Berita

UMNO tidak lagi wakili suara Melayu, kata calon DAP Melayu

oleh T.K. Tan

RAUB, 15 APR: Kenyataan bahawa hanya UMNO yang selama ini menjaga nasib orang Melayu adalah satu penipuan besar yang terlalu lama dikitarkan. Orang Melayu perlu menilai semula mitos itu yang selama ini menakutkan mereka daripada menghadapi cabaran hidup.

Demikian pandangan bakal calon DAP untuk kawasan Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri atau lebih terkenal dengan nama blognya, Sakmongkol AK 47.

“UMNO sering mendabik dada yang hanya merekalah saja yang boleh membawa pembangunan untuk rakyat Malaysia, khususnya untuk masyarakat Melayu. Mereka seolah-olah lupa bahawa kerajaan komunis di Cuba dan Rusia dulu pun membawa pembangunan kepada rakyat mereka.

“Ia (pembangunan) bukannya sesuatu yang perlu diuar-uarkan kerana ia tanggungjawab semua kerajaan membawa pembangunan untuk rakyat mereka,” kata beliau kepada Roketkini.com.

Menurutnya, masyarakat Melayu perlu tahu bahawa selepas 56 tahun UMNO menerajui pemerintahan negara, 8.7 juta orang Melayu hanya memperolehi pendapatan kurang daripada RM1,500, yakni tahap pendapatan paras miskin yang sebenar untuk setiap bulan.

Beliau menambah bahawa 7.2 juta lagi orang Melayu hanya mempunyai pendapatan RM1,200 dan bawah setiap bulan.

“Kita harus faham yang UMNO tidak mewakili suara masyarakat Melayu lagi. Sebabnya pada PRU yang lalu, terdapat 5.7 juta pengundi Melayu. UMNO hanya memperolehi 2.2 juta undi Melayu. Yang selebihnya, yaitu 3.5 juta undi Melayu samada tidak mengundi atau tidak memilih UMNO.

“Hakikatnya apa yang UMNO telah buat ialah memperkayakan segelintir elit Melayu, Cina dan India, yakni kroni mereka. Majoriti daripada rakyat Malaysia masih hidup dalam kemiskinan,” tambah beliau.

Menurut Ariff, untuk memperbetulkan keadaan ini, rakyat perlu memilih sebuah kerajaan yang akan mengembalikan pemerintahan ‘rule of law’ (kedaulatan undang-undang) di Malaysia.

Katanya, matlamat DAP, PAS dan PKR bergabung untuk membentuk Pakatan Rakyat adalah mengembalikan kedaulatan undang-undang supaya Malaysia kembali kepada landasan yang sepatutnya, bukannya merebut jawatan perdana menteri dan menteri-menteri yang lain.

“Hanya kedaulatan undang-undang sahaja yang boleh menjaga dan melindungi orang Melayu, bukannya UMNO.

“Apabila kerajaan menghormati dan menjunjung kedaulatan undang-undang dan melaksanakan dasar yang pro-rakyat, barulah masyarakat Melayu boleh terselamat daripada penindasan kerajaan yang tidak dipantau dan dihadkan kuasanya,” beliau berkata lagi.

Seperti yang disenaraikan dalam manifesto nasional Pakatan Rakyat, kerajaan yang baru akan membebaskan institusi-institusi utama negara iaitu institusi kehakiman, Kamar Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis diRaja Malaysia (PDRM) dari cengkaman politik

“Antaranya melalui langkah mengembalikan kuasa melantik pimpinan institusi-institusi ini kepada suruhanjaya bebas seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan,” jelas beliau. – Roketkini.com