Berita

DAP yakin pendapatan rakyat Perak RM5,000 sebulan jika PR perintah dua penggal

IPOH, 16 APRIL: Rakyat Perak bakal memperoleh pendapatan antara RM4,000 dan RM5,000 sebulan jika Pakatan Rakyat (PR) mentadbir semula negeri itu untuk tempoh dua penggal.

Pengerusi DAP Negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, bersandarkan negeri Perak adalah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber dan berpotensi besar untuk menjadi sebuah negeri maju berbanding negeri lain.

Bagaimanapun, katanya, matlamat menjadikan rakyat Perak berpendapatan tinggi terbantut apabila pelabur yang pada mulanya bersetuju untuk melabur di negeri ini ketika ditadbir PR sebelum rampasan kuasa pada 5 Mei 2009 menangguhkan hasrat mereka kerana tidak yakin dengan kerajaan BN yang diselaputi rasuah.

“Kita yakin dengan pelaburan yang masuk ia akan memberi banyak peluang pekerjaan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat. Bila BN rampas Perak, pelabur menangguhkan hasrat mereka kerana tidak berani berhadapan dengan risiko kerugian di bawah BN,” jelas beliau dalam ceramah, di sini, malam tadi.

Sebagai langkah awal, menurut Ngeh, hasrat memperkasakan ekonomi rakyat Perak boleh dilihat dalam Manifesto PR Negeri Perak yang baru dilancarkan semalam.

Ia antara lain menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membasmi kemiskinan tegar negeri itu di mana setiap isi rumah yang berpendapatan kurang RM760 akan diberi bantuan oleh kerajaan negeri sejajar dengan apa yang dilakukan kerajaan negeri Pulau Pinang yang memberi bantuan dan mensasarkan 2013 adalah tahun sifar miskin tegar.

“Disebabkan masalah pendapatan. Kita boleh bayangkan betapa tersepitnya rakyat Perak apabila ada kajian menunjukkan sekurang-kurangnya 90 peratus rakyat negeri ini tak mampu membeli rumah jika merujuk kepada pendapatan yang mereka peroleh.

“Apa yang BN lakukan selama ini?” soal beliau yang juga penyandang Parlimen Beruas.-Roketkini.com