Rencana

Bukan ulasan filem Tanda Putera Oleh Izmil Amri

Empty cinemaSAYA tidak tonton Tanda Putera, ini harus jelas. Saya tidak tonton Tanda Putera kerana beberapa faktor; termasuk faktor ekonomi dan kenaikan harga minyak yang menyebabkan saya terpaksa berjimat dan tidak membazir. Membelanjakan RM12 untuk sebuah filem yang dibiaya kerajaan adalah termasuk dalam kategori kedua.

Jadi ini bukan reviu filem Tanda Putera. Ini ulasan Tanda Putera berdasarkan ulasan orang lain yang sudah menonton Tanda Putera. Ini cara yang adil untuk mengulas Tanda Putera; sebuah filem yang dihasilkan melalui cara yang sama – tanpa mengambil kira kisah sebenar dan membuat penceritaan tanpa mempedulikan perbezaan fakta dan fitnah.

RM4.8 juta adalah jumlah yang agak besar untuk dijadikan dana sebuah filem yang dibuat tanpa mempedulikan perbezaan fakta dan fitnah. Di zaman ekonomi tidak stabil dan kerajaan sedang cuba untuk ‘berjimat’ dengan antara lain menarik balik subsidi minyak, RM4.8 juta yang disedekahkan kepada Datin Paduka Shuhaimi Baba dan kawan-kawan untuk membikin sebuah filem propaganda yang tidak menjanjikan pulangan wang pastinya suatu keputusan kewangan yang tidak bijak.

RM4.8 juta itu sepatutnya boleh diguna bagi membina kantin yang lebih besar untuk Sekolah Kebangsaan Sri Pristana. Tetapi kerajaan lebih tahu, maka dibelanjakannya jumlah wang yang besar itu untuk bikin filem propaganda.

Di zaman pemerintahan Hitler, filem propaganda adalah satu daripada tiang seri pendidikan politik parti Nazi. Menteri propaganda Hitler, Joseph Goebbels melantik dirinya sebagai penaung perfileman Jerman dan menguasai Reichsministerium für Volksaufklärung und Propaganda atau dalam bahasa yang kita faham ‘Kementerian Pencerahan Awam dan Propaganda’.

Antara langkah awal yang diambil Goebbels sebagai menteri propaganda termasuklah membakar buku-buku, pastinya dengan harapan supaya maklumat yang dihadam rakyatnya adalah maklumat yang ‘dipersetujui selamat’ demi kemandirian parti Nazi dan ideologinya. Setelah buku-buku dibakar, propaganda pun disemai. Antara yang paling popular Triumph des Willens yang dibikin Leni Riefenstahl sekitar 1935.

Shuhaimi Baba mungkin bercita-cita untuk meletakkan namanya sebaris dengan Leni Riefenstahl sebagai pembikin filem propaganda. Tanda Putera barangkali akan wujud dalam nota kaki sejarah perfileman negara sebagai wayang gambar yang mengundang begitu banyak kontroversi meski belum ditayangkan, selain mencatat sejarah sebagai wayang gambar yang gagal kerana tidak mengundang ramai penonton ke pawagam.

Ini satu lagi sebab kenapa saya tidak tonton Tanda Putera, panggung wayang tak ramai orang kecuali untuk beberapa pasangan yang duduk di kerusi belakang-belakang untuk bikin wayang mereka sendiri.

Kegagalan Tanda Putera di pawagam ini diakui Shuhaimi Baba sendiri yang malah katanya sudah dijangka. Eh pelik sungguh sanggup bikin filem tapi sudah boleh agak orang tak mahu datang tonton. Sudah tu kenapa bikin filem?

Dengan reaksi Shuhaimi Baba itu maka fahamlah saya bahawa ini wayang bukan diniatkan untuk tayangan pawagam. Makcik dan pakcik di tanah rancangan Felda sana mana ada masa mahu turun ke pekan tengok wayang. Pengundi luar bandar mana mahu buang duit keluar ke pekan untuk tonton cerita ‘sejarah’.

Tanda Putera dibikin guna dana kerajaan kerana ini filem yang perlu dikasi bikin, supaya boleh ditayang ke televisyen secara percuma. Anda yang sudah pergi menonton di pawagam dan bayar RM12 itu, ya anda; saya tumpang simpati.

Triumph-of-the-WillTanda Putera akan jadi filem propaganda yang akan diulang siar berkali-kali di kaca televisyen dengan harapan supaya rakyat akan percaya. Sepertimana rakyat sudah percaya dengan filem Bukit Kepong yang sudah tidak lagi disiarkan menjelang Hari Merdeka sejak kecoh hal Mat Indera didedahkan sebagai pejuang bangsa dan menggempur rumah pasung mata-mata British.

Ini asas mudah propaganda; penipuan yang diulang-ulang akhirnya akan diterima sebagai kebenaran. Barangkali ini nawaitu pihak di sebalik pembikinan Tanda Putera, saya tidak tahu.

Saya melihat Tanda Putera sebagai lebih daripada sekadar filem. Tanda Putera adalah sebuah operasi politik yang licik. Kita melihat betapa bersungguhnya pemerintah dan jentera propagandanya menjalankan operasi besar ini sejak setahun yang lalu. Dengan kempen di rangkaian sosial menyebarkan gambar pra-produksi, kononnya Lim Kit Siang kencing di tiang bendera di rumah Menteri Besar Selangor; serta operasi senyap menayangkan filem ini kepada mahasiswa dan penyokong tegar pemerintah.

Ini semua dijalankan di saat negara sedang mendidih menuju pilihan raya paling sengit dalam sejarah; dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai sasaran serangan utama. Atau jika mahu meminjam ayat jahat pemimpin politik balik sana, sasarannya pastilah orang Cina; dalang di sebalik rusuhan 13 Mei 1969 kononnya.

Saya secara peribadi merasakan bahawa tragedi berdarah 13 Mei 1969 tidak ada kena mengena dengan perjuangan menuntut kemerdekaan. Malaya merdeka 31 Ogos 1957. Sabah dan Sarawak menyertai Malaya membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Singapura bercerai daripada Persekutuan tahun 1965.

Apa kaitannya 13 Mei dengan kemerdekaan? Jawapannya; tidak ada kena mengena.

13 Mei yang menjadi latar cerita Tanda Putera adalah kisah tergugatnya kuasa parti dan pemimpin politik. Kisah krisis kuasa orang Melayu yang pantang ketuanannya diganggu.

Tanda Putera barangkali berniat menggunakan sentimen Melayu ini sebelum pilihan raya dulu. Dengan harapan supaya Melayu bersatu. Entah bagaimana strategi ini tidak digunakan. Filem ini tidak ditayangkan. Barangkali ada kepala yang masih waras memberi nasihat supaya babak sejarah hitam negara ini tidak diulang siar di saat-saat panas pilihan raya supaya mengelak sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

Lalu Tanda Putera ditayang dua hari sebelum sambutan Merdeka ke-56. Lebih tiga bulan selepas PRU ke-13. Berdasarkan ulasan yang ditulis orang; saya tambah tertanya-tanya apa sebenarnya mesej yang mahu disampaikan filem ini selain untuk bercerita tentang Tun Razak dan timbalannya.

Perkara pertama yang saya perasan tentang pembikinan Tanda Putera ini ialah betapa sukanya Shuhaimi Baba dengan Rusdi Ramli. Saya tidak tahu kalau memang Rusdi itu punya kontrak sampai kiamat dengan Pesona Pictures, tapi Rusdi muncul dalam hampir setiap satu filem Shuhaimi Baba dalam dekad yang lampau. Hairan saya. Seolah-olah tidak ada pelakon lain yang cukup sesuai untuk membawa watak Tun Razak.

Seandainya Tanda Putera bertujuan mengangkat nama Tun Razak, saya kira ia gagal sama sekali. Anakandanya sendiri yang kini menjadi Perdana Menteri malah tidak sedikit pun menjiwai sifat dan watak ayahandanya. Inikan pula sebuah filem yang dibikin tanpa hala tuju jelas.

Saya hatta terpaksa melayari Wikipedia untuk mengetahui bahawa Tun Razak adalah ahli Parti Buruh British, yang merupakan sebuah parti berkedudukan tengah-kiri dalam spektrum ideologi politik dan (percaya atau tidak) berfaham demokrasi sosial, seperti juga DAP. Tun Razak juga melaksanakan perancangan ekonomi serta perancangan polisi pembangunan yang kini kita kenali sebagai Dasar Ekonomi Baru yang dimuatkan dalam Buku Merahnya.

Bukan Mao Zedong sahaja yang ada Buku Merah rupanya.

Ini barangkali tidak masuk dalam Tanda Putera, sepertimana banyak lagi perkara yang tidak masuk dalam Tanda Putera, seperti peranan parti Gerakan dalam rusuhan 13 Mei yang mungkin dirasakan penulis dan pengarahnya sebagai perkara tidak penting. Ia tidak penting kerana hakikatnya Tanda Putera bukanlah sebuah perkisahan sejarah yang ikhlas, malah ditulis sendiri oleh Shuhaimi Baba sebagai sebuah cereka, dengan kebebasan untuk menokok tambah atau membuang mana-mana naratif yang dirasakan tidak perlu.

Kisah sejarah yang ditulis semula secara fiksyen ada banyak. Inglorious Basterds bikinan Quentin Tarantino misalnya adalah kisah fiksyen yang berlatarkan sejarah namun digoreng hangit oleh Tarantino sehingga ada yang percaya bahawa itulah sebenarnya sejarah. Mujur Tarantino tidak terlalu imaginatif dengan tulisannya itu, ceritanya masih masuk akal.

Cuba kalau beliau bikin filem itu sepertimana dibuat kepada Abraham Lincoln: Vampire Hunter. Jenuh.

Jadi kalau ditanya adakah Tanda Putera sebuah filem fiksyen berlatarkan sejarah? Jawapannya ya. Kalau disebut orang bahawa Tanda Putera itu penceritaan tepat tentang sejarah; jawablah dengan lidah yang fasih bahawa Tanda Putera bukanlah kisah sejarah yang tepat. Malah dalam still photo pra-penerbitannya juga ada terlihat kereta Proton Iswara dan kamera CCTV. Cincai dan serabut sekali.

Tanda Putera secara hakikinya adalah filem mengipas kelas tinggi. Selain mengipas ego pemimpin, ia juga mengipas sentimen perkauman yang sudah lama padam, serta mengipas hangat hati pihak yang difitnah terang-terang dalam operasi politik yang besar ini.

Saya tidak hairan kenapa Lim Kit Siang dan pemimpin DAP begitu reaktif terhadap filem ini. Ya, ini filem pro-establishment seperti yang ada diulas. Filem propaganda pro-establishment pastilah akan menyerang musuh politik pihak establishment. Takkanlah DAP akan duduk sahaja apabila pemimpinnya difitnah di ruang awam melalui filem yang dibiayai dengan wang rakyat?

astro-tanda-puteraHakikatnya operasi politik Tanda Putera untuk mewarnakan Kit Siang sebagai seorang Cina jahat yang kencing di tiang bendera dalam kawasan rumah Menteri Besar Selangor adalah fitnah yang mesti dilawan. Gambaran bahawa penyokong DAP bertindak liar sewaktu rusuhan juga adalah serangan politik yang sangat jahat. Ini mesti dilawan.

‘Nasihat’ yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya pawagam di negeri itu tidak menayangkan filem terbabit adalah tindakan melawan serangan yang diambil dengan berat hati pastinya. Namun menurut Lim Guan Eng, anakanda Kit Siang yang pastinya akan mempertahankan kehormatan ayahnya; sejarah akan menunjukkan bahawa beliau bertindak menunjukkan pendiriannya menentang serangan jahat Tanda Putera, meski terpaksa mengimbangi antara kebebasan bersuara.

Ini anak yang baik. Anak yang membela kehormatan ayahnya daripada difitnah orang.

Saya ternanti-nanti bila masanya anak Tun Razak akan membela ayahnya yang diperlihatkan sebagai pemimpin yang lemah dan begitu jenuh sekali bergantung harap kepada timbalannya.

Memandangkan saya tidak menonton Tanda Putera, dan sekadar menanti bila masanya ia akan ditayang di kaca televisyen; saya tidak boleh bagi sebarang markah kepada filem itu. Ketua Pemuda Gerakan Kedah, saudara Tan Keng Liang melalui akaun Twitternya memberi rating 8/10 untuk filem propaganda ini. Saya tidak pasti asasnya apa.

Cuma saya mahu tanya (sebab saya ulang sebut tajuk ‘Tanda Putera’ dalam tulisan ini sampai 31 kali dan jarang merujuknya sebagai ‘filem itu’) apa sebenarnya maksud tajuk filem ini?

Ya. ‘Tanda Putera’ itu maksudnya apa? Apa yang tanda, apa yang putera? – Roketkini.com