Isu Semasa

Kit Siang acap kali nafi tuduhan UMNO/BN pencetus tragedi 13 Mei

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang sudah acap kali menafikan tuduhan liar UMNO/Barisan Nasional (BN) bahawa beliau pencetus tragedi 13 Mei 1969 dan terbaru pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, di sini, hari ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan tuduhan UMNO/BN itu melampau kerana ketika tragedi itu tercetus beliau tidak ada di Lembah Kelang, sebaliknya berada di Melaka.

Katanya, bukan kali ini saja beliau dituduh sedemikian, sebaliknya pada setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU), termasuk PRU-13 ini bila keadaan UMNO/BN itu terdesak.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi tidak mudah terpedaya dengan tuduhan liar dan melampau itu.

Calon Pakatan Rakyat Parlimen Gelang Patah itu juga menganggap UMNO/BN akan melakukan apa sahaja apabila terdesak apabila merasakan peluang parti itu sukar untuk memang di Gelang Patah.

“Bukan setakat sebagai pencetus rusuhan kaum itu, malah UMNO/BN juga menuduhkan saya kencing pada tiang bendera di rumah bekas Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris.

Kit Siang berkata, pada malam kejadian itu beliau berada di Melaka dan menafikan terbabit dengan rusuhan kaum seperti yang dinyatakan dalam risalah yang diedarkan di Gelang Patah.

“UMNO/BN juga menuduh saya anti Melayu, anti Islam dan anti raja-raja,” tambahnya.

Beliau meminta pesaingnya bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang menjadi calon BN di Gelang Patah untuk menentangnya dengan “sopan” bukan memfitnah dengan isu lama.

Sentimen perkauman dan agama juga disebar di Kampung Baru dalam Parlimen Titiwangsa, di mana calon PAS, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi mendakwa menemui risalah menyerang parti Islam sebagai sekutu DAP untuk “memusnahkan hak-hak Melayu”.

Jentera DAP di Tanjung Piai juga menemui risalah bertajuk ‘DAP Rasis’ yang turut diedar di kampung-kampung Melayu.

“Saya mungkin merupakan satu-satunya wakil rakyat dalam tahun 1969 yang sempat mengadakan perarakan dan rapat umum berterima kasih kepada pengundi selepas pilihan raya kerana saya telah menempah tiket untuk terbang ke Sabah pada awal pagi Selasa, 13hb Mei 1969 untuk membantu kempen pilihan raya calon bebas di situ, kerana pada masa itu, hari mengundi Sabah dan Sarawak diadakan seminggu selepas keputusan pilihan raya diumumkan di Semenanjung.

“Semasa berucap di rapat umum di Kota Kinabalu pada malam 13 Mei, barulah saya terima berita bahawa huru hara berlaku di Kuala Lumpur,” kata Lim.

Beliau berkata, dalam ucapan pertamanya di Parlimen pada 23 Februari 1971 setelah dibebaskan daripada tahanan ISA pertamanya, serta selepas Parlimen dipulihkan, ketika membahas Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan 1971, beliau meminta supaya satu Suruhanjaya Parlimen ditubuhkan.

“Saya meminta suruhanjaya ini yang keahliannya diwakili bukan Ahli Parlimen yang pakar dalam bidang masing-masing, untuk mengenal pasti punca rusuhan 13 Mei dan mencadangkan untuk mencegahnya berulang pada masa depan serta menghentikan masalah polarisai kaum di Malaysia’,” kata Lim.

Mengenai dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bahawa kerusi Gelang Patah dipinjamkan UMNO dan akan dipulangkan semula kepada MCA pada pilihan raya umum akan datang, Lim berkata, sepatutnya kerusi itu diberi kepada MCA yang lebih kuat daripada UMNO.

Manakala mengenai kerjasama PAS dan DAP, menurut Kit Siang, kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah berteraskan kepada dasar bersama atau manifesto Pakatan Rakyat yang mengikut konsep Negara Berkebajikan PAS dan perjuangan Adil Untuk Semua mengikut Perlembagaan Malaysia oleh DAP.

Perkara itu dipertegaskan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul HAdi Awang dalam kenyataan bersamanya dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, semalam.

Katanya, perbezaan PAS dan DAP hanya setakat lima peratus berbanding 95 peratus lagi persetujuan untuk menegakkan kebebasan, keadilan, kebenaran, integriti dan demokrasi untuk semua.

“Manifesto Pakatan Rakyat adalah berteraskan dasar bersama yang dipersetujui ketiga-tiga parti yang tidak menindas atau menolak hak mana-mana bangsa, agama atau jantina.

“Marilah kita bersatu melawan kemungkaran dan amalan rasuah BN yang merupakan masalah terbesar dalam negara yang berlarutan lebih 50 tahun. Kami merayu rakyat Malaysia sokonglah Pakatan Rakyat pada 5 Mei 2013.

“Tengok bulan pangkah bulan, tengok mata pangkah mata, tengok roket pangkah roket, Selamatkan Malaysia,” menurut kenyataan itu.-Roketkini.com