Isu Semasa

Pemuda DAP: Merubah negara tanggungjawab generasi muda


BENTONG: “Kalau kita hendak nasib kita dan negara kita berubah baik, pemuda perlu tampil dan berani membuat perubahan!” demikian kata Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan dan bakal calon DUN Bilut, Chow Yu Hui.

“Negara Malaysia sudah sampai ke tahap parah. Masalah ciptaan Barisan Nasional (BN) sudah bertimbun banyaknya. Ia tanggungjawab pemuda-pemudi negara ini sebagai tonggak dan masa depan negara untuk merubah nasib Malaysia dengan membuang BN daripada tampuk kekuasaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei ini,” katanya.

Dalam temubual dengan Roketkini, Chow yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Pahang, menyeru kepada perantau tempatan supaya kembali ke Bentong pada PRU-13, 5 Mei ini untuk mengundi Pakatan Rakyat (PR).

“Perjuangan ini bukan sekadar bergantung kepada ibu bapa kita; tanggungjawab anda penting dalam mencetuskan angin perubahan ini,” sambung beliau.

“Pilihan kami pada PRU-13 adalah memilih sebuah kerajaan baru yang bersih atau meneruskan kepincangan negara yang ada dengan menyebelahi dacing,” katanya.

Beliau berkata, dalam kawasan Parlimen Bentong, jumlah pengundi yang berumur 40 tahun ke bawah dianggarkan sekitar 40 peratus.

“Berbanding tempat lain, ramai warga Bentong kini bekerja di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Tempoh perjalanan memakan masa satu jam dengan kereta. Maka, tiada masalah untuk mereka kembali mengundi,” katanya.

Beliau menganggarkan seramai 80 peratus daripada pemuda Bentong kembali pada musim perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Aidilfitri. “Saudara saudari sekalian, undi anda itu penting. Seandainya anda komited untuk pulang ke Bentong untuk mengundi, kita bakal mencetuskan perubahan di Bentong dan Malaysia.

“Jika Pakatan Rakyat diangkat sebagai kerajaan, kita akan melaksanakan reformasi dasar dan sistem pemerintahan kerajaan supaya lebih telus dan adil. Manifesto PR yang mengutamakan rakyat nescaya akan dapat dilaksanakan juga.

“Moga-moga ia akan perubahan kepada kualiti kehidupan untuk pemuda Bentong dan Malaysia,” tambah beliau.

Biodata

Nama: Chow Yu Hui

Calon: DUN Bilut (N33) Pahang

Umur: 30 tahun

Jawatan parti: Ahli Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan, Ketua DAPSY Bentong

Lulusan: Sarjana Muda Pengajian Media, Universiti Malaya