Rencana

Mengenal Halia dan Lengkuas Oleh Aishah

KEDUA-DUA bahan masakan ini serupa tetapi tidak sama, satu elok diletak dalam sup dan satu lagi sedap dibubuh dalam masak lemak cili api. Begitulah masakan Melayu yang terhasil daripada dua bahan yang jika tersalah ramuan pasti tidak sedap untuk dimakan bersama keluarga. Paling-paling pun Pak Yob tidak mahu mengahwini Mardiana kerana gagal menyediakan sajian kesukaannya.

Kedua-dua bahan ini berupaya memberi sumbangan dalam bidang perubatan walaupun yang satunya lebih banyak kegunaan daripada yang lain. Namun ini tidak menafikan kegunaan lengkuas berbanding halia itu tadi. Ia sangat penting di Asia Tenggara dan masih dijadikan perisa utama masakan sejak beribu tahun yang lampau. Ternyata tinggalan yang ada pada kita sehingga hari ini tidaklah hanya dalam bentuk pepatah petitih, prasasti, perpustakaan lama dan sebagainya. Kebanyakan kita lupa tentang elemen budaya yang masih ada pada masyarakat mereka sendiri. Adakah sanggahan Syed Hussein Al-atas pada Tun Dr Mahathir tidak tepat sama sekali?

Ini tidak lain disebabkan teknologi memendekkan masa mencari sekaligus usaha manusia moden untuk menyelak catatan berhabuk, membaca huruf dengan bentuk pelik atau menggali khazanah mereka sendiri. Ya, manusia moden sukakan yang ringkas – makanan segera, twitter/ facebook, wikipedia, fakta Tahukah Anda, one-night stand dll. Semua ini membunuh ilmu dan kemanusiaan. Mereka ini berjiwa papa. Itulah paradoks teknologi yang dikritik filsuf Jerman abad 20 yang namanya sering dipetik manusia moden itu sendiri.

Wacana Alternatif
Berbicara soal budaya ini pastinya tidak lari jauh dengan apa yang pernah dan sedang diamalkan di Malaysia. Sejak 1511 setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis, tradisi penulisan manuskrip di Alam Melayu masih berterusan sehingga akhir abad 19. Dalam tempoh 600 tahun sejak Islam datang ke sini pada abad ke-13, kira-kira 10,000 manuskrip Melayu (dalam bahasa jawi) dan salinannya telah kita warisi daripada hampir 72 kerajaan Melayu – kerajaan ini bolehlah merujuk Kajian Manuskrip Melayu: Masalah, Kritikan dan Cadangan. Tradisi penulisan sedia ada menarik minat orang Barat termasuk Winstedt, Wilkinson, Raffles, Sturrok dan Clifford terhadap pengajian Melayu pada zaman penjajahan Inggeris dahulu. Kajian mereka ini lebih banyak daripada segi sejarah dan politik sementara kajian yang terkemudian tertumpu pada filologi, adat istiadat, asal usul raja, perubatan dan sebagainya. Semua ini menunjukkan kekayaan budaya Melayu yang boleh dikaji daripada banyak sudut dan diberi tafsiran sesuai dengan kepentingan masing-masing.

Ini bukanlah perkara baru. Persoalan yang dibincangkan ini telah lama diketahui malangnya belumlah ada usaha yang menelaah secara sistematik fenomena yang berlaku di Alam Melayu sekaligus menjadikannya sebagai wacana alternatif. Syed Farid Alatas misalnya mengatakan keperluan menghapuskan ilmu sosial Euro-Amerika yang tidak relevan di tengah-tengah masyarakat bukan-Barat. Dan ini disentuh lebih awal berbanding Edward Said sendiri iaitu oleh Syed Hussein Al-atas tetapi yang kerap dipetik tentu sekali Orientalism atau Culture & Imperialism. Syed Hussein Al-atas konsisten dalam tiap karyanya membela pak tani, penoreh getah dan pak cik mak cik di warung (kecuali pak pandir) daripada direndah-rendahkan bangsa lain terutama bangsanya sendiri.

Barat dalam hal ini selalu mengaitkan masyarakat primitif dengan sihir, guna-guna, ilmu hitam dan akibatnya kita mula percaya bahawa tidak ada manfaat mempelajari sejarah kita sendiri dan menerima masuk budaya luar dan menganggap sejarah mereka lebih baik daripada kita. Sejarah luar tidak patut dikenakan untuk mengesahkan kebenaran sejarah yang berbeza dengannya dan ini termasuk dengan penulisan semula sejarah bukan-Eropah yang dilayan sebagai pinggiran menurut buku Resisting Colonialist Discourse. Dengan memakai perspektif seperti ini, masyarakat dilihat berupaya mengembangkan dialog dengan menghargai keunikan budaya di setiap bahagian dunia ini.

Dengan pemahaman ini, kita akan lebih berupaya menilai masa kini yang wujud hasil masa lampau untuk menghadapi masa hadapan dengan bijak lagi. Kebijaksanaan inilah perlu didokumentasi dan disusun sebagai satu bentuk wacana alternatif untuk dijadikan rujukan bangsa Melayu agar tidak mudah meminjam fahaman luar seperti ditegur Syed Hussein Al-atas “intelektual yang non-intelektual” dan menimbulkan “unintended consequences”.

Kepada Kaum Intelektual Masyarakat Membangun
Dalam dokumen bertulis atau manuskrip yang ditinggalkan kepada kita itu misalnya tidak sedikit imej perempuan Melayu dengan bermacam-macam tafsiran ditemukan. Ada yang membela dan banyaknya mencela. Wacana Barat dilihat sewenang-wenangnya membentuk wanita Timur sebagai terkebelakang, kolot, kasar, bernafsu binatang dan bermacam-macam lagi. Imej seperti ini dibesar-besarkan sehingga menyingkir kebolehan perempuan yang lain. Tanggapan seperti ini banyak dikritik kerana bercitrakan orientalis.

Ini disebabkan fahaman feminisme Eurosentrik dan Euro-Amerikasentrik yang dianggap sesuai untuk semua sebenarnya telah menyisihkan keanekaragaman pengalaman perempuan di negara Selatan. Objektivisme atau homogenisasi ilmu moden telah mengabaikan pengetahuan daripada budaya timur yang rencam. Pengalaman perempuan di wilayah lain sudah tentu berbeza dengan pengalaman perempuan kulit putih di Barat, Gayatri C Spivak dan Chandra Talpade Mohanty antara lain mencabar wacana kulit putih ini termasuk yang dikesan pada penulisan ‘feminis’.

Jargon ‘a universal womanhood’ dilihat hanya mewakili kepentingan perempuan kulit putih dan kelas menengah sahaja. Persoalan kesetaraan gender yang mentah-mentah diambil dari Eropah itu tidak disesuaikan mengikut tanah Melayu dan kurang mencermati watak perempuan Melayu. Sedangkan menurut ahli sosiologi Sylvia Walby, aspek ini memberi sumbangan yang penting walaupun ia sering diabaikan dalam kebanyakan teks mengenai “nation”.

Justeru, wacana alternatif ini tadi dilihat mampu mencabar persepsi yang menghargai satu pihak dan merendahkan pihak ‘yang-lain’. Ia mampu menjadi semacam wacana tandingan yang menterbalikkan wacana sebelumnya. Kegunaan wacana ini agar kita lebih berhati-hati atau kritis dalam meminjam idea atau teori luar agar tidak melanjutkan lagi ‘beban mat salleh’. Kita sudah tentu tidak menginginkan orang luar dengan latar budaya berbeza mengurus cara kita berfikir, makan dan minum.

Kadang-kadang mereka ini lebih mahir dalam menerangkan apa itu konstruksi sosial tetapi gagal memahami bahawa identiti tidak boleh tinggal, memetik kata-kata Amartya Sen dalam Identity And Violence; “Our differences do not lie on one dimension only. The realization that each of us can and do have many different identities related to different significant groups to which we simultaneously belong appears to some as a rather complicated idea”.

Atas semua ini, apakah kaitan halia, lengkuas dan Spivak? Adakah Spivak pandai memasak masak lemak cili api? Adakah pak tani tadi harus menjadi feminis misalnya? Untuk setiap soalan ini, pak cik mak cik sudah tentu tidak peduli dengan Spivak tetapi dengan halia dan lengkuasnya. Namun ini tidak sedikit pun mengurangi kebijaksanaan dalam mengurus hidup. Pengalaman pak cik mak cik ini pasti berbeza sesama individu apatah lagi antara masyarakat. Jadi, dengan memaksakan apa yang kita percaya ke atas masyarakat lain hanya berupa tindakan orang yang kurang waras. Setidaknya mak cik pak cik ini tahu bahawa lengkuas tidak sesuai diletak bersama mee bandung walaupun sedap dalam mee rebus. – Roketkini.com