Isu Semasa

DAP terus desak ROS beri penjelasan

970884_687566984594088_1923094352_nKenyataan Media Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 13 Ogos 2013.

Mesyuarat tergempat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) malam tadi sebulat suara bersetuju melakukan usaha terakhir untuk bertemu Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datuk Abdul Rahman Othman menuntut supaya hanya dua penjelasan diberi atas sebab kenapa dan mengikut kuasa apa daripada Akta Pertubuhan itu beliau mengarah DAP melakukan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). DAP sedia mengadakan pemilihan semula dengan syarat dua penjelasan itu diberi secara munasabah, menepati undang-undang dan berasaskan fakta.

Tanpa dua penjelasan itu daripada pihak ROS, pimpinan DAP tidak akan mampu menjelaskan kepada perwakilan DAP pada kongres parti kenapa pemimpin mengalah dan menyerah dengan begitu mudah kepada suatu salah guna kuasa sewenang-wenangnya oleh ROS untuk mengarahkan pemilihan semula.

CWC DAP mengulangi pendirian bahawa pemilihan CEC pada Disember 2012 dijalankan secara teratur dan bersih. Apabila kesilapan komputer mengakibatkan pengumuman yang salah bagi calon yang berjaya, DAP bingkas membetulkannya malah turut meminta sebuah firma perakaunan untuk memeriksa keputusan yang diperbetulkan itu. Tidak ada kesilapan sama ada dalam pengiraan undi atau penjumlahan tetapi hanya dalam pengumuman keputusan yang mengakibatkan seorang calon, Vincent Wu diumum sebagai calon yang berjaya, sedangkan nama yang sepatutnya diumumkan ialah Zairil Khir Johari.

Kesilapan itu diperbetulkan dengan meletakkan Zairil Khir sebagai calon yang menang. DAP sudah memberi penjelasan penuh mengenai kesilapan yang tidak disengajakan itu kepada pegawai ROS dengan mengemukakan semua dokumen dan bahan yang diperlukan. Kesilapan itu diakui DAP tanpa didedahkan oleh ROS atau BN dalam mengangkat peri penting ketelusan dan akauntabiliti. DAP kini dihukum kerana berlaku jujur dan berkata benar.

Mengarahkan pemilihan semula hanya atas sebab ROS tidak berpuas hati, adalah salah di segi undang-undang kerana melanggari prinsip asas pelaksanaan kuasa secara munasabah, selain prinsip keadilan serta proses undang-undang yang sepatutnya. Dua penjelasan mengenai sebab kenapa serta mengikut kuasa apa daripada Akta Pertubuhan adalah amat penting demi akauntabiliti dan ketelusan.

Sekiranya DAP menerima rasional ROS bahawa ia tidak perlu memberi sebarang penjelasan, jadi apa yang boleh menghalang ROS daripada mengarahkan pemilihan semula berkali-kali hanya kerana ROS tidak berpuas hati. Bezakan tindakan pantas terhadap DAP berdasarkan aduan yang difailkan tahun ini berbanding sikap tidak mengambil tindakan ROS terhadap aduan yang difailkan terhadap pemilihan parti SUPP yang diadakan dua tahun lalu.

CWC DAP sangat kecewa dengan sikap ROS yang berulang kali berkelakuan tidak profesional, tidak beretika malah tidak menepati undang-undang dengan membuat kenyataan media yang tidak mempunyai asas fakta atau undang-undang. Jika ROS percaya bahawa mereka difitnah oleh DAP, mereka pastinya boleh membawa DAP ke mahkamah dan memfailkan saman fitnah.

Berbanding fakta yang diberi DAP yang turut diperiksa sebuah firma perakaunan, ROS nampaknya mempercayai penipuan Utusan Malaysia dan New Straits Times bahawa 753 perwakilan DAP dinafikan hak mereka untuk hadir ke kongres DAP di Pulau Pinang dan bahawa terdapat 547 perwakilan ‘hantu’ hadir ke kongres itu.

Pihak ROS sehingga hari ini belum menjawab permintaan kami untuk dua penjelasan itu, atau permintaan saya untuk bertemu dan berbincang. Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke akan mengatur temu janji dengan pihak ROS.

LIM GUAN ENG