Berita

DAP kecam diskriminasi syarikat terhadap wanita bertudung

yeobeeyinPETALING JAYA, 10 SEPTEMBER: DAP menggesa syarikat di Malaysia melayan calon pekerja secara adil dan saksama dalam proses pengambilan pekerja serta menilai mereka bukan daripada segi cara berpakaian tapi berdasarkan kecekapan, keupayaan dan produktiviti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata, ekonomi negara akan mendapat manafaat jika semua syarikat bebas daripada diskriminasi dengan pekerja yang diambil menjalankan kelangsungan syarikat.

“Wanita Muslim sepatutnya bebas mengamalkan tuntutan agama dan tidak wajar bagi majikan atau mana-mana pihak memaksa mereka memakai atau tidak memakai tudung. Mereka seharusnya bebas daripada apa jua bentuk diskriminasi dan prejudis, tidak wajar menempatkan mereka pada kedudukan lebih lemah dalam proses pengambilan pekerja apatah lagi langsung tidak diterima seperti yang dilaporkan.

“Perkara ini bukan isu agama tetapi soal keadilan dan hak sama rata. Adalah amat perlu untuk melihat kembali keperluan memasukkan klausa pakaian dalam bahagian berkaitan diskriminasi di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang terdapat dalam perlembagaan Amerika Syarikat dan Mexico.

“Perkara 8, Perenggan 2 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ‘tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam’,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Strategis Sosial Media DAP berkata demikian merujuk kepada status laman sosial Facebook wanita Muslim, Mira Kamil, baru-baru ini yang mendedahkan pengalamannya di mana kebanyakan syarikat di Malaysia tidak mengambil wanita bertudung bekerja.

Permohonan kerja beliau di beberapa syarikat bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) ditolak dengan alasan syarikat terbabit tidak mengambil wanita bertudung.

Kejadian ini juga disahkan Harian Metro apabila seorang daripada wartawannya menyamar untuk mencari kerja di syarikat terbabit namun ditolak atas sebab sama.

“Saya sekali lagi menekankan bahawa syarikat sepatutnya mengambil pekerja berasaskan merit dan kecekapan bukan daripada segi cara pemilihan mereka untuk berpakaian mengikut kepercayaan agama yang diamalkan,” ujarnya. -Roketkini.com