Berita

Bukit Koman dan keperluan penduduk Raub agenda utama di Parlimen – Ariff Sabri

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri menegaskan penderitaan penduduk akibat penggunaan racun sianida secara tidak terkawal di lombong Raub Australian Gold Mine (RAGM), Bukit Koman akan menjadi agenda utamanya di Parlimen.

“Isu Bukit Koman tetap menjadi keutamaan saya kerana penggunaan bahan kimia dan racun sianida yang digunakan terbukti membawa kemudaratan kepada penduduk.

“Pelepasan racun itu tanpa kawalan menyebabkan ramai di antaranya yang mengalami penderitaan,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen setelah selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat, Parlimen ke 13 hari ini.

Menurut beliau lagi, isu berbangkit lain yang juga membawa kepada ketidakselesaan juga akan dibangkitkannya dalam perbahasan sidang Parlimen kelak.

“Selain isu Bukit Koman, saya juga akan menekankan isu kebanyakkan penduduk di Raub yang tidak mempunyai hak milik tanah, keadaan rumah yang teruk, kemiskinan melarat dan keperluan asas seperti bekalan air tidak mereka perolehi.

“Saya sudah menemui Pegawai Daerah untuk membincangkan perihal masalah ketiadaan air, keperluan asas ini merupakan perkara yang sangat penting untuk rakyat.

“Respon dari pegawai itu amat bagus kerana kita mempunyai objektif yang sama iaitu memberi perkhidmatan seupaya mungkin kepada rakyat,” ujarnya.

Pada 16 April lalu, Ariff menyelar kerakusan menyalahguna kuasa dan amalan rasuah yang akhirnya mengakitbatkan penduduk Bukit Koman menderita.

Beliau turut mempersoal ketelusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang tidak jujur dan seolah-olah menyembunyikan sesuatu kepada rakyat.

Pada PRU 13 lalu, Ariff Sabri mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dengan undi sebanyak 23,415 dan majoriti berjumlah 2,814 undi.

Sidang Parlimen yang bermula hari ini, akan berlansung selama 16 hari dan akan berakhir pada 18 Julai 2013. – Roketkini.com