Berita

Pulau Pinang tak haram Tanda Putera, hanya beri nasihat

poster tanda putra (1)GEORGETOWN, 29 OGOS: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menegaskan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang hanya memberi nasihat tentang fitnah perkauman dalam filem Tanda Putera, dan tidak pernah mengeluarkan arahan supaya mengharamkan tayangan filem itu di negeri itu.

Katanya, kerajaan negeri juga menjelaskan bahawa tiada tindakan akan diambil kepada mana-mana pengendali pawagam yang tetap mahu menayangkan filem yang berbau rasisme tersebut yang menggunakan wang rakyat pelbagai kaum sebagai modal penerbitannya..

Beliau berkata, nasihat itu dikeluarkan kepada pengendali panggung wayang untuk menekankan kepada umum betapa bahayanya fitnah dalam filem tersebut yang mampu mengancam perpaduan nasional dan kaum di negara ini.

“Kerajaan negeri mengeluarkan nasihat bukan larangan dan tiada tindakan akan diambil ke atas mana-mana panggung wayang di Pulau Pinang yang menayangkan filem Tanda Putera, ia sepertimana nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan rakyat yang melawat negara-negara bahaya.

“Tidak ada sesiapa akan dihalang daripada menonton filem ini di Pulau Pinang. Kedua-dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai tidak akan menghukum pengendali panggung wayang di Pulau Pinang kerana menayangkan filem tersebut dan mengabaikan nasihat kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan langkah untuk mengeluarkan nasihat adalah disebabkan filem itu yang ternyata melampaui batas dengan menggunakan wang awam untuk menyebarkan fitnah dan mengalakkan kebencian dalam kalangan rakyat.

“Tanda Putera telah diterbitkan dengan kos RM4.8 juta yang dibiayai oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC).

” Pembiayaan oleh Kerajaan Persekutuan ini boleh dilihat sebagai suatu pengesahan rasmi filem tersebut, termasuk babak-babak di mana pengarah sendiri telah mengakui adalah tidak benar dan sebenarnya dibuat dengan menggunakan ‘lesen kreatif’.

“Lesen kreatif ini tidak membolehkan penyebaran fitnah yang boleh mengancam keharmonian dan mencetuskan konflik. Ini menimbulkan soalan sama ada dengan mempromosikan kebencian kaum terhadap minoriti, menyalahkan minoriti sebagai punca segala masalah serta mempergunakan minoriti itu sebahagian daripada kewajaran dan alasan untuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” tegasnya.

Menurut Ahli Parlimen DAP Bagan itu lagi, Kerajaan negeri juga bimbang pemomokan minoriti dalam filem ini akan membawa kepada pencabulan hak mereka dan juga mana-mana rakyat Malaysia yang menyokong hak asasi manusia untuk semua.

“Kerajaan negeri hanya mampu memberi nasihat ini sebagai kompas moral dan tanda bantahan terhadap filem yang menggalakkan provokasi sentimen perkauman dan kebencian kaum.

“Kami percaya dengan sesungguhnya bahawa kebencian terhadap mana-mana golongan kaum adalah umpama kebencian terhadap kemanusiaan sendiri, kerana kita semua sebenarnya satu kaum manusia. Marilah kita tunjukkan bahawa Malaysia berupaya untuk menjadi terbaik tanpa mengira kaum atau agama,” ujarnya. -Roketkini.com