Berita

Zulkifli Nordin yang hina Hindu dipilih Najib jadi calon BN Shah Alam

GEORGE TOWN, 16 APR: Pengumuman Zulkifli Nordin sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Shah Alam oleh Pengerusinya Najib Razak memperlihatkan bahawa sebenarnya konsep 1Malaysia yang dilaung-laungkan BN hanyalah retorik semata-mata.

Penolong Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY) Pulau Pinang, Satees Muniandy menyifatkan pencalonan Zulkifli itu sebagai tidak menghormati perasaan masyarakat India beragama Hindu, lantaran tersebarnya sebuah klip video baru-baru ini yang memaparkan bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu menghina kepercayaan orang Hindu.

“Walaupun, Zulkifli kemudianya memohon maaf dan memberitahu bahawa ucapanya itu dibuat 10 tahun dulu, ketika beliau menanggotai PAS, saya telahpun membongkarkan bahawa Zulkifli Nordin tidak ikhlas dalam permohonan maafnya dan menipu.

“Dewa Murugan yang dibina di luar Batu Caves yang disebut dalam ucapan Zulkifli Nordin hanya siap dibina pada 2006, iaitu tujuh tahun lalu dan bukanya 10 tahun.” ujar beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

“Beberapa laporan polis dibuat ke atas Zulkifli Nordin namun tiada tindakan diambil terhadapnya. Masyarakat Hindu di Malaysia, amat tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa yang enggan mengambil tindakan terhadap Zulkifli Nordin itu,” tambah beliau lagi.

UMNO-BN telah membuktikan bahawa ia menyokong ektremisme dengan membenarkan Zulkifli yang juga Naib Presiden kumpulan ultra-Melayu, Perkasa, untuk bertanding atas tiket BN.

“Pencalonan Zulkifli Nordin membuktikan Laungan 1Malaysia oleh Najib dan pemimpin BN adalah retorik kosong untuk mengaburkan mata rakyat saja,” kata Satees.

“DAPSY Pulau Pinang mengecam tindakan BN yang melindungi ekstremis bernama Zulkifli Nordin ini dan menawarnya bertanding sebagai calon BN pada PRU-13 ini,” ujarnya, sambil bertanya samada MIC dan parti India yang menyokong BN akan berkempen menyokong Zulkifli Nordin secara terbuka.

Zulkifli Nordin, pernah menganggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi peguam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau dipecat daripada parti terbabit pada Mac 2010 dan menjadi wakil rakyat bebas yang bersekutu dengan BN. – Roketkini.com