Berita

Sabah dan Sarawak tak perlu keluar Malaysia – Datuk Mohd Ariff Sabri

RAUB, 19 OKTOBER: Kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh ditumbangkan bila-bila masa jika wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak bersatu meninggalkan parti itu tanpa perlu keluar daripada Persekutuan Malaysia yang hanya bakal mengundang operasi ketenteraan.

Ia rentetan kelemahan kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menangani pergeseran dan kekeliruan antara agama berhubung isu kalimah “Allah” hingga mampu mencetuskan ketegangan sehingga ada pimpinan dari Malaysia Timur itu mencadangkan satu perbincangan diadakan untuk bebas daripada Malaysia.

sakmonkol-teck-IMG_8518 (2)Ahli Parlimen DAP Raub Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, untuk merealisasikan hasrat menumbangkan kerajaan BN, parti politik di Sabah dan Sarawak boleh melakukan permuafakatan dengan parti politik lain untuk membentuk koalisi baru.

“Bayangkan jika Taib Mahmud mengambil sikap neutral manakala semua parti bukan Islam lain keluar BN. Mereka (BN) akan hilang kuasa.

“Contohnya jika 14 Ahli Parlimen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkecuali dan 11 Parlimen bukan Islam keluar BN dan di Sabah pula jika lapan kerusi Parlimen bukan UMNO keluar BN sudah ada 19 kerusi berpindah,” jelasnya.

Menurut Mohd Ariff, jika PBB berkecuali, ia bermakna BN hilang 14 kerusi Parlimen menyebabkan 33 kerusi berpindah.

“BN akan hanya tinggal 100 kerusi dan bila 33 Ahli Parlimen bersekutu dengan 89 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR), ia bererti sudah pembangkang sudash mempunyai 122 kerusi.

“Jika 122 Ahli Parlimen ini bersatu BN sudah tidak boleh bertahan lagi kerana sebaik sahaja had ini dicapai, berduyun Ahli Parlimen UMNO dan BN menyeberang. Bayangkan jika tujuh Ahli Parlimen MCA turut sama. Kiamat dunia bagi pencuri dan perasuah BN,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa warga Malaysia Barat juga harus berpegang pada 18 dan 20 perjanjian yang dimeterai oleh Sarawak dan Sabah sebelum menyertai Persekutuan Malaysia.

“Kepada golongan pelampau di Semenanjung, kita perlu hormat perkara satu mengenai perjanjian dengan Borneo Utara (Sabah) iaitu: Sementara tidak ada tentangan kepada Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia, di Borneo Utara tidak ada agama negeri dan segala peruntukan dalam perlembagaan Malaysia mengenai Islam tidak terpakai di Borneo Utara,” kata Mohd Ariff.

Tambahnya, sebelum Sabah dan Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, masyarakat bumiputera di sana yang beragama Kristian telah pun menggunakan nama Allah dalam kitab dan upacara keagamaan.

“Waktu itu, masyarakat Islam di Sabah mahu pun di Sarawak tidak ada apa-apa sentimen dengan penggunaan ini malah tidak ada pun orang Islam di sana dianiaya, diancam dan tidak dibenarkan megamal dan menganut agama Islam,” katanya lagi. – Roketkini.com