Isu Semasa

Dilema The New Village dan Tanda Putera: Cuma mainan tangan ghaib Oleh Muhammad Ariff Mohamad Nizam

newvillageTERGAMAM. Terkesima. Teruja.

Tiga reaksi yang terbentuk tatkala menjenguk ruang laman sosial Facebook rasmi milik filem baru yang bakal ditayangkan pada 22 Ogos ini iaitu The New Village.

Sebagai ringkasan, dalam gambaran yang terbentuk kerana belum menonton lagi, filem yang membawa tema sejarah itu mungkin sekali bertujuan mahu menceritakan kisah kehidupan penduduk kampung baru Cina yang dibuka di bawah Rancangan Briggs yang bermotif untuk mengawal pergerakan komunis dengan orang awam terutama sekali warga Cina. Mungkin, begitulah sedikit sebanyak intipati filem terbabit.

Namun begitu, belum sempat ia menjengah panggung, sudah berlambak komentar membantah tayangan filem itu. Begitu juga kondisinya yang menimpa filem Tanda Putera sebelum ini. Kesian pengkarya.

Bangkitnya kisah The New Village yang kurang publisiti tayangannya ni pada umum semenjak sebuah lidah arus perdana menjadikannya sebagai tajuk utama khabar terbabit. Persoalan dibentuk menyoal perihal filem itu diluluskan pihak penapisan filem yang ditohmahnya mengangkat komunis.

Dan bertambah rumit kronologi ini apabila pak menteri bertanggungjawab mengarahkan sang lembaga yang menjadi tukang tapis filem pengkarya Malaysia untuk menapis sekali lagi filem itu. Ya, kesian pengkarya.

Di sinilah, industri seni kita ibarat digari dan dibawa ke sana ke mari tanpa kebebasan. Dikawal 24 jam, tujuh hari seminggu 365 setahun. Bagaimana industri mahu mencapai ke tahap yang lebih tinggi? Bagaimana mahu melangkah ke pentas negara maju kalau filem yang sepatutnya menjadi ejen pendidik membina perspektif warganya asyik dimainkan oleh tangan-tangan ghaib.

Tangan-tangan ghaib? Ya, tangan ghaib yang dimaksudkan merujuk kepada ejen pahlawan kaum dan ejen hero fanatik politikus. Semuanya mempunyai kepentingan tersendiri, yang terjerat kini pengkarya. Dunia mereka tidak bebas walaupun karya mereka mempunyai mutu dan nilai yang tersendiri. Rugi. Sekali lagi, kesian pengkarya.

Lebih malang lagi apabila marhaen terus diuji dengan aktiviti pembodohan mentaliti. Aksi melenting bergegak gempita di laman sosial seperti biasa melempar kata nista tanpa mengetahui intipati sebenar filem terbabit. Hakim yang arif muncul dan terus dijatuhkan hukuman kepada karya sebegini. Lagi, kesian pengkarya.

Masalahnya di sini bukan pemerintah mahu pun pembangkang kuasawan politik tetapi mereka di belakang mereka yang meraih perhatian cuba membawa isu yang entah apa-apa ke arus media massa. Filem yang membawa sejarah yang mempunyai hujah perbandingan dan perbedaan pendapat membuka ruang untuk dialog pensejarahan negara. Kaji semula sejarah dan fahami. Rujuk sumber yang banyak bukan hanya merujuk pada buku teks. Kita ramai sejarahwan yang menghasilkan buku ilmiah yang mendedahkan apa yang tidak didedahkan di dalam buku teks sejarah kurikulum sekolah. Rujuk. Bukan hanya rujuk blog picisan sahaja.

Ia bukan soal komunis, DAP, UMNO, ia soal sejarah dan pembentukan mentaliti menerusi pendidikan. Beri ruang untuk bina persepktif. Jangan cepat melatah. Rujuk sejarah kembali. Kerana tahap pemahaman kita berbeza dan cara interpretasinya pun membuahkan hasil yang berbeza. Itu tidak mengapa, raikan perbezaan pendapat itu bak kata Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Dan kikis sikap manipulasi dan hanya menjadi keyboard warrior di laman siber. Buka ruang berdialog ilmiah bukan melatah.

Dalam skop perfileman sebegini, kalau sang lembaga dah luluskan, biarkan saja ditayangkan. Tonton dulu dan buat reviu filem tu kemudian. Bergegar menghukum di laman sosial tak guna juga kalau tak turun ke panggung untuk tonton. Tak begitu? Selamat menonton The New Village (kalau sang lembaga beri pelepasan selepas tapisan kali kedua) dan Tanda Putera.

Moga pengkarya terus teguh bersabar dengan kerenah sebegini. Majulah filem untuk negara! -Roketkini.com