Wawancara

Marjinal dan terminologi kuasa

MARJINAL adalah sebuah band yang berasal dari Jakarta dan dibentuk sekitar 1997. Pada awal kemunculan, mereka menamakan band itu sebagai Anti ABRI, bersamaan dengan berubahnya nama institusi militari di Indonesia, nama Anti ABRI kemudiannya berubah menjadi Anti Military dan terakhir Marjinal.

Marjinal telah menghasilkan beberapa album, antaranya Anti Military, Termarjinalkan dan Predator. Marjinal memilih muzik yang berakar pada genre Punk, namun mendapat inspirasi daripada pelbagai warna muzik seperti tradisional, reggae hingga metal. Selain bermusik, Marjinal juga mengembangkan komuniti Taring Babi di Depok, Jakarta Selatan. Komuniti ini sering mengadakan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, cungkil kayu, menjahit, kraf, cetak baju dan lain-lain.

Dalam rangka jelajahnya di Malaysia baru-baru ini, wartawan Roketkini.com, Aliff Fikri dan Edry Faizal Eddy Yusof sempat menemubual Mike dan Bob daripada Marjinal di KerbauWorks Studio, Bangsar. Antara topik perbualan adalah berkisar mengenai terminologi kekuasaan, kebebasan, definisi negara dan hirarki.

Foto oleh Ahmad Yusufi

Apakah Punk harus sentiasa melawan pemerintah? sama ada pemerintah yang korup dan zalim atau mungkin yang baik?

Yang namanya pemerintah ertinya sudah konotatif, suka memerintah, melakukan sesuatu perkara sewenang-wenangnya dalam semua hal. Bicara soal pemerintah dan kekuasaan, automatiknya tidak cenderung bertemu dengan satu semangat atau energi, tapi Punk pula cenderung untuk kritis dalam semua hal demi satu perubahan yang dapat dirasakan bersama.

Secara logiknya yang namanya satu kekuasaan perlu dilawan kerana pasti melahirkan struktur penindasan. Jadi untuk melawan penindasan itu perlu ada bentuk perlawanan kerana punk itu hidup dalam satu kebebasan yang mana secara sedar sekali untuk menjadi dirinya dan di mana dia hidup. Itu yang membentuk pada kesedaran kritis untuk boleh memahami mengenai suatu situasi yang berkembang. Ia akan mengaju pada persoalan siapa yang menindas dan siapa yang tertindas.

Selain itu apa yang harus dilawan adalah cara berfikir di mana semua orang yang hidup itu adalah seperti ‘ini’, sekolah, kerja, nikah dan akhirnya mati. Aturan yang seragam ini harus juga dilawan. Orang seperti kami yang mungkin agak berbeza tidak mengikut keseragaman dipandang negatif, maka ini juga mesti diubah.

Pemikiran begini juga, untuk saya adalah dipengaruh daripada tangan kekuasaan secara sistematik bagaimana membentuk, memelihara daripada hal yang sifatnya tidak membangun, tidak membentuk masyarakat yang memang memiliki kebebasan untuk kemudian boleh faham. Ertinya ini memang salah satu secara sistematik adalah apa yang ditawarkan kepada masyarakat agar hanya memiliki kebiasaan aturcara berfikir yang normatif dan standard hidup yang begitu sahaja. Di mana moraliti sudah direka dan ditetapkan penguasa dengan ‘yang benar harus begini, yang salah harus begini’, moraliti ini kemudiannya melahirkan dasar moral dan dasar moral ini adalah kekuasaan yang dipaksa kepada masyarakat.

Bicara soal kekuasaan, seperti yang kita tahu, rakyat biasanya akan tunduk atau menyerah kebebasan mereka pada kekuasaan kerana percaya adanya kuasa yang mereka wakilkan itu akan menjamin keselamatan mereka dan sekiranya tidak ada kuasa, kehidupan mereka tidak akan selamat. apa pandangan kalian mengenai hal ini?

Itu cenderung kepada masyarakat yang pasif, kerana hanya menyerahkan bentuk harapan bagaimana kehidupan yang baik diserahkan secara 100 peratus kepada kekuasaan.

Seharusnya sudah cukup disedari untuk teman yang mahu bangun, bagaimana kita faham atas hak dan kewajipan sebagai masyarakat yang haknya harus dipenuhi sebagai manusia merdeka, Ketika semua orang ini sedar mengenai haknya, maka nasib dan kehidupan sama ada hidupnya sama atau tidak sama dengan orang lain, itu harus ditentukan sendiri bukan ditentukan oleh kekuasaan kerana tidak ada yang menjamin daripada kekuasaan, sejak ribuan tahun dulu sudah terbukti bahawa kekuasaan itu tidak pernah menjamin. Manusia yang percaya pada kekuasaan itu memang membawa celaka.

Tidak ada hal yang mampu mengatasi atau memberikan segala hal atau harapan pada sesuatu kaum. Sesuatu kaum seharusnya berusaha untuk mendapatnya sendiri. Harapan idealnya, setiap orang tahu haknya, hak ke atas hidup di mana dia ada dalam satu sistematik yang disebut ‘kitaran’, ertinya tidak hanya melepas, membiak dan membicarakan soal harapan saja tapi mesti menjadi ‘control public’ yang kuat. Jika dia sedar akan haknya, maka dia akan faham mengenai politiknya.

Yang diinginkan dalam sistem pembodohan adalah mengatur hidup mereka sehingga akhirnya tidak tahu mengenai hak politiknya tentang apa yang terjadi dalam kehidupan.

Menuju ke depan itu tidak hanya tertumpu pada harapan, impian yang kemudian berharap perubahan akan diberi oleh kekuasaan pada hidupnya, pada hal perubahan yang dilaungkan itu tidak pernah terjadi.

Harga barang naik, cili, bawang, wang yang kita harus bayar, beli rokok, beli makanan itu merupakan hasil dasar politik. Tapi bagaimana pula jika masyarakat memisahkan antara persoalan politik dan hidup, di sini ada satu garis pemisah kosong. Di saat masyarakat tidak faham mengenai politik, maka ia diguna oleh penguasa untuk mempergunakan mereka sepenuhnya. Tiba-tiba dilaungkan hak alam di bumi ini harus diberi kepada rakyat, ia diguna sepenuhnya, dalam keadaan masyarakat tidak tahu.

Padahal yang paling penting adalah bagaimana membangun pendidikan, berkongsi sama-sama untuk kemudian membangun kesedaran politik bersama agar masyarakat memiliki satu peranan aktif. Ini yang saya katakan ‘control public’ tadi. Ini perlu dilakukan untuk memastikan sistem itu benar-benar bekerja dan agar hierarki kekuasaan itu tidak bekerja secara sewenang-wenang. Ketidakseimbangan, ketempangan dan kemiskinan itu wujud kerana sistem sedia ada itu tidak bekerja.

Apa pandangan kalian mengenai negara? apakah itu negara dan definisinya?

Negara itukan satu keperluan yang sifatnya adalah mendesak, di mana bahawa satu bangsa itu harus merdeka, lepas daripada pengaruh kolonialisme, negara itu adalah satu keperluan yang mendadak, mendesak bukan keperluan yang mewakili cita-cita dan harapan bangsa.

Bangsa itukan gabungan dari negeri. Negara ini kemudian, cuba untuk mengambil ‘kontrol’ kekuasaan dari negeri yang menjadi satu bangsa tadi, akhirnya dikuasai sekelompok kecil manusia yang mengawal ribuan atau jutaan manusia, secara logiknya adakah mereka benar-benar mampu memberi keadilan untuk seluruh masyarakat?

Tapi kebanyakkan masyarakat memandang ‘kontrol’ ini perlu untuk menjaga keselamatan mereka, tapi soalnya sekarang yang mana lebih penting antara keselamatan atau kebebasan?

Kedua-duanya harus menjadi satu hak yang dimiliki, dihargai dan dilindungi semua manusia tanpa mengira dari mana asalnya.

Apapun namanya negara atau sesiapapun, ternyata yang berpengaruh itu sistem, sistem yang ditawarkan apa? Jika sistem yang ditawarkan adalah berkarektor kediktatoran dengan tidak membabitkan peranan masyarakat yang kemudian mereka mempunyai hak untuk menentukan nasibnya sendiri. Itu juga tidak diberi sepenuhnya, maka sistem itu yang menjadi persoalan.

Sejauh mana pula kalian memaknai kebebasan?

Seharusnya kebebasan itu tidak ada batas, kalau ada batas bukan kebebasan namanya.

Secara positifnya, kebebasan itu menghantarkan kepada kita supaya akhirnya memiliki kesempatan dan pengalaman.

Aku mempunyai kebebasan dan akhirnya aku mempunyai pengalaman di negeri ini, pengalaman ini seterusnya berproses menjadi pengetahuan dan pengetahuan ini adalah ilmu. Ilmu ini pula adalah modal agar manusia boleh menjawap soal dirinya dan kehidupannya agar lebih adil dan bijaksana. Tanpa ilmu, buta tuli dan buta telinga, maka yang akan terjadi adalah penindasan baru.

Oleh itu kebebasan tidak harus terbatas, kerana ianya akan membawa manusia belajar dengan lebih luas. Aneh juga kalau kebebasan itu terkecuali (ketawa). Kemerdekaan sepenuhnya itu harus diakui dan dipandang secara sama rata.

Sangat aneh jika kebebasan itu dinilai daripada segi kedudukan atau pangkat, contohnya golongan bangsawan atau penguasa memiliki kebebasan lebih tapi rakyat jelata yang mahu mengambil beras atau nasi untuk hidup kebebasannya harus dibatasi. Kebebasan apa ini? (ketawa). Sangat hipokrit.

Apakah mungkin di kemudian hari akan munculnya masyarakat tanpa hierarki?

Ya, siapa tahu, tapi mengapa tidak memandang ini dengan kepandaian dan keyakinan berangkat daripada apa yang kita rasakan dan apa yang menjadi harapan kita. Ketika semua orang ini memiliki harapan dan sedar, maka semua orang akan berkongsi untuk mewujudkan itu bersama. Tapi bila kita memulai pertanyaan dengan perkataan ‘mungkinkah’, satu hal tidak akan mungkin dilakukan.

Yang penting kita harus punya motivasi dan harapan, jangan menggantung harapan itu di langit. Apa yang terjadi di depan hari tidak siapa yang tahu, jadi kita harus sentiasa ke depan dengan positif.

Negara bagaimana yang kalian impikan?

Negara yang membawa kesenangan untuk semua, di mana semua manusia dihargai dan menghargai antara satu sama lain tanpa sebarang ikatan pemisah.

Kita harus mencuba, seperti contoh pilihan raya. Aku tidak tahu siapa wakilku, aku cuma tahu apabila gambarnya dipampang dijalanan menjelang pilihan raya tapi aku tidak kenal dia, jadi macam mana aku mahu memilihnya untuk mewakili hidupku.

Bagaimana kita boleh mengetahui bahawa wakil kita itu seorang yang amanah, pada hal dia juga tidak pernah bertanya apa yang kita mahukan, tidak mengenal, ini yang menjadikan kecurangan politik dan undang-undang, jelas sekali. Kami tidak kenal kamu dan kamu pula tidak pernah peduli kewujudan saya. Bicara soal reformasi, tapi akhirnya mereformasi kekuasaan sekitarnya saja.

Buku apa yang kamu suka baca?

Buku karya Pramoedya Ananta Toer, kita mengenal Pram secara langsung. Pram merupakan teman kita yang kadang kala kita main muzik dia akan datang dan berbicara soal hidup serta politik sekitar. Kita sangat rapat dengan Pram. Ketika beliau sakit, kita yang membawanya ke hospital. – Roketkini.com