Wawancara

Mahdzir: Tidak gentar menongkah arus, menjana kekuatan baru!

Nama: Mahdzir Ibrahim
Umur: 37 tahun
Status: Berkahwin
Pendidikan: Diploma Pengurusan, Universiti Malaya.
Pengalaman: Pegawai Komunikasi Sekretariat Belia Negeri Selangor
Penyelaras Media Rasmi DAP Bahasa Malaysia, Roketkini.com
Bekas Calon DAP Parlimen Tanjong Piai, Johor
Jawatan : Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAPSY Kebangsaan

Setiausaha Politik kepada Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong

Teguh pada prinsip, beliau memboloskan diri daripada taboo sebahagian masyarakat yang diselaputi hijab memandang serong terhadap perjuangan murni DAP. Biarpun pada mulanya mendapat reaksi negatif sebahagian teman, Mahdzir Ibrahim, anak jati kelahiran Johor ini membuktikan bahawa aspirasinya sebagai golongan muda terbela bersama perjuangan DAP. Atas usaha dan amanah yang diberi, kini Mahdzir berjaya sedikit sebanyak membentuk acuan baru pemikiran golongan muda moderat terhadap DAP sekaligus memadamkan segala dongeng perkauman melampau yang dipropaganda pemerintah selama ini.

Pernah menjadi calon DAP bagi Parlimen Tanjung Piai dan berjaya kejayaan mengurangkan majoriti lawan, kini beliau meneruskan usaha untuk menarik lebih ramai pembabitan golongan muda bersama DAP. Ikuti wawancara wartawan Roketkini.com, Hafiz Zainuddin mengenai pandang terhadap landskap politik Malaysia dan golongan muda pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Kenapa DAP?

Kerana saya percaya pada prinsip dan perjuangan DAP. Saya percaya DAP boleh jadi sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia dan sangat jelas, samada dalam perlembagaan parti atau tindakan, DAP tidak pernah menghalang sesiapa sahaja untuk bersamanya,

Apa yang membuatkan saudara percaya?

Pertamanya saya percaya DAP bukan parti perkauman dan DAP amat mengalu-alukan, membuka dan memberi ruang untuk seluruh rakyat Malaysia, siapa sahaja, apa jua kaum, budaya dan kepercayaan, untuk berkhidmat kepada masyarakat. Lagi pun, DAP mempunyai rekod cemerlang sebagai sebuah organisasi yang lantang, berani menyuara dan memperjuangkan kepentingan semua pihak.

Apa sebab utama saudara terbabit langsung bersama parti politik sedangkan saudara mungkin ada pilihan lain?

Sebabnya saya diberi peluang. Kedua, saya yakin saya boleh memainkan peranan penting untuk parti. Pada mulanya, saya sendiri terbabit secara tidak langsung. Asalnya saya berada dalam media parti yang antaranya berkhidmat membantu DAP memulihkan imej dan persepsi orang awam kepada parti khususnya bagi masyarakat Melayu dan akhirnya saya diberi peluang untuk mencuba, bertanding dalam pilihan raya. Di sini saya secara langsung berdepan dengan masyarakat, dan saya ambil kepercayaan yang diberikan ini sebagai satu tanggungjawab dan amanah.

Kita dapat lihat satu trend, anak muda terbabit dalam politik tetapi kebanyakan mereka tidak berminat untuk bersama parti politik. Apa pandangan saudara?

Sebenarnya ini bukan fenomena luar biasa. Parti politik satu perkara, politik pula satu perkara yang berbeza. Dia tidak sama. Bukan orang muda saja yang tidak minat untuk terbabit langsung dengan parti, golongan dewasa begitu juga.

Jadi, kita hormati pendirian itu. Itu adalah hak masing-masing. Apa yang kita nak buat bukan membesarkan keahlian. Salah satu sebab adanya parti adalah sebagai wadah, untuk warga terbabit dalam proses ‘politik’ bukan dalam proses organisasi parti semata-mata.

Maksudnya parti tidak penting?

Bukan soal parti tidak penting, parti ada matlamatnya sendiri ada keterbatasan tertentu. Tapi dalam konteks politik, ia sangat luas sebab ia membabitkan hampir seluruh aspek, semua pihak dan kategori.

Kalau kita nak anggap atau hadkan sesiapa yang nak terbabit dalam politik mesti sertai parti politik, akhirnya apa yang akan kita saksikan ialah kelompongan ruang antara parti politik, masyarakat dan idea.

Kita lihat aspirasi golongan muda, mereka membesar dalam budaya bebas. Contohnya dalam bidang muzik, yang menulis, terbitkan buku, ramai mereka membabitkan diri dengan penerbitan secara DIY. Maknanya mereka tidak mahu terikat dengan sesiapa. Budaya ini adalah satu kepelbagaian yang perlu kita merayakan.

Bagaimana pula pandangan saudara bagi golongan muda yang aktif bersama parti politik seperti saudara sendiri?

Bagi mereka yang terbabit menjadi ahli, aktif beri sumbangan dan khidmat kepada parti, kami memang mengalu-alukan. Kalau dalam DAP sendiri, ruang untuk orang muda beri sumbangan idea atau tenaga terbuka luas dan perkara ini juga sudah terbukti bila kita lihat calon yang dipilih parti untuk Pilihan Raya Umum ke-13 lalu. Ramai muka baru daripada kalangan orang muda diketengahkan, lebih daripada 30 peratus.

Pembabitan golongan muda ini amat penting supaya parti sentiasa ada pelapis pada masa yang sama, idealisme parti sentiasa boleh diperbaharui termasuk dalam konteks budaya parti sendiri yang mana parti mesti berevolusi bersama masyarakat. Kalau parti politik hanya digerakkan oleh golongan veteran, kami tidak menafikan ia hanya akan menyebabkan parti ketandusan idea baru mengikut konteks zaman.

Saya boleh bawa contoh seperti UMNO. Kalau kita bandingkan DAP dan UMNO, mereka kurang ketengahkan calon muda. Ini bermakna, peluang bagi golongan muda menyumbang kepada parti juga terhad.

Kepentingan orang muda terbabit dalam parti politik selain membawa idea baru?

Isu ini hampir sama dengan isu gender misalnya wanita. Kenapa perlu ada sayap wanita? Sebabnya ia membabitkan masalah peluang. Sama juga dengan golongan muda. Kenapa perlu sayap pemuda? Kerana mahu pastikan idea orang muda terus relevan dalam parti, tetapi kalau memang ramai orang muda bersama parti, rasanya kita tidak perlukan sayap pemuda. Kerana sudah tidak timbul lagi isu ‘gender’.

Maksudnya di sini dalam semua peringkat sudah ada pembabitan golongan wanita atau pemuda. Golongan veteran tetap tidak diketepikan kerana mereka adalah mentor kepada yang muda. Saling memerlukan.

DAP dimomokkan sebagai parti chauvinis. Apa pandangan saudara mengenainya?

DAP bukan parti perkauman. Masalahnya bila mana isu perkauman yang menjadi budaya dan modal politik UMNO. Ia digerakkan secara sangat sistematik. Misalnya jentera kerajaan, media yang dikawal mereka, di mana tujuan asal adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat digunakan untuk menyebarkan propaganda perkauman.

Saya bawa contoh dalam pemilihan JKKK. Ketua Kampung biasanya adalah ketua cawangan UMNO, paling tidak, dia adalah seorang daripada Ahli Jawatankuasa UMNO. Daripada situ modus operandi penyebaran propaganda negatif UMNO terhadap lawan mereka lebih mudah. Itu belum lagi disentuh mengenai fungsi Biro Tata Negara (BTN) , KEMAS dan sebagainya.

Perkauman (rasisme) dan orang muda

Saya lihat dalam perkara ini ada dua perkara penting yang digunakan iaitu pertamanya ialah komunikasi, teknologi maklumat. Dengan adanya media alternatif, kerja propaganda politik perkauman ini kurang berjaya. Sebabnya, dunia teknologi maklumat memudahkan pendedahan dan pencapaian yang mereka dapat, lebih menyeluruh. 80 peratus orang muda ada akses internet, ada akaun facebook, twitter dan sebagainya. Dengan adanya instrumen ini, apa jua isu termasuk isu perkauman mampu lebih difahami, dicerna berbanding hanya disuapkan dengan laporan media arus perdana.

Keduanya ialah minat mereka sendiri yang mana kita dapat lihat golongan muda lebih cenderung kepada idea baru. Mereka sendiri sedar bahawa idea seperti ‘ketuanan Melayu’ dan seangkatan dianggap KLISE. Ini cita rasa orang muda sekarang. Mereka tidak suka kepada perkara yang KLISE. Inilah dua perkara yang secara tidak langsung telah beri kelebihan kepada Pakatan Rakyat. Ini bukan semata-mata politik untuk menang pilihan raya tetapi yang lebih penting adalah sebuah generasi yang celik ilmu dan mempunyai kesedaran.

Pasca PRU-13, apa pandangan saudara?

Keadaan sudah berubah terutama dalam aspek persepsi. Di Malaysia, politik persepsi mendahului politik dasar-polisi. Rasanya selepas PRU-13, saya percaya keadaan sudah berubah samada terhadap PR atau BN. Sekuat mana perubahan itu saya tidak tahu tapi saya yakin ruang untuk suburkan demokrasi adalah lebih baik berbanding dulu.-Roketkini.com