Isu Semasa

DAP tidak boleh terima arahan ROS tanpa sebab munasabah

IMG_0832KUALA LUMPUR, 1 OGOS: DAP kekal dengan keputusannya menolak arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) selagi ROS gagal menjelaskan mengapa parti itu perlu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mengikut peruntukan undang-undang berkaitan Akta Pertubuhan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata dalam mesyuarat tergempar semalam, ahli CEC amat terkejut bagaimana ROS boleh membuat keputusan yang begitu penting secara sewenang-wenangnya hanya atas alasan ia tidak berpuas hati tanpa memberikan apa-apa sebab.

Katanya, tindakan memberi arahan singkat supaya mengadakan pemilihan semula atas alasan yang begitu subjektif tanpa memberi sebab itu tidak boleh diterima kerana tidak mengikut standard etika, tidak demokratik, serta merupakan satu penafian keadilan dan proses undang-undang yang sepatutnya.

“Jika itu alasan ROS, parti pembangkang seperti DAP sampai bila pun akan dijadikan tebusan lantaran aduan yang mengarut dan tidak berasas. Pada masa depan, tidak ada apa yang boleh menghalang ROS daripada mengarahkan pemilihan semula diadakan pada bila-bila masa dan sesuka hati.

“DAP berhak untuk dimaklumkan kenapa tindakannya membetulkan kesilapan mengumumkan keputusan pemilihan tidak boleh diterima ROS. Semua dokumen sokongan sudah diserahkan bagi membuktikan pemilihan Disember tahun lalu dilakukan dengan baik, menepati undang-undang serta secara demokratik dengan semua perwakilan yang layak dimaklumkan tanpa sebarang perlakuan tidak jujur serta politik wang,” katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, satu-satunya kesilapan adalah dalam hal penyiaran keputusan oleh ketua pegawai pemilihan yang menyebabkan jumlah undi yang salah diumumkan bagi beberapa calon dan memberi kesan kepada satu calon yang berjaya.

Menurutnya, kesilapan itu mengakibatkan seorang calon, Vincent Wu, yang diumumkan berjaya secara silap digantikan dengan calon yang sepatutnya iaitu Zairil Khir Johari.

Beliau berkata, apabila kesilapan itu disedari, ia terus diperakui dan diperbetulkan pihak parti secara sukarela tanpa didedahkan oleh mana-mana pihak luar.

“Keputusan yang betul turut diperiksa sebuah firma audit bebas dan berkecuali. Pihak parti sekarang sedang dihukum kerana enggan menutup kesilapan dan kerana berlaku jujur dan berkata benar.

“Itu sebabnya pada mesyuarat tergempar, malam semalam, CEC DAP secara sebulat suara membuat keputusan untuk menjawab notis daripada pihak ROS bertarikh 30 Julai 2013 seperti berikut:-

“Bahawa DAP tidak dapat menerima arahan ROS seperti yang terkandung di dalam surat tersebut kecuali dua syarat berikut dipenuhi:-

a) Pihak Pendaftar memberikan sebab kenapa ia tidak berpuas hati dengan penjelasan DAP mengenai perjalanan pemilihan CEC pada 15 Disember 2012 mengikut notis Seksyen 16(1) Akta Pertubuhan 1966 seperti yang dinyatakan dalam surat itu dan

(b) Pihak Pendaftar menjelaskan mengikut peruntukan undang-undang apa arahan supaya pemilihan semula CEC diadakan seperti yang dinyatakan dalam surat terbabit,” tambahnya.- Roketkini.com