Isu Semasa

PRU-13: DAP Perak dedah PR bakal bentuk kerajaan, terkejut terima sambutan Melayu

IPOH, 15 APR: Setiausaha DAP Negeri Perak, Nga Kor Ming mendedahkan bahawa DAP dan Pakatan Rakyat (PR) bakal membentuk kerajaan di negeri itu dengan menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei ini dengan memperoleh sekurang-kurangnya 36 hingga 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, maklumat itu diperolehnya melalui beberapa sumber risikan dan maklumat dalaman antara lain turut menyatakan antara sebab utama PR dijangka menang besar di Perak adalah pemahaman orang Melayu kepada perjuangan DAP.

“Mereka sokong tapi tak tunjuk secara fizikal,” katanya ketika ditemui selepas berucap pada satu ceramah mega di Taman Canning, malam tadi.

Menurut Nga, penerimaan orang Melayu kepada perjuangan DAP juga boleh diukur berdasarkan sambutan memberangsangkan orang Melayu pada siri ramah mesra yang dijalankan.

“Kalau dulu kita ceramah hanya 500 orang yang datang, namun sekarang boleh mencecah hingga 5,000 orang. Melayu pun ramai.

“Kadang-kadang saya sendiri terkejut berdasarkan respon yang baik bukan saja di kawasan Pantai Remis dan Taiping tetapi dalam program kita di tempat lain,” tambah beliau.

Penyandang Parlimen Taiping itu berkata, walaupun BN khususnya UMNO sering menabur benih kebencian orang Melayu terhadap DAP dan Pakatan Rakyat (PR) dengan pelbagai fitnah berunsur perkauman, sebaliknya kini mereka faham bahawa isu sebenar negara bukanlah isu perkauman.

“Orang Melayu, terutamanya yang tinggal di kampung cukup terasa dan marah bila mereka mendapat tahu mengenai skandal lembu NFC membabitkan keluarga Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil,” jelasnya.

Pada PRU 2008 lalu, PR memenangi 31 kerusi berbanding BN 28 kerusi dan berjaya membentuk kerajaan di Perak sebelum tiga Ahli Dewan Undangan Negeri mengisytiharkan sebagai wakil bebas yang menyebabkan berlakunya peristiwa rampasan kuasa oleh BN di Perak.-Roketkini.com