Berita

Suku kaum Penan Sarawak terus ‘dianiayai’ syarikat swasta, kerajaan tidak bertindak membela

KUALA LUMPUR, 22 NOVEMBER: Kerajaan Barisan Nasional (BN) didesak menangani masalah dihadapi kaum minoriti Penan di Sarawak yang ditindas dan dipinggirkan akibat pembinaan Empangan Murum yang mengubah kehidupan mereka sejak turun temurun.

Ahli Parlimen DAP Sarikei, Wong Ling Biu kesal dan simpati, dengan nasib yang menimpa kaum Penan dan ia tidak boleh dipandang remeh kerana pembinaan empangan bakal melenyapkan kediaman dan tanah pusaka nenek moyang mereka.

“Mereka (suku Penan) perlu dibela sewajarnya kerana kehidupan mereka banyak bergantung kepada hutan, walaupun mereka boleh dibawa ke tengah masyarakat untuk memulakan hidup baru yang akan memakan masa.

“Bukan itu sahaja, apa yang menimpa mereka amat zalim. Rumah mereka dirobohkan jentolak dan ada juga laporan mengatakan kediaman mereka dibakar. Perkara ini harus diselesaikan dengan baik,” katanya kepada Roketkini.com.

Wong berkata, situasi yang berlaku amat menyedihkan memandangkan golongan pedalaman telah memberi mandat besar kepada BN untuk terus memerintah untuk mendapatkan pembelaan.

“Kawasan pedalaman memberi kemenangan besar kepada BN untuk membentuk kerajaan Persekutuan, tetapi apa yang menimpa kaum Penan amat tidak wajar,” katanya lagi.

Kelmarin sekumpulan masyarakat Penan datang ke Parlimen untuk menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung ancaman Empangan Murum terhadap kehidupan mereka.

Memorandum itu antara lain melaporkan bahawa mereka dikeluarkan daripada kediaman secara tiba-tiba tanpa sebarang notis.

“Rumah panjang kami telah musnah akibat tindakan Sarawak Energy dan banyak harta benda kami hilang.

“Ramai yang terpaksa meninggalkan kediaman asal mendapati rumah ganti yang dijanjikan Sarawak Energy belum siap dibina dan akhirnya ada yang terpaksa menumpang di rumah saudara-mara, bersesak-sesak dalam satu ruang kecil,” petik memorandum itu.

Seramai 1,500 orang asal Penan dipaksa meninggalkan kediaman turun temurun mereka berikutan penakungan air Empangan Murum yang dijangka mula beroperasi pada Ogos 2014.

Selain pengusiran, penduduk juga dilaporkan diancam pihak berkuasa yang menyebelahi pemaju.

Akibatnya, pada 7 November 2013, 10 orang ditahan termasuk dua remaja berusia 13 dan 16 tahun malahan akan didakwa mengikut Seksyen 341 dan 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh tanah tanpa kebenaran.-Roketkini.com