Berita

DAP buktikan pemilihan CEC ikut prosedur, cabar Najib tarik balik pembohongan

anthony 1KUALA LUMPUR, 19 OGOS: DAP mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik pembohongan dan tuduhan tidak berasas serta meminta Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan arahan supaya DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembohongan Najib itu tidak ada asasnya kerana DAP mempunyai bukti kukuh yang mengesahkan ia adalah penipuan yang sengaja direka untuk menghukum parti itu.

Beliau berkata, DAP sentiasa membalas surat yang diminta ROS dengan mengemukakan bukti kukuh seperti yang diminta namun badan itu seolah-olah memekakkan telinga sebaliknya tetap mencari kesalahan DAP.

“Kenyataan Najib Jumaat lalu berhubung pemilihan semula CEC mengesahkan sememangnya terdapat usaha peringkat tertinggi komplot politik untuk memusnah dan melenyapkan DAP daripada arena politik negara.

“Najib sendiri menghalalkan penipuan yang disebar dan diulangi beratus kali oleh ejen propaganda UMNO selama beberapa bulan ini bahawa 753 perwakilan yang tidak dimaklumkan seperti didakwa Najib adalah satu penipuan.

anthony 2“Kami mempunyai bukti rekod kehadiran dan tanda tangan ahli serta resit pos yang berjumlah RM2,280 yang menunjukkan notis telah dihantar. Najib menipu dan jika beliau mahu saman saya teruskan, saya cabar dia tarik balik kenyataan dan mengarahkan ROS membatalkan arahan terhadap kami,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan, hari ini.

Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban turut menunjukkan surat yang ditandatangani lebih 500 daripada 753 perwakilan kongres parti tahun lalu yang mengesahkan mereka sudah dimaklumkan mengenai Kongres DAP dan pemilihan CEC.

Surat itu ditandatangani secara sukarela oleh semua ahli dan ia adalah bukti tidak pernah wujud sebarang penipuan dalam proses pemilihan CEC.

Najib mendakwa dalam media seliaan UMNO, Utusan Malaysia, 16 Ogos lalu bahawa DAP tidak mempunyai kredibiliti kerana tidak mengamalkan prinsip demokrasi kerana tidak memaklumkan kepada 753 perwakilan berhubung pemilihan CEC.

“Kami memenuhi segala permintaan ROS dan menjawab kecurigaan pendaftar itu dengan sewajarnya. DAP bertindak berlandaskan perlembagaan parti dengan menghantar surat sepuluh minggu awal kepada setiausaha cawangan. Perwakilan mengaku secara sukarela dan tiada sebarang paksaan daripada parti.

anthony 3“ROS seharusnya lebih profesional dan menyiasat terlebih dahulu bukannya membuat tindakan membabi buta. Contohnya, ROS sendiri boleh mengambil inisiatif mengadakan siasatan dalaman,” ujarnya sambil menyifatkan perwakilan yang mendakwa tidak menerima notis sebenarnya mempunyai agenda tersendiri.

Beliau menegaskan, adalah menjadi perkara biasa jika terdapat sebilangan perwakilan yang tidak dapat hadir dalam sesuatu pemilihan parti sambil meminta ROS berlaku adil dengan meneliti pemilihan UMNO pada Oktober ini seperti mana yang dikenakan kepada DAP.

“Adakah ROS akan mengarahkan UMNO supaya mengadakan pemilihan semula jika beberapa perwakilan tidak hadir Oktober ini dan bagaimana Najib boleh menganggap semua orang yang tidak menghadiri kongres tidak menerima notis,” tambahnya.-Roketkini.com