Berita

Sembelih lembu di sekolah timbulkan rasa tidak senang

PUCHONG, 19 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo menggesa Kementerian Pendidikan menjelaskan mengapa lembu dibenarkan untuk disembelih di hadapan pelajar di sekolah tiga hari lalu.

Beliau berkata, penyembelihan ditempat awam seperti itu tidak sepatutnya dibenarkan kerana boleh menyinggung perasaan agama tertentu.

“Sementara kita menghormati adat resam agama dan kepercayaan semua orang, mesti ada beberapa tahap pemahaman bahawa amalan seperti penyembelihan lembu yang boleh menyinggung perasaan agama tertentu, ia tidak harus dibenarkan untuk dilaksanakan di tempat-tempat awam seperti sekolah-sekolah.

“Saya telah menerima banyak aduan daripada penduduk yang menghadapi masalah di Puchong, mereka mengadu bahawa lembu disembelih dalam kawasan sekolah di depan pelajar Islam dan bukan Islam.

“Apakah mereka tidak sensitif kepada masyarakat India. Mengapa ada keperluan untuk dilakukan di sekolah kebangsaan pada waktu sekolah?

“Adakah ini sebahagian sukatan pelajaran, iaitu sebahagian daripada aktiviti yang disambut hari ini di sekolah-sekolah kita?,” katanya yang juga Ketua Biro Undang-Undang DAP, dalam kenyataan.

Beliau turut menyeru Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghentikan segera perkara sebegini.

“Sekolah bukannya tempat di mana aktiviti-aktiviti tersebut (sembelih) harus dibenarkan berlaku, lebih-lebih lagi pada waktu sekolah dan di hadapan pelajar,” tegasnya. -Roketkini.com