawa kerajaan PR beri kesan baik kepada rakyat dan negeri.

“Pilihan Raya Umum 2008 adalah langkah pertama, kita berjaya tubuh kerajaan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan mengekalkan Kelantan, rakyat sendiri boleh lihat, dah nampak bahawa DAP, PR boleh pergi jauh,” jelas beliau.

Perbualan kami tidak lama di situ, saya terpaksa bergegas menyelesaikan tugas untuk menemubual beberapa pimpinan DAP yang lain.

Haji Azhari boleh dijadikan contoh terbaik bagaimana beliau jujur menjadi seorang pejuang yang utuh dengan prinsip perjuangannya, yang percaya bahawa masyarakat mampu berubah dan mempunyai impian untuk melihat negara dan masyarakat Malaysia hidup dalam suasana aman, sentosa dan bebas prasangka.

Saya ingin memetik kata-kata beliau ketika diwawancara khas oleh Roketkini.com Januari tahun lalu. Haji Azhari menyebut: “Yang ada di DAP hanyalah perjuangan. Kerja keras, bantu rakyat, itu saja. Kalau nak berniaga, nak harta, bukan di sini. Jadi tugas kita di DAP adalah untuk menjadi sebuah parti yang baik dan mempunyai idealisma yang baik…”-Roketkini.com