Berita

Malindo Air: Najib dipersoal beri layanan “luar biasa” kepada kroni

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Tindakan luar biasa dan pelik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Syarikat Penerbangan Malindo menimbulkan tanda tanya kerana syarikat itu belum mendapat kelulusan Kementerian Pengangkutan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berkata demikian memberi respon kepada jawapan kerajaan di Parlimen Khamis lalu.

“Perdana Menteri telah melancarkan syarikat penerbangan itu pada 12 September 2012. Tapi peliknya dalam jawapan kementerian, Malindo Air hanya akan diberi lesen Perkhidmatan Udara oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 28 Februari tahun ini.

Menurut Pua, tindakan pelancaran syarikat itu secara tergesa-gesa oleh Najib telah dilakukan sebelum DCA menjalankan audit kelayakan kepada syarikat terbabit.

“Kenapa Perdana Menteri memberi layanan istimewa kepada Malindo Air, Adakah lesen penerbangan itu diluluskan sebab pemilikan 10 peratus saham National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd (NADI) oleh DZJJ Sdn Bhd yang dimiliki anak Datuk Seri Jamaluddin Jarjis manakala 5.7 peratus syarikat NADI pula dimiliki Kementerian Kewangan,” soalnya.

Memetik jawapan Parlimen oleh kementerian, Pua menjelaskan antara kriteria untuk mendapat kelayakan lesen perkhidmatan udara ialah mengikut ‘kedudukan kewangan yang kukuh’ dan ‘lulus dalam menjalani audit teknikal’.

“Adakah syarikat ini mengikut kriteria kementerian, Mengikut laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Malindo Air cuma ada modal berbayar sebanyak RM1 juta sahaja. Pemilik saham utama Malindo Air iaitu NADI telah melanggar Akta Syarikat sebab mereka tidak memfailkan penyata kewangan mereka sejak 2007, iaitu enam tahun berturut-turut!,” katanya.

Pua dalam masa sama mempertikaikan adakah sebuah syarikat yang melanggar undang-undang dan tidak mempunyai penyata kewangan terkini layak untuk diiktiraf ‘berkedudukan kewangan yang kukuh’.

Sambil menegaskan bahawa beliau amat mengalu-alukan persaingan sihat syarikat penerbangan di Malaysia, Pua berkata, isu penting yang menjadi persoalan sekarang ialah isu integriti dan gejala kronisme yang diamalkan kerajaan BN.

Perkara lain yang menjadi persoalan besar Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu ialah kerjasama yang dijalinkan syarikat NADI dengan PT Lion Group Indonesia.

“April lalu sebuah kapal terbang Lion Air terhempas di Bali dan tahun lalu, ramai juruterbang mereka ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana mengambil dadah.

“Bukan itu sahaja, sebelum ini pada Julai 2011, Lion Air digantung perkhidmatannya kerana ‘on-time perfomance’ yang terlalu teruk. Banyak kemalangan juga berlaku sebelum ini,” jelas Pua.-Roketkini.com