Berita

UMNO salah guna RM40 juta wang pembayar cukai untuk selamatkan Utusan

KUALA LUMPUR, 15 NOVEMBER: Tindakan UMNO menyuntik dana tambahan RM40 juta kepada Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) adalah bukti nyata betapa terdesaknya parti itu untuk menyelamatkan syarikat seliaan mereka hingga sanggup menyalahgunakan wang kerajaan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, tindakan itu harus ditentang oleh menteri berfikiran waras dalam Kabinet kerana ia jelas membabitkan wang pembayar cukai atau wang rakyat.

“Ini adalah konflik kepentingan apabila kita tahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga merupakan Menteri Kewangan dan Presiden UMNO.

“Berdasarkan peraturan, jika kepentingan UMNO meningkat melebihi 2 peratus ia mesti membuat tawaran pembelian kepada pemegang saham lain.

“Memandangkan usaha mereka untuk mendapatkan tawaran terbitan hak, parti itu perlu meningkatkan kepentingan sekurang-kurangnya 53.1 peratus dan ia sekaligus mewujudkan tawaran am mandatori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara itu mengulas rancangan UMNO menyuntik RM40 juta kepada Utusan melalui cadangan ‘Two Call Rights Issue’.

Pada 12 November lalu, Utusan mengumumkan kepada Bursa Malaysia akan meningkatkan terbitan hak kepada pemegang saham kira-kira RM40 juta.

Pua turut menyokong saranan Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching yang menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertindak bebas tanpa campur tangan Kementerian Kewangan untuk mengecualikan UMNO daripada menjalankan tawaran am mandatori agar dapat memberi saham minoriti Utusan.

“Apa yang paling penting, SC perlu melindungi integriti pasaran kewangan negara. Bukan sahaja bertindak dengan adil, tetapi perlu dilihat bertindak adil serta telus kepada semua pelabur dan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut makluman daripada Bursa Malaysia, tindakan itu akan melonjakkan pegangan saham UMNO dalam Utusan daripada 49.8 peratus kepada 53.1 peratus.

Dengan jaminan untuk membeli saham terbitan, kuasa mengundi UMNO bakal meningkat kepada kira-kira 67.2 peratus iaitu lebih dua peratus dalam tempoh enam bulan.

Katanya lagi, akhirnya sebab sebenarnya UMNO berulang kali menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membeli iklan secara agresif dalam Utusan kini terjawab.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan sebelum ini juga dilaporkan telah mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis kepada pengarah agensi dan ketua eksekutif GLC supaya membeli iklan di akhbar itu.

“Gesaan Utusan untuk mengumpul dana dan rayuan menteri UMNO supaya agensi kerajaan membeli iklan lebih banyak membuktikan bahawa Utusan kini berdepan masalah kewangan yang teruk.

“Utusan kini memikul beban hutang yang besar iaitu sebanyak RM195 juta pada Oktober 2013 dan RM15.8 juta pada 2012. Ditambah dengan kerugian RM8.8j juta dalam tiga bulan tahun ini,” ujarnya. -Roketkini.com