Berita

40 tahun Melayu Raub dipinggir UMNO dapat geran tanah

RAUB, 17 JUN: UMNO telah meminggirkan hak lebih 2,000 penduduk berbangsa Melayu di sini untuk memiliki tanah sejak lebih 40 tahun lalu sedangkan suku-sakat parti itu sewenang-wenangnya diberi ‘hak istimewa’ memiliki tanah.

Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz mendedahkan perkara itu ketika dihubungi Roketkini.com dan tindakan itu membuktikan UMNO sebenarnya tidak berminat membela orang Melayu sebaliknya hanya membela kelompok dan kroni mereka.

“Di Raub ada ribuan orang Melayu yang hidup tanpa hak milik tanah lebih daripada 40 tahun tapi pemimpin dan penyokong UMNO mempunyai tanah di merata tempat.

“Kita dapati sekitar 300 penduduk di Kampung Tamelian, Kampung Jelu (500), Kampung Sungai Rambai (400), Batu Malim (500), Batu Talam (300), dan Kuala Atok (200), semua mereka tidak mempunyai hak milik tanah (geran),” ujar beliau.

Katanya, sikap UMNO itu sudah cukup untuk menjadi asas bagi orang Melayu menolak parti yang kononnya mendakwa mereka membela orang Melayu.

“Maka, apa perlu orang Melayu menyokong UMNO?,” soalnya.

Menurut Mohd Ariff Sabri, orang Melayu negara ini juga perlu sedar bahawa nasib negara ini tidak terletak di tangan UMNO tetapi di tangan seluruh rakyat Malaysia kerana parti itu tidak mampu untuk berkuasa tanpa sokongan rakyat.

Justeru, menolak idea dan perjuangan UMNO bukan perkara yang perlu ditakutkan kerana perkara paling utama ialah penubuhan sebuah kerajaan yang tegas, adil dan menjaga kepentingan semua.

Dalam satu lagi kenyataan, Mohd Ariff Sabri berkata, sifat feudal yang mencorak struktur dalam UMNO itu digunakan sekumpulan kecil yang terpilih ‘menunggang di atas belakang rakyat yang diperhamba-abdikan’.

“Kepentingan UMNO ialah membolot kekayaan dan memusatkan kuasa dalam tangan elit. Kepentingan bangsa Melayu berlawanan dengan kepentingan UMNO. Pertentangan itu menyebabkan orang Melayu tidak lagi boleh menerima kepimpinan UMNO,” katanya.-Roketkini.com